Mitos hak istimewa Melayu
Khalid Jaafar
6:22pm, Sat: Pada 11 Jun 1968, Abu Bakar Hamzah (almarhum) sebagai wakil rakyat PAS (Bachok, Kelantan) pernah membangkitkan isu penyalahgunaan istilah "hak istimewa" Melayu di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata tidak ada istilah "hak istimewa" dalam Perlembagaan Persekutuan, yang ada cumalah "kedudukan istimewa" Melayu, dan bertanya mengapa menteri-menteri Umno berterusan menggunakan istilah yang tidak wujud di dalam perlembagaan?
Dalam jawapannya, Tunku Abdul Rahman akur bahawa memang tidak ada "hak istimewa" Melayu dalam perlembagaan dan yang ada cuma "kedudukan istimewa".
Dan kesalahan menggunakan istilah ini berulang lagi atau sentiasa diulangi untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Dan memang begitu besar kekeliruan di kalangan rakyat tentang perkara ini. Ada sesetengah pihak tidak berhenti untuk meneruskan kekeliruan tersebut.
Apa yang disebut-sebut sebagai "hak istimewa" orang Melayu termaktub dalam Perkara 153. Apa yang tertulis seperti berikut: "Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain."
Maka tidak ada "hak istimewa" Melayu. Yang ada cuma "kedudukan istimewa." Dua istilah itu mempunyai makna dan tafsiran yang sungguh bertentangan.
Jika ada kaum yang menikmati hak istimewa maknanya dengan sendirinya akan wujud warganegara kelas dua dalam negara dan ia bertentangan dengan prinsip persamaan di kalangan rakyat.
Prinsip persamaan atau "sama rata" mengikut istilah perlembagaan, merupakan nilai penting yang memandu dokumen terpenting dalam sistem politik dan kenegaraan Malaysia. Begitu penting nilai dan prinsip "sama rata," maka kumpulan pakar yang merangka perlembagaan meletakkan di bawah bahagian kedua Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam bahagian "Kebebasan Asasi."
Prinsip ini termaktub dalam Perkara 8. Dalam perkara 8(2) prinsip ini diungkapkan dengan frasa yang bebas daripada sebarang kekaburan iaitu "... tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir …"
Sedangkan peruntukan tentang "kedudukan istimewa" hanya diletakkan di bawah bahagian ke-12 di bawah Perkara "Am dan Pelbagai."
Generasi progresif
Pada pengamatan saya hakikat bahawa "kedudukan istimewa" diletakkan jauh di bawah berbanding dengan peruntukan mengenai prinsip "sama rata" sudah memberikan makna tersirat bahawa "kedudukan istimewa" itu tidak boleh menjejaskan pelaksanaan prinsip "sama rata."
Jadi apa maksud "kedudukan istimewa"? Saya dari dahulu beranggapan, hanya secara naluri, bahawa peruntukan "kedudukan istimewa" bukanlah untuk meletakkan bangsa Melayu di atas bangsa-bangsa lain. Saya yakin generasi bapa saya yang memperjuangkan kemerdekaan adalah generasi progresif.
Sebagai orang Islam mereka terpaksa patuh dengan nilai yang menekankan prinsip persamaan seperti yang diungkapkan dalam hadis Nabi yang terkenal: "Semua kamu adalah dari Adam dan Adam adalah dari tanah. Tidak ada ketinggian orang bukan Arab dengan Arab kecuali dengan takwa."
Kita juga harus ingat bahawa perlembagaan ditulis ketika dunia mengalami ledakan politik yang dahsyat selepas Perang Dunia Kedua di mana gerakan kemerdekaan negara-negara jajahan Barat berada di puncaknya. Antara idea moral yang dominan dalam gerakan perjuangan kemerdekaan adalah prinsip persamaan.
Hanya tiga negara yang melembagakan prinsip ketidaksamaan dalam negara moden. Satu regim apartheid di Afrika Selatan yang membezakan antara kulit putih dan kulit hitam. Kedua, regim Zionis di Israel yang membezakan, dari segi undang-undang antara rakyat Yahudi dengan warganegara Israel daripada keturunan Arab. Satu lagi, ketika pemerintahan Nazi di Jerman yang membezakan golongan Aryan (bangsa asal negeri itu) dan bukan Aryan.
Rakyat Malaysia adalah antara yang paling kuat penentang regim apartheid dan Zionis kerana prinsip ketidaksamaan merupakan "moral outrage", sesuatu yang terlalu hodoh untuk dipertimbangkan. Maka apabila dirangka satu perlembagaan untuk menjadi kerangka sebuah negara baru di Malaya (dan kemudiannya Malaysia), maka prinsip persamaan atau "sama rata" juga menjadi nilai yang terpacak kukuh.
Kalau "kedudukan istimewa" bukan bertujuan untuk meletakkan bangsa Melayu di atas kaum-kaum lain apatah lagi untuk membina doktrin atau ideologi "ketuanan Melayu", ketuanan sesuatu kaum di negara yang berbilang kaum membawa maksud apa?
Istilah indah keadaan jelik
Pada fahaman saya peruntukan " kedudukan istimewa" bertujuan mencapai keadilan sosial. "Kedudukan istimewa" lebih merupakan satu eufemisme, memberikan istilah indah kepada keadaan yang jelik.
Hakikatnya ialah bangsa Melayu ketika perlembagaan digubal penuh dengan kekurangan dan jauh terbelakang dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan. Lebih tepat lagi ialah "kedudukan istimewa" adalah situasi sosio-ekonomi Melayu yang lemah dan tidak memungkinkan mereka bersaing dengan bangsa-bangsa lain.
