KUALA TERENGGANU,8 Mei (Hrkh) -
Ramai ibu tunggal di negeri ini
terpaksa memendamkan hasrat untuk
berkahwin semula selepas kematian
suami masing-masing kerana mereka
takut kehilangan wang pencen yang
diwarisi daripada bekas suami, jika
meneruskan hajat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal
Wanita & Hubungan Antara Kaum,
Awang Dagang Jusoh, berkata ibu
tunggal yang menerima pencen selepas
kematian suami amat malang kerana
mereka terpaksa berdepan dengan dua
pilihan jika memilih untuk kahwin
semula.
"Umur mereka masih muda, tubuh
badan masih sihat dan kuat...Tetapi
malang, cita-cita yang suci (untuk
berkahwin semula) tidak dapat
diteruskan kerana ada gangguan
daripada Kerajaan Pusat," katanya
ketika menjawab soalan lisan yang
dikemukakan Datuk Haji Mohamad @ A
Bakar Ali (Barisan Nasional - Kemasik)
di sidang Dewan Undangan Negeri
Terengganu bagi mesyuarat yang
pertama penggal kedua DUN ke-10, di
sini hari ini.
Adun BN itu ingin tahu sehingga ini
berapa ramai ibu tunggal yang telah
mendapat jodoh hasil daripada usaha
yang dijalankan oleh kerajaan negeri.
Ustaz Awang berkata, setakat ini tidak
ada ibu tunggal yang dijodohkan hasil
usaha yang dilakukan oleh pihaknya.
"Bagaimanapun, kita yakin bahawa ada
jodoh untuk ibu tunggal dengan bapa
tunggal atau mereka yang telah
beristeri seperti yang ditentukan oleh
Allah Taala sejak azali lagi,"
tambahnya.
Beliau berkata, ramai ibu tunggal yang
mendapat pencen tidak mahu
meneruskan hasrat mereka untuk
berkahwin semula semata-mata takut
kehilangan pencen yang mereka
nikmati.