Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi
istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah
ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada
anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru
dengan risalah ini.
Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini
nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari
pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran
manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh
arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.
Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini
berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat
pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa
yang ada; dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak
memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal
orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke
universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD
dan macam-macam, tapi bodoh.
Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan,
pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi.
Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah.
Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk
menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu
menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia
tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.
Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat
Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang
dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan
untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk
berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.
Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman
mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat
membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang
setia dengan hambaNya yang derhaka.
Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz,
betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah,
ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa
barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia
dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah
Rasulullah S.A.W. dan berpegang teguh kepada agama
Islam. Betulkah ustaz?”
Saya jawab, “betul.”
“Minta maaf ustaz, saya tidak percaya. Sebab, apa yang
saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang
mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”
Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan
ayah saya, bukansahaja sembahyang sehari semalam lima
waktu, tapi tengah malampun bangun sembahyang
tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja
puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamispun mereka
berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali dagingpun
susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke
masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang
teguh kepada agama.”
“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah
sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu.
Puasapun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak
ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati,
katanya. Kalau masuk nerakapun ramai juga orang lain
yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang
sembahyang ni, hidup susah.”
Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat
Allah yang telah dikurniakan kepada
makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada
hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian
yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada
manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah
pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang
dinamakan ISTIDRAJ.
Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada
anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba
lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta
dibelikan. Si ayahpun membelikannya kerana tidak mahu
anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra
diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik.
“Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak
sembahyang.”
Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak
menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik
darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim
tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk.
Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai
dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan
sebagai pemberian yang tidak redha.
Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang
manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan
kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud,
“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi
nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat
(derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah
diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani,
Ahmad dan Baihaqi)
Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan
pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang
datang mencurah daripada Allah S.W.T. kepadanya itu
walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka
itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih
dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.
Manusia Istidraj – Manusia Yang Lupa Daratan
Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah
menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang
memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal
dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid
itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu,
sedangkan dia naik kereta jenis mewah.
“Alah, siang malam ke masjid, kesurau, tapi basikal
burukpun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam
dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah
sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau awak sikit
ibadat, tentu awak juga akan kaya macam aku.” Katanya
sombong.
Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya
sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang. Siang
malam, dia sangka Allah sayangkannya.
Maka mereka yang berpendapar sedemikian, baik mereka
yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi yang kepada
orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka
menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta
kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk
melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat
(derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.
Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama
sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj
daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak
diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati
Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan
kemusnahan.
Kadang-kadang Allah S.W.T. memberikan manusia nikmat
yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,
“Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut,
Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.”
(Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)
Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah
dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau
merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak
membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau
sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu.
Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat
nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia,
bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.
Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah
Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar.
Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah
dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga
jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telahpun
hancur dan musnah.
Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong
membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya,
Tha’labah yang bakhil dan banyak lagi … semuanya telah
musnah kesombongan dan keangkuhan mereka!
Nikmat Allah yng diberikan kepada Firaun tidak terkita
banyaknya. Bersinpun tidak pernah. Jangan kita ingat
kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat,
tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah
binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun
tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati
mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan
takabbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.
Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar
Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana
dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh
seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya!
Tidak ada seorangpun manusia pada hari ini yang sekaya
Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta
membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya
dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak
timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari cari
sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka
Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah
jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.
Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang?
Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa
mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan
jawapan.
Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W.
naik ke langitpun tidak sombong. Kita kalau berjumpa
dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa
bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia meresa
bangga. Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Allah S.W.T.
di langit, tetapi baginda tidakpun sombong.
Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang
zaman. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,
“Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”
Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala
persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi
keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran
kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa
orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah?
Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu
ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam
naik kereta mewah?
Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah.
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya
tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian
itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah
dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang
diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana
digunakannya?
Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus
mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu
ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa
redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan
limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian
yang diredhai Allah.
Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan
seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia
melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil
orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen
ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen.”
Katanya.
Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan
membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah
atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang
RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia
menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada
dalam sakunya adalah wang istidraj.
Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik
yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belumpun sempat
gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya
terlebih dahulu. Diapun membeli tiket untuk
pertunjukan amal itu.
Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita.
Kita sering tertipu dengan label “amal” ini.
Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang
riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuah
tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan
mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang
terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal
pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.
Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga
dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul
gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana
pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab
kadang-kadang banyak kekeliruan dalam
syarahan-syarahan.
Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah
sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini
otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar,
Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi
zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.
Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka
zaman orang bertelanjang Islam sesuai dengan orang
yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti
sesuai dengan perompak. Tidak boleh islam disesuaikan
dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman,
tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.
Tidak beberapa lamu dahulu, saya berjumpa dengan
seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata
haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu
orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.
Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi
halal. Inilah cakap-cakap yang mengelirukan kita.
Kiranya di samping seseorang yang menerima segala
nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan
derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala
kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah
istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai
Allah S.W.T.
Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke
masjid dengan kereta besar kita katakana istidraj.
Orang naik pangkat istidraj, orang-orang besar
istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan
nikmatnya untuk kebajikan, untukmengabdikan dirinya
kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.
Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah
di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat
sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke
Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan
diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin
lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor.
Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan
mudah memasuki Johor.
Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini
dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat
Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih di
hati sanubari sambil berkata,
RedhaMu yang selalu kami rindukan,
Dan marahMu yang sangat kami takuti,
Tuhan …
Lebih baik kami hidup miskin …
… asal dalam redhaMu,
kami tak ingin kepada kekayaan …
… di dalam marahMu.
Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup
kita di dunia mesti ada terget, mesti ada pedoman.
Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam,
ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia
ke tengah. Tidak ada pegangan langsung.
Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada terget
atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia
ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita
selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga
miskin yang kita cari!
Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah
diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat
dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil.
Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita
untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan
Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka
kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan
keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa
keredhaanMu.
Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya
selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahu
A’lam.
(Dipetik dari buku Siri Syarahan Ustaz Yazid Jaafar)
Penyampai,
241200