Terdapat kebimbangan, kegelisahan bahkan ketakutan di kalangan Melayu ketika itu bahawa mereka boleh merempat di negeri sendiri, dan ditenggelami oleh kekuatan ekonomi masyarakat "pendatang".
Almarhum bekas Ketua Hakim Negata Tun Suffian Hashim sudah pasti seorang yang mempunyai pendapat dan tafsiran terhadap perlembagaan yang dikira berotoritas (wibawa). Beliau adalah wakil Raja-raja Melayu untuk membantu Suruhanjaya Reid menggubal perlembagaan dalam tahun 1955-57.
Kemudian beliau menjadi Peguam Negara (1959-1961) yang bertanggungjawab melaksanakan perlembagaan dan selama 21 tahun (1961-1982) sebagai anggota institusi kehakiman bertanggungjawab menafsir perlembagaan.
Beliaulah yang mengetahui maksud asal, "the original intent," setiap peruntukan perlembagaan. Dan mengenai Perkara 153 beliau menulis: " One of the most important decisions made by the non-Malay leaders was to recognise the weakness of the Malay community in the economic field and the need in the interest of national unity to remove that weakness, for Malay poverty is a national problem. To give effect to that decision article 153 has been written into the constitution ." (Lihat An Introduction to the Constitution of Malaysia , 1976).
Dalam buku yang sama beliau juga memberikan huraian terhadap prinsip persamaan tanpa mengira kaum, agama atau keturunan.
Tetapi Tun Suffian bukan orang yang lurus. Beliau seorang realis. Dalam masyarakat mana pun pasti berlaku ketidaksamaan. Maka tugas undang-undang adalah untuk membantu yang lemah. Maka dalam satu kes dalam tahun 1977 beliau menulis: " While idealists and democrats agree that there should not be one law for the rich and another for the poor nor one for the powerful and another for the weak and that on the contrary the law should be the same for every body, in practice that is only a theory, for in real life it is generally accepted that the law should protect the poor against the rich and the weak against the strong."
Jelas peruntukan dalam perlembagaan adalah untuk mencapai kesamaan, untuk menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi dan mencapai keadilan sosial. Tetapi sesetengah pihak telah cuba membuat satu tafsiran yang terbalik terhadap maksud Perkara 153 iaitu untuk mencipta dan memberikan legitimasi (keabsahan) kepada prinsip ketidaksamaan.
Nasionalis prodemokrasi
Doktrin "ketuanan Melayu" seperti yang dikemukakan sesetengah pihak itu bertentangan dengan hasrat perlembagaan. Dan doktrin ini telah dikemukakan bukan untuk membantu orang Melayu yang daif lebih tetapi untuk memberikan keistimewaan kepada golongan elit ekonomi.
Memang wujud atau aliran dalam gerakan nasionalisme Melayu yang mendukung doktrin tersebut. Tetapi aliran ini sempit, jumud dan ketinggalan zaman. Prinsip keadilan sudah tentu tidak dapat menerima aliran nasionalisme yang berteraskan semangat perkauman dan menjadikan penindasan terhadap kaum lain sebagai aspirasinya.
Aliran ini bercorak feudalisme, menjaga kepentingan golongan kaya dan berkepentingan, menentang cita-cita keadilan sosial, bersifat antidemokrasi, boleh bersekongkol dengan rasuah dan nepotisme. Aliran ini sudah tidak relevan untuk zaman ini. Tetapi justeru ia didukung oleh golongan atasan penguasa, maka ia tetap suatu kekuatan.
Tetapi terdapat dua lagi aliran dalam perjuangan Melayu. Aliran Islam dan aliran nasionalisme progresif. Gerakan ini berpijak kepada kuasa rakyat. Mereka adalah prodemokrasi, memperjuangkan cita-cita keadilan sosial di mana prinsip persamaan menjadi satu idea daripada komponen nasionalisme.
Kedua-dua aliran ini perlu membuat pakatan strategis bersama dengan kekuatan-kekuatan politik dari kaum bukan Melayu, khususnya kaum Cina untuk memperjuangkan cita-cita progresif. Mereka perlu mengungkapkan semula cita-cita progresif seperti kebebasan, persamaan, humanisme sejagat dan keadilan sosial.
Memandangkan media massa dikuasai oleh golongan nasionalis Melayu jumud, golongan nasional progresif dan Islam harus lebih agresif dan lantang melontarkan wawasan mereka kepada masyarakat Malaysia.
Dengan kontroversi yang ada hari ini, usaha yang segera perlu dilakukan untuk melontarkan wawasan tersebut di kalangan masyarakat Cina.
Masyarakat Cina pula perlu yakin bahawa mereka mempunyai rakan yang cukup di kalangan masyarakat Melayu yang berkongsi aspirasi itu dengan mereka. Bagi masyarakat dan aktivis Cina yang memperjuangkan hak politik dan budaya mereka yang sah dan hak untuk menyertai penuh proses politik negara ini, dan hak untuk menyuarakan tuntutan dan keprihatinan mereka perlu ada sebarisan dengan aliran nasionalis Melayu progresif dan Islam.
Mereka seharusnya memiliki keberanian dan tidak gentar dengan intimidasi dari golongan Melayu feudalis dan jumud dan manipulasi media massa terhadap kedudukan istimewa Melayu.
KHALID JAAFAR, bekas setiausaha akhbar Datuk Seri Anwar
Ibrahim selama 15 tahun, bertugas sebagai Pengarah Eksekutif, Institut
Kajian Dasar (IKD)