LAPURAN PERSIDANGAN DUN TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 8 Mei -- Kerajaan
negeri Pas tidak pernah berjanji untuk menaikkan
bantuan kebajikan bagi rakyat miskin kepada RM200
sebulan sekiranya mereka memenangi pilihan raya
umum lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan
Kesihatan negeri Abu Bakar Abdullah berkata
kerajaan negeri sebaliknya sedang membuat kajian
ke atas penerima bantuan kebajikan untuk
memastikan mereka yang layak sahaja mendapat
bantuan kebajikan itu.
"Kita tidak pernah janji pemberian bantuan kebajikan
purata RM200 sebulan sama ada dalam manifesto
sekalipun," katanya ketika menjawab soalan Datuk
Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) pada persidangan Dewan
Undangan Negeri di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan
menaikkan bantuan kebajikan yang pada masa ini di
antara RM60 dan RM150 sebulan kepada RM60 dan
RM250 sebulan mengikut kategori dan kelayakan
penerima.
Pada masa ini terdapat kira-kira 16,685 penerima
bantuan berkenaan di seluruh negeri dan kenaikan
itu akan dibayar berkuatkuasa bulan depan, katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan
Pelaksanaan Syariah negeri Harun Taib berkata Kelas
Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang dilaksanakan di
sekolah-sekolah di negeri ini menerima bantuan
kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) yang disalurkan melalui Yayasan
Islam Terengganu (YIT).
"Sehingga kini kita ada 1,208 kelas KAFA di seluruh
negeri dan kita belanja dengan peruntukan yang
diberikan oleh JAKIM dan kerajaan negeri melalui
YIT," katanya ketika menjawab soalan tambahan
Tengku Putera Tengku Awang (BN-Telemong).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Perumahan dan Alam Sekitar negeri Wan Abdul
Mutalib Embong berkata pada dasarnya kerajaan
negeri tidak mengenakan cukai kediaman kepada
penduduk di kawasan luar pentabdiran Majlis
Perbandaran Kuala Terengganu.
Menjawab soalan Rosol Wahid (BN-Ajil), beliau
berkata kerajaan negeri kini dalam proses mengubah
cukai tanah pertanian yang sedia ada kepada zakat
pertanian dan kharaj bagi mereka yang bukan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi,
Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali
berkata memang menjadi amalan bahawa setiap
hutang yang dilakukan oleh kerajaan akan tetap
dibayar walaupun ia dilakukan oleh kerajaan
terdahulu.
Menjawab soalan Dr Alias Razak (PAS-Bukit Tunggal),
beliau berkata pembayaran balik hutang kerajaan
negeri bernilai RM731 juta itu adalah tanggungjawab
kerajaan yang memerintah.