ROYALTI, FEDERALISME DAN RAJA-RAJA

          Oleh: Farhah Rusyda

          Sewaktu merasmikan Persidangan BA Royalti Minyak: Rilitik Khianat dan Balas Dendam BN 23 September
          lepas, Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyifatkan pembatalan royalti
          sebagai satu ‘kemalangan politik’ yang besar di dalam sejarah Malaysia kerana ia mencabul sistem
          federalisme dan kedaulatan undang-undang.

          Sistem Federalisme adalah sistem kenegaraan yang membahagikan kuasa perundangan dan pentadbiran
          kepada dua peringkat kerajaan. Dua bentuk sistem kenagaraan yang lain adalah unitari (kesatuan) dan
          konfederasi (gabungan). Negara unitari adalah negara yang hanya mempunyai satu peringkat kerajaan
          iaitu kerajaan Pusat. Sementara negara konfederasi adalah negara yang terdiri daripada gabungan
          longgar beberapa buah negeri yang berdaulat. Kerajaan Pusat hanya sebagai penyelaras.

          Kebanyakan negara di dunia ini adalah negara unitari. Contoh terdekat adalah Indonesia, Singapura,
          China dan United Kingdom. Jumlah semuanya adalah 174 buah negara. Negara unitari hanya 18 sahaja,
          namun ia tetap dianggap penting kerana ia meliputi 36 peratus penduduk dunia. Contohnya Amerika
          Syarikat, India, Australia, Nigeria dan Malaysia. Negara konfederasi setakat ini hanyalah Switzerland

          Kenapa amalkan federalisme? Federalisme hanyalah pilihan kedua. Pilihan pertama tentunya negara
          kesatuan atau unitari. Pengasas negara hanya memilih bentuk negara yang menyusahkan ini bagi
          memenuhi keperluan dan hambatan semasa. Amerika Syarikat umpamanya memilih federalisme kerana
          pada asalnya negeri-negerinya terdiri dari negeri-negeri yang berdaulat selepas bebas dari penjajah yang
          berbeza-beza. Mereka sanggup bersatu tetapi masih belum mahu melepaskan kuasa di negeri
          masing-masing. Tambahan pula negaranya luas dan besar. Maka federalisme menjadi pilihan terbaik. Isu
          yang hampir sama berlaku di India.

          Namun situasi di Malaysia adalah berbeza. Alasannya tersendiri. Melalui gagasan Malayan Union, British
          pernah mencadangkan negara unitari untuk Tanah Melayu. Namun rakyat menolak cadangan bentuk
          negara unitari ini kerana ia menjejaskan kuasa, keistimewaan dan kedudukan Raja-raja. Atas desakan
          kuat orang-orang Melayu, cadangan British ini berkubur begitu sahaja. Akhirnya British terpaksa
          mengemukakan cadangan Persekutuan Tanah Melayu iaitu sebuah negara berbentuk federalisme.

          Tegasnya faktor pendorong utama sistem federalisme adalah demi menjaga kedudukan dan
          keistimewaan Raja-raja Melayu. Ini terbukti di dalam Perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-raja
          Melayu dan menjamin Perlembagaan negeri-negeri. Majlis Raja-raja ditubuhkan dan diberi beberapa
          peranan untuk tujuan ini. Natijah darui faktor inilah juga maka kerajaan negeri diberikan kuasa yang
          mempunyai kaitan langsung dan sentimental dengan Raja-raja Melayu iaitu soal agama Islam dan tanah.

          Tindakan kerajaan pimpinan Dr. Mahathir membatalkan royalti ini bertentangan dengan semangat
          federalisme. Ini kerana undang-undang secara jelas mengiktiraf hak kerajaan negeri. Antara tujuan Akta
          Pembangunan Petroleum adalah untuk menjamin hak negeri. Seksyen 4 dengan jelas menyatakan hak
          kerajaan negeri untuk diberi bayaran tunai atau royalti sebagai balasan kepada pemunyaan dan hak
          eksklusif yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada Petronas. Peruntukan ini memang sengaja dibuat
          untuk menjamin hak negeri terutamanya negeri yang sedang menghasilkan minyak pada waktu itu iaitu
          Sabah dan Sarawak. Negeri-negeri tersebut mengugut mahu keluar Malaysia juka tidak diberikan hak
          sewajarnya. Ini kerana sebelum akta ini dibuat negeri-negeri terbabit menikmati 8 hingga 11.5 % royalti
          di samping bayaran tetap tahunan dan cukai 55% setahun.Hasil petroleum di Terengganu belum dijumpai
          pada waktu itu.

          Hak ini dikuatkuasakan melalui perjanjian di negeri-negeri tersebut. Apabila hasil petrol didapati di
          Terengganu, perjanjian juga dibuat. Perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dan Petronas.
          Perlembagaan memperuntukkan bahawa negeri diketuai oleh Raja. Malah Kanun Tanah Negara
          pentakrifkan Pihak Berkuasa Negeri sebagai Raja atau YDPN. Walau pun Menteri Besar yang
          menandatangani perjanjian tersebut, ia hanya bertindak di atas kuasa bagi mewakili negeri. Rajalah yang
          menerima kesan akibat perjanjian itu kerana tanah-tanah itu tertakluk kepada kuasanya sebagai Ketua
          Negeri dalam konteks Perlembagaan dan Pihak Berkuasa Negeri dalam konteks Kanun Tanah Negara.

          Apabila kerajaan Persekutuan membatalkan perjanjian itu, maka ia adalah satu pencabulan dan
          penghinaan kepada Raja-raja Melayu. Ia seolah-olah menyisihkan institusi Beraja yang menjadi teraju
          utama dan simbol kedaulatan negara. Cara pembatalan amat menjatuhkan maruah Raja-raja. Hanya
          dengan satu kenyataan akhbar oleh satu agensi kerajaan yang tidak bertandatangan, kerajaan pimpinan
          Dr Mahathir mahu meragut hak dan kedudukan Raja-raja ini. Tindakan ini mengingatkan kita kepada
          kegelojohan McMicheal yang ingin mengutip tandatangan Raja-raja Melayu sewaktu isu Malayan Union
          dahulu.

          Raja-raja Melayu sewajarnya tidak berdiam diri. DYMM Yang Dipertuan Agong atau sekarang
          pemangkunya iaitu DYMM Tengku Mizan dari Terengganu sendiri diharap dapat memanggil PM datang
          mengadap bagi memberikan penjelasan tentang perkara ini. Baginda juga diharap dapat memanggil
          mesyuarat Majlis Raja-raja yang berkuasa untuk bagi membincangkan perkara ‘mengenai keistimewaan,
          kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang maha Mulia Raja-raja’ berdasarkan kuasa
          budibicaranya di bawah Perkara 40 (2) (c).

          Tindakan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai satu campurtangan di dalam pentadbiran negara, tetapi
          sebagai satu tindakan untuk menjaga kedudukan Raja-raja itu sendiri. Kesan pembatalan perjanjian ini
          amat besar kepada sistem federalisme dan Raja-raja. Kedaulatan (atau quasi kedaulatan) negeri-negeri
          serta keistimewaan dan kedudukan Raja-raja terjejas akibat tindakan ini. Oleh yang demikian, DYMM
          YDPA adalah pihak yang paling layak untuk menyelesaikan kemelut ini.

          Pemimpin Kerajaan Terengganu dan gabungan Barisan Alternatif wajar bertindak menghantar
          memorandum kepada Raja-raja. Rakyat Terengganu juga boleh meluahkan rasa kepada secara
          terhormat kepada Sultannya atau YDPA. Ini boleh dilakukan dengan menghantar poskad dan surat-surat
          bagi menyatakan hasrat hati. Ini bukan untuk menyusahkan Raja-raja tetapi untuk meminta agar
          Raja-raja memahami hati nurani rakyat. Apabila pemimpin politik tidak lagi menghormati perasaan dan
          jiwa rakyat maka Rajalah yang menjadi harapannya untuk berteduh.

          Kebetulan Malaysia kini mempunyai Pemangku YDPA dari negeri Terengganu, negeri yang ditimpa malang
          itu. Baginda tentunya memahami keperitan rakyat Terengganu, dan sokongan moral rakyat dari negeri
          lain termasuk Sabah dan Sarawak kepada rakyat Terengganu. Atau mungkin baginda mengharapkan guru
          agamanya yang dilantik menjadi Pemangku Sultan Terengganu, Syed Omar Abdul Kadir al Idrus bersuara
          dahulu bagi mewakili rakyat Terengganu. Buatlah apa saja yang terbaik demi.keadilan dan kedaulatan
          negara.

          Farhah Rusyda