|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
MAHKAMAH BATAL PETISYEN P/RAYA JELI
KERANA TAK IKUT UNDANG-UNDANG
KOTA BAHARU, 16 Julai -- Mahkamah
Tinggi di sini hari ini membatalkan dengan kos
petisyen membabitkan keputusan pilihan raya umum
