KABINET SETUJU PEMBINAAN LPT DI TERENGGANU JIKA
 BERTOL
 
 KUALA LUMPUR, 22 Dis -- Kabinet hari ini bersetuju
 untuk meneruskan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)
 di Terengganu jika kerajaan pimpinan PAS di negeri itu bersetuju
 membenarkan kutipan tol dikenakan kepada penggunanya.

 Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kerajaan
 pusat sebaliknya sedia untuk tidak mengenakan tol sekiranya
 kerajaan Terengganu sanggup membayar sejumlah pampasan
 kepada kerajaan pusat dan syarikat konsesi sebagai ganti rugi
 kepada bayaran tol yang sepatutnya dikutip.

 "Atau jika mereka tidak mahu jalan bertol dan mereka sanggup pula
 membiayai dan membinanya, mereka boleh berbuat demikian.
 Kerajaan pusat tidak ada halangan," katanya kepada pemberita di
 lobi Parlimen hari ini.

 Beliau berkata sekiranya kerajaan Terengganu bersetuju dengan
 pilihan yang diberikan, maka pembinaan projek LPT di negeri itu
 boleh dimulakan serentak dengan pembinaan fasa pertama LPT di
 Pahang antara Karak dan Temerloh.

 Fasa pertama LPT di Terengganu ialah antara Chendering dan
 Bukit Besi. Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor dalam satu
 kenyataan berkata Barisan Alternatif menerima penjelasan
 kerajaan pusat bahawa pembinaan LPT perlu dikenakan tol kerana
 ia dibuat secara penswastaan.

 "Barisan Alternatif berharap tol yang bakal dikenakan di
 Terengganu nanti tidak membebankan rakyat dan ianya perlu
 mengambil kira semua aspek termasuk kedudukan negeri itu yang
 baru masuk ke fasa pembangunan," katanya.

 Beliau meminta kerajaan pusat membebaskan sebahagian daripada
 lebuh raya itu daripada tol bagi bahagian-bahagian yang digunakan
 oleh penduduk setempat untukberulang-alik seperti yang
 dilaksanakan di Lebuhraya Utara Selatan.

 "Selanjutnya, Barisan Alternatif juga menuntut supaya kerajaan
 dapat meneruskan pembinaan LPT tersebut terus ke Kelantan bagi
 kepentingan dankemudahan rakyat di sana," katanya. --