KHAS TERENGGANU
              Hadi yakin laksana manifesto PAS di Terengganu

              Oleh AZMI YUSOF dan KHAIRUL AZLAM MOHMAD

              Pada 8 Mac lalu, genaplah 100 hari PAS memerintah
              Terengganu. Berikut adalah temubual khas dengan
              Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Menteri Besar
              Terengganu, YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di
              kediamannya di Kampung Rusila pada 10 Mac bersamaan 4
              Zulhijjah lalu, sebelum beliau berangkat menunaikan fardhu
              haji ke Makkah pada hari yang sama.

              Soalan: Pertama-tamanya Harakah mengucapkan tahniah
              kepada Tuan Guru sebagai peneraju kerajaan Barisan
              Alternatif yang telah berjaya memerintah Terengganu
              selama 100 hari pada 8 Mac baru-baru ini. Sehubungan itu,
              bagaimanakah perasaan Tuan Guru selepas memerintah
              selama 100 hari, apakah Tuan Guru merasa yakin dapat
              melaksanakan hasrat dan cita-cita Tuan Guru untuk melihat
              sistem Islam berjalan di Terengganu dan apakah halangan
              di sebalik cita-cita itu?

              Tuan Guru Abdul Hadi Awang: Alhamdulillah, bersyukur
              kepada Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan taufik
              dan hidayah-Nya kami diberi petunjuk untuk melakukan
              perkara-perkara dengan cara yang teratur satu demi satu,
              bermula daripada mengadakan persediaan-persediaan awal
              ke arah melaksanakan syariat Islam.

              Bermula daripada penukaran pegawai-pegawai tinggi
              kerajaan dan menyusun kedudukan mereka dari semasa ke
              semasa, sehinggalah perlantikan Exco menentukan portfolio
              masing-masing dan melantik ahli-ahli jawatankuasa
              masing-masing berjalan dengan lancar. Dan kami mendapat
              kerjasama yang sangat baik daripada pegawai-pegawai
              kerajaan supaya mengambil langkah-langkah awal bagi
              melaksanakan manifesto yang merupakan janji kepada
              rakyat.

              Di peringkat rakyat, sehingga ini kita telah berjaya
              menyusun kepimpinan masyarakat melalui Jawatankuasa
              Syura Rakyat. Pada keseluruhannya sudah selesai, cumanya
              menunggu pengesahan daripada saya sendiri sebagai ketua
              kerajaan negeri.

              Di samping perkara-perkara awal yang boleh dilaksanakan
              dengan cara yang segera untuk mendapat perkara-perkara
              yang positif bagi melakukan tindakan yang selanjutnya.
              Perkara segera yang kami lakukan ialah, contohnya
              penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala
              Terengganu yang dikatakan akan berlaku kerugian sebanyak
              RM4 juta setahun, penghapusan cukai pintu rumah
              kediaman yang dikatakan berlaku kerugian berjuta-juta
              ringgit.

              Alhamdulillah, melalui pembetulan anak-anak syarikat
              perbadanan yang ditubuhkan oleh kerajaan dan juga
              melalui sumber-sumber hasil yang lain, kami telah
              menghasilkan alternatif yang lebih banyak daripada apa
              yang kami kurangkan itu.

              Ini adalah satu keberkatan yang diberi oleh Allah SWT. Dan
              sehingga hari ini, saya telah mendapat maklumat balas
              yang yang sangat positif daripada pegawai-pegawai
              kerajaan berhubung dengan menumpukan program
              mengatasi masalah-masalah rakyat yang miskin dan
              termiskin. Dalam mengendalikan bantuan kebajikan
              masyarakat dilaksanakan dengan lancar dan diberi lebih
              daripada kerajaan yang lalu.

              Penyusunan semula imam-imam, bilal-bilal dan
              jawatankuasa masjid berjalan dengan lancar, begitu juga
              dalam membuat lay ot kepada tanah-tanah di seluruh
              negeri Terengganu bagi menunaikan janji untuk memberi
              tapak kediaman bagi setiap rakyat yang berkeluarga yang
              tidak mempunyai tapak kediaman. Begitu juga untuk
              memberi tanah pertanian kepada rakyat yang memerlukan
              tanah pertanian.

              Dalam masa beberapa hari lagi, insya Allah, dalam tahun
              ini juga, kita akan membuat satu pengumuman untuk
              membuka semula permohonan tanah kepada rakyat yang
              tidak mempunyai tanah dengan suatu pentadbiran dan cara
              yang benar-benar tidak diambil kesempatan oleh mereka
              yang tamak, yang haloba yang sudah ada tanah tetapi
              mengambil peluang.

              Insya Allah, kita akan buat suatu tindakan supaya rakyat
              yang benar-benar berhajat kepada tanah, yang tidak ada
              tanah ini dipastikan sekurang-kurangnya mereka mendapat
              tanah kediaman dan untuk pertanian. Kami berusaha untuk
              membebaskan rakyat daripada riba bermula daripada
              pegawai-pegawai kerajaan sehinggalah rakyat.

              Kami akan laksanakan operasi bantuan, pertolongan dalam
              perkara yang berkait dengan pinjaman membeli kenderaan,
              pinjaman komputer dan juga pinjaman rumah kediaman.
              Kepada pegawai-pegawai kerajaan dan kepada rakyat biasa
              yang memerlukan rumah kediaman dengan cara
              membebaskan mereka daripada riba yang diharamkan oleh
              Islam.

              Ini adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang akan
              kami laksanakan dan sehingga ini mendapat sokongan
              daripada seluruh pegawai kerajaan.

              Soalan : Adakah Tuan Guru melihat sambutan dan
              sokongan rakyat begitu menyeluruh terhadap kerajaan Tuan
              Guru setelah memerintah selama 100 hari?

              Hadi : Di sana ada rakyat yang faham bahawa perubahan
              memerlukan masa. Ada perkara yang boleh dilaksana
              dengan segera, ada perkara yang memerlukan masa, yang
              pendek dan masa yang panjang. Dan di sana ada rakyat
              yang tidak faham, yang jahil, yang segala-galanya mahu
              berubah dengan serta merta.

              Mereka yang tidak faham ini akan menimbulkan
              berbagai-bagai masalah, berbagai-bagai bantahan kerana
              mereka tidak faham. Ada juga rakyat yang mementingkan
              diri, yang melakukan perkara-perkata yang menyalahi
              peraturan.

              Sebagai contoh, mereka yang meneroka tanah dengan
              tindakan sendiri, mereka yang menjaja dan menjual di
              kawasan-kawasan larangan. Mereka tidak dihalang untuk
              bekerja tetapi mestilah mengikut peraturan. Mereka yang
              tidak faham ini menjadi cabaran dan kami menghadapi
              dengan sabar.

              Kami yakin dan percaya apabila perkara ini dapat
              dilaksanakan dengan betul, mendapat kerjasama yang baik
              daripada kalangan pegawai kerajaan yang melaksanakan
              peraturan, mereka yang tidak faham itu akan faham dan
              akan memberikan sokongan kepada kami termasuk
              orang-orang yang bukan Islam.

              Kita buktikan keadilan Islam dan sehingga hari ini
              orang-orang yang bukan Islam menyedari bahawa
              pemerintahan Islam ini adalah lebih adil dan lebih baik
              daripada yang lain.

              Soalan : Mengenai masyarakat bukan Islam, adakah cukup
              penerangan yang diberikan kepada mereka dan adakah
              mereka faham dan menerimanya dengan baik terhadap
              kerajaan yang dipimpin oleh Tuan Guru?

              Hadi : Penerangan tidak cukup kerana yang datang
              menemui saya dan berdialog dengan saya tidak semua dan
              tidak keseluruhan. Untuk memberi faham tidak cukup
              dengan cakap-cakap dan hujah-hujah melalui lisan dan
              tulisan, mestilah melalui perbuatan dan amalan.

              Saya yakin dan percaya walaupun perkara ini memerlukan
              masa, akhirnya mereka akan dapat menerima pemerintahan
              Islam dan memerikan sokongan kepada kita.

              Soalan : Adakah kerajaan di bawah kepemimpinan Tuan
              Guru ini mengatasinya dan bagaimana hubungan di
              kalangan pemimpin kerajaan dengan masyarakat bukan
              Islam di Terengganu sehingga kini?

              Hadi: Kami mengambil langkah melantik yang pertama
              Pegawai Perhubungan orang yang bukan Islam di kalangan
              mereka, bertaraf pegawai secara langsung di bawah Menteri
              Besar yang diberi gaji dan elaun yang setaraf dengan
              pegawai di bawah Menteri Besar dan pegawai ini
              menjalankan tugas untuk hubungan dengan orang yang
              bukan Islam. Dan kami juga melantik Jawatankuasa Syura
              Rakyat di kalangan orang yang bukan Islam di kampung
              mereka dan mereka memilih pemimpin mereka.

              Kami juga melantik ahli-ahli majlis perbandaran, ahli-ahli
              majlis daerah di kalangan orang-orang yang bukan Islam.
              Dan kami menerima memorandum yang dikemukakan oleh
              mereka kepada kami dan saya telah meneliti dan membaca
              memorandum itu.

              Pada keseluruhannya, kami dapat menerima dan kami akan
              menunaikan tuntutan mereka bila tiba masanya, insya
              Allah.

              Soalan : Tuan Guru nampaknya begitu yakin sistem Islam
              dapat dikembalikan semula di Terengganu setelah PAS
              mengambil alih teraju pemerintahan. Apa yang
              menyebabkan Tuan Guru benar-benar yakin dapat
              melaksanakan sistem Islam di Terengganu? Bagaimana
              halangan dari pelbagai sudut, umpamanya masalah
              minuman keras, judi dan sebagainya yang kuasanya
              dipegang oleh kerajaan Pusat?

              Hadi: Ya. Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri adalah
              terhad dan terbatas. Dengan bidang kuasa yang terhad dan
              terbatas ini, saya yakin kita dapat membuktikan bahawa
              Islam adalah terbaik. Apa yang kami harapkan ialah supaya
              pihak lain memberi peluang melalui adab demokrasi
              berparlimen.

              Kalau dunia boleh mengizinkan kepada komunis yang
              begitu keras dangan diktatorshipnya, yang begitu keras
              dengan peraturannya memerintah di seluruh dunia,
              mengapa mereka tidak boleh izin kepada Islam yang
              pernah memerintah dan telah lama ditinggalkan dan
              dijahilkan oleh masyarakat. Mengapa tidak boleh diberi
              peluang kepada Islam?

              Dan saya yakin, jika diberi peluang, Islam boleh
              membuktikan ia adalah terbaik dan saya yakin orang-orang
              bukan Islam lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam
              sebagaimana yang berlaku di masa lalu.

              Cabaran yang kita hadapi bukan sahaja orang yang bukan
              Islam, bahkan orang Islam sendiri yang jahil dalam perkara
              Islam. Ini juga menjadi masalah kepada kami. Saya yakin
              dengan peluang pemerintah yang ada ini, kalau
              dilaksanakan dengan betul, insya Allah, dengan
              pertolongan Allah, kami akan dapat buktikan dan insya
              Allah memberikan masa depan yang sangat positif kepada
              PAS.

              Soalan : Tuan Guru pernah berkata setelah PAS diberi
              mandat memerintah Terengganu, Terengganu kini
              memasuki era baru. Dapatkan Tuan Guru jelaskan apa yang
              dimaksudkan dengan era baru itu?

              Hadi: Di antara era baru ialah dalam perkara dasar. Kami
              jadikan Islam agama yang memerintah. Sebarang tindakan
              yang diambil oleh kerajaan mestilah berlandaskan hukum
              Islam, halal dan haram, baik dan buruk yang ditetapkan
              oleh Islam.

              Tindakan yang diambil oleh kerajaan berdasarkan Islam.
              Ada hubungan dengan dosa dan pahala di mana dosa dan
              pahala ini bukan sahaja dalam masalah ibadat,
              termasuklah juga dalam memerintah negeri. Dasar ini kami
              amalkan di Terengganu dan kami salurkan kepada
              pegawai-pegawai kerajaan.

              Sekali seminggu, tiap-tiap hari Khamis, ada program
              Tazkirah kepada pegawai-pegawai kerajaan. Seluruh
              pegawai kerajaan yang tinggi dan yang rendah, sebelum
              mereka masuk ke pejabat, mereka berhimpun dalam dewan
              dan mereka diberi ceramah, diberi ucapan secara
              menafsirkan al Quran atau menghurai hadis supaya
              memahami Islam.

              Ini perkara awal yang kami lakukan. Walaupun kerajaan
              dahulu mengadakan juga tetapi mereka yang diambil
              mengisi program ini, mereka ambil imam-imam dari masjid,
              tidak melalui ketua-ketua kerajaan. Kami ubah, di mana
              yang memberi kuliah ialah saya sendiri, Exco-Exco dan
              pegawai tinggi dalam bidang agama, menunjukkan serius
              dalam perubahan yang kita nak lakukan. Inilah antara yang
              kami lakukan.

              Di antaranya ialah kami jadikan harta negeri, hasil negeri
              satu amanah, ianya dikendalikan dengan cara yang
              sebaik-baiknya dan saya mempastikan supaya perjalanan
              berlaku dengan betul.

              Kita telah menubuh portfolio Hisbah yang dipengerusi oleh
              Yang Berhormat Tun Haji Mohd Salleh Abas di mana Hisbah
              ini mempunyai tanggungjawab, untuk bukan sahaja
              menyelidik dan menilai, mengira tindak tanduk kerajaan
              yang lalu bahkan tindak tanduk kerajaan yang ada
              sekarang. Mereka menerima pengaduan daripada rakyat,
              daripada semua pihak dalam perkara yang berkait dengan
              pemerintahan.

              Tujuannya ialah untuk mempastikan perubahan secara
              Islam benar-benar berlaku dan kami benar-benar berada
              dalam suatu era baru yang berbeza dengan era
              sebelumnya.

              Soalan : Mengenai hubungan parti yakni PAS yang saling
              bantu membantu antara PAS dengan kerajaan dan apakah
              hubungan yang terjalin antara parti dengan peringkat
              pegawai kerajaan yang berlaku sekarang? Perhubungannya,

              Hadi: Alhamdulillah baik, di mana parti terus menjadi
              pemerintah. Saya juga di atas sifat Pesuruhjaya PAS negeri
              mengarahkan supaya mesyuarat Dewan Harian PAS,
              pemimpin utama PAS hendaklah kerap diadakan. Di mana
              mesyuarat ini bertujuan supaya kepimpinan parti
              mempastikan perjalanan yang berlaku dalam kerajaan.

              Kami juga akan mengaturkan program-prpgram, di
              antaranya ialah program motivasi, prorram membina
              kefahaman dan pemikiran melalui kursus di mana
              pesertanya terdiri daripada pemimpin parti, pemimpin
              politit dalam kerajaan dan akan diikuti oleh
              pegawai-pegawai kerajaan supaya mereka faham apa yang
              kita kehendaki.

              Kita tak paksa mereka mengikut parti kita. Apa yang
              menjadi kewajipan kepada mereka ialah melaksanakan
              dasar dan polisi yang diatur oleh kerajaan. Dan ini
              memerlukan kefahaman yang betul dan mereka perlu diberi
              kursus, bukan sahaja mereka kena kursus bahkan kami juga
              kena kursus. Ini akan berjalan dari semasa ke semasa.

              Soalan : Menyentuh mengenai pelancongan. Terengganu
              adalah antara destinasi yang digemari oleh para pelancong
              termasuk pelancong asing. Bagaimanakah kerajaan
              mempastikan kedatangan mereka tidak merosakkan
              suasana masyarakat Islam di negeri ini?

              Hadi: Pelancongan tidak haram secara mutlak. Tuajuan
              pelancong datang adalah untuk melihat alam semulajadi
              yang ada di sini dan untuk melihat masyarakat di sini yang
              sebenar. Kerana kalau mereka hendak minum arak, di
              negara mereka lebih banyak arak. Kalau mereka nak buat
              maksiat, di negara mereka lebih bebas membuat maksiat.

              Mereka datang ke sini untuk melihat suatu kelainan. Adalah
              menjadi kewajipan kepada kita bukan sahaja memelihara
              suasana alam sekitar, kita juga bertanggungjawab untuk
              memelihara akhlak, mengadakan peraturan yang menjamin
              akhlak. Di mana kita boleh buat peraturan, mengarahkan
              hotel-hotel, umpamanya kita tidak membenarkan jual arak
              kepada orang Islam.

              Adapun penjualan arak oleh orang bukan Islam kepada
              orang bukan Islam, ini tidak dihalang, ini hak mereka dalam
              negara Islam. Apa yang tidak dibolehkan ialah jual arak
              kepada orang Islam dan orang bukan Islam jual arak
              menggunakan tenaga orang Islam untuk menghidangkan
              arak dan sebagainya, ini tidak dibolehkan.

              Insya Allah kita akan buat kawalan kepada hotel-hotel
              dalam perkara ini. Dan tidak menjadi halangan di mana
              hotel-hotel yang tidak menjual arak dikunjungi juga oleh
              orang-orang bukan Islam dan banyak orang-orang bukan
              Islam sejak akhir-akhir ini tidak suka kepada arak.

              Umpamanya tempat mandi, kita boleh bezakan, tempat ini
              untuk lelaki sahaja, tempat ini untuk perempuan sahaja.
              Kita boleh buat. Ataupun kita tentukan waktu, waktu yang
              tertentu untuk orang lelaki sahaja, waktu yang tertentu
              untuk orang perempuan sahaja, untuk mengelakkan
              daripada pergaulan bebas. Dan ini tidak menjadi halangan
              kepada kedatangan pelancong asing. Mereka datang dan
              sehingga hari ini,

              Alhamdulillah, kedatangan para pelancong dalam negeri
              dan luar negeri tidak terjejas.

              Soalan : Dan yang akhirnya adalah Tuan Guru yakin
              kerajaan Terengganu dapat melaksanakan sepenuhnya
              manifesto PAS dalam pilihan raya umum yang lalu sehingga
              menjelang pilihan raya umum akan datang?

              Hadi: Saya yakin dapat melaksanakan sepenuhnya dalam
              perkara-perkara yang diberi di bawah bidang kuasa
              kerajaan negeri. Adapun dalam perkara yang berkait
              dengan kerajaan Pusat, ini berhajat kepada kesedaran
              kerajaan Pusat sendiri ataupun kita dapat mengambil alih
              kerajaan Pusat.
 

              Dipetik dari :  harakahdaily .com