"Kita tidak tergopoh-gapah untuk mendedahkannya serta tidak
menunggu cabaran sesiapa...kita akan adakan satu suruhanjaya
khas seperti yang dijanjikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri
yang lepas untuk menyiasatnya," katanya kepada pemberita
selepas melawat Hospital Kuala Terengganu di sini.
Beliau berkata agensi penguatkuasaan seperti Badan Pencegah
Rasuah dan polis turut dipanggil untuk membantu siasatan
berhubung penyelewengan itu yang didakwanya meliputi pelbagai
aspek antaranya ekonomi, kewangan, moral dan akhlak.
"Dokumen itu, kita akan lihat satu persatu sebelum kita mengambil
sebarang tindakan," kata Abdul Hadi sambil menjelaskan bahawa
'berlori-lori' itu menggambarkan ianya banyak dan keadaannya
agak serius.
Jumaat lepas semasa berucap pada satu ceramah di sini, beliau
berkata PAS mempunyai 'berlori-lori fail' mengenai apa yang
didakwanya penyelewengan pemberian kontrak oleh kerajaan BN di
Terengganu sebelum ini.
Abdul Hadi berkata kerajaan negeri mengambil sikap berhati-hati
dan tidak mahu menjatuhkan maruah sesiapa tanpa bukti dan
keterangan yang cukup bagi memastikan keadilan sentiasa berlaku
dalam siasatan itu.
Ketika ditanya sama ada siasatan itu nanti melibatkan bekas
anggota exco kerajaan BN atau pegawai kerajaan, beliau berkata:
"Saya tidak mahu sebut exco atau apa. Yang penting ada
pegawai-pegawai yang menjadi mangsa apabila dipaksa
mengendalikan perkara-perkara yang dianggap menyeleweng
sewaktu kerajaan dahulu.
"Kita juga melihat sejauh mana mereka dipaksa atau mereka rela
untuk melakukannya tapi yang pokoknya ialah mereka yang
melakukannya sendiri," katanya.
Abdul Hadi berkata tindakan itu bukannya bersifat balas dendam
tetapi kerana ia melibatkan hak rakyat secara keseluruhannya.
-