HUKUM HUDUD BOLEH BANTU TANGANI MASALAH
JENAYAH, KATA HADI
KUALA TERENGGANU, 24 Dis- Menteri Besar Haji Abdul
Hadi Awang berkata pelaksanaan hukum hudud yang akan dibuat
di Terengganu boleh membantu menyelesaikan beberapa masalah
jenayah kerana ia akan menakutkan orang ramaiuntuk melakukan
sebarang kesalahan jenayah.
"Hukum hudud boleh menakutkan penjenayah dan secara tidak
langsung membuat mereka untuk tidak melakukan sebarang aktiviti
jenayah lagi," katanya pada majlis perjumpaan kesyukuran dengan
orang ramai di Stadium Negeri, malam tadi.
Beliau berkata kebanyakan orang masih tidak memahami hukum
berkenaan dan hanya memahami konsep iaitu mereka yang mencuri
akan dipotong tangannya, sedangkan secara psikologinya ia
mampu mengurangkan jenayah berkenaan.
"Bagaimanapun, pelaksanaan hukum itu akan dijalankan dengan
berhati-hati dan bukannya sewenang-wenangnya untuk memotong
tangan pencuri tanpa bukti-bukti yang betul," katanya.
Menurutnya hudud ialah satu daripada perundangan syariah Islam
untuk menangani masalah jenayah bagi memastikan ia tidak
berlaku dalam masyarakat Islam dan untuk menjalankannya ia perlu
melihat kepada banyak aspek.
Abdul Hadi berkata bagaimanapun masyarakat perlu terlebih dahulu
difahamkan dengan hukum hudud itu dan sesuatu hukuman
mengikut perundangan itu melihat kepada banyak perkara
termasuk daripada segi kejujuran orang yang melaporkannya,
(pelapor) tidak membuat kesalahan yang bertentangan dengan
agama dan sebagainya.
"Tidak seperti yang difahami oleh masyarakat sekarang, pencuri
akan dipotong tangan tanpa menjalani sebarang proses berkaitan
hukum hudud yang diajar oleh Islam," katanya.
Pelaksanaan hukum berkenaan juga akan memberi keharmonian
kepada semua penduduk di negara ini tanpa mengira mereka
bangsa Cina, India atau Melayu, katanya.
Mengenai janji PAS dalam manifesto pilihan raya umum yang lepas,
Abdul Hadi yang juga Persuruhjaya PAS Terengganu berkata
rakyat perlu memahami bahawa semua janji itu tidak dapat
dilaksanakan dengan segera.
"Ada yang kita boleh laksanakan dengan segera dan ada juga
perkara yang perlukan kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan
agar ia tidak memberi kesan di masa akan datang," katanya.
Beliau juga meminta supaya masyarakat menyokong kerajaan
negeri pimpinannya dan bekerja keras bagi membangunkan
Terengganu dalam segala aspek yang boleh.
-- BERNAMA
Copyright (C)1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not
be published,
broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior
express permission of
BERNAMA.