Kerajaan Pas Terengganu memberi jaminan tidak akan bertindak memecat
imam dan bilal yang menyokong
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan
Syariah negeri, Harun Taib
berkata, imam dan bilal yang didakwa dipecat ketika BN memerintah negeri
itu akan diambil semula.
"Mereka akan diserapkan semula di kariah masing-masing dan tugas imam
dan bilal akan dijalankan secara
bergilir di sesuatu masjid mukim," katanya.
Menurutnya, tambahan imbuhan kepada imam dan bilal yang diumumkan kerajaan
Pas Terengganu bukan
bertujuan politik tetapi sebagai insentif kepada mereka yang melaksanakan
tugas untuk kemajuan Islam.
Beliau berkata, Pas tidak akan menyekat kebebasan mereka (penyokong
BN) berpolitik, tetapi mereka perlu
lebih bertanggungjawab dan tidak menghina dan menentang usaha menegakkan
Islam," katanya pada majlis
penyampaian imbuhan kepada imam dan bilal di Kompleks Seri Iman, di
sini, hari ini.
Pas dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu, turut memberi janji
akan menaikkan elaun untuk imam dan
bilal serta mahu kedudukan mereka diletakkan di tempat yang lebih baik
berbanding yang dibuat kerajaan BN.
Harun mahu imam dan bilal memainkan peranan yang lebih berkesan, termasuk
mendidik kanak-kanak dalam
pengajaran ajaran Islam dan remaja yang terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan
dadah.
Menurutnya, dalam perancangan masa depan, ilmu dan pengetahuan imam
dan bilal mengenai Islam juga
akan dipertingkatkan untuk membolehkan mereka mendidik kanak-kanak
dalam mukim masing-masing.
"Pembaharuan dalam melantik jawatankuasa masjid juga akan dilakukan
supaya mereka yang dipilih boleh
diterima dan dipersetujui semua pihak. Pesuruhjaya JHEAT akan mengeluarkan
arahan baru tidak lama,"
katanya.
Beliau juga mendakwa punca utama berlaku sembahyang Jumaat di masjid
berasingan sebelum ini ialah
kerana perbezaan fahaman politik.
++ Siapa kata kerajaan PAS Terengganu zalim seperti mana yang didakwa
terhadap para penghulu kelmarin?