KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Hrkh) -
Kerajaan PAS Terengganu telah
menunaikan janjinya kepada rakyat
dalam kempen pilihan raya umum lalu
apabila menaikkan kadar bantuan am
kepada rakyat miskin, berkuatkuasa
April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,
Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu
Bakar Abdullah, berkata mengikut
kadar baru itu bantuan kepada
penduduk miskin dinaikkan kepada
minimum RM100 sebulan berbanding
RM50 atau RM60 seorang sebelum ini.
"Manakala bantuan bagi keluarga
miskin pula diberi antara RM60 hingga
RM250 sebulan bagi setiap keluarga
bergantung kepada bilangan keluarga
berkenaan," katanya ketika menjawab
soalan Datuk Haji Mohamad @ A Bakar
Ali (BN-Kemasik) pada sidang Dewan
Undangan Negeri Terengganu bagi
mesyuarat yang pertama penggal
kedua DUN ke-10, di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, kadar baru itu akan
dijelaskan mulai Jun depan.
Menjawab soalan tambahan Adun yang
sama, beliau menjelaskan kerajaan
negeri menaikkan kadar bantuan am
bagi golongan miskin selaras dengan
manifesto PAS.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin PAS
tidak pernah berjanji untuk menaikkan
kadar tersebut kepada RM200 sebulan
kepada setiap orang miskin seperti
yang didakwa wakil BN tersebut.
"Manifesto PAS dengan jelas menyebut
bahawa kita akan menaikkan kadar
bantuan am kepada orang-orang
miskin," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri
akan melakukan proses pemutihan bagi
memastikan mereka yang benar-benar
layak sahaja menerima bantuan
manakala mereka yang sebelum ini
tercicir daripada senarai penerima
bantuan am, diberi bantuan tersebut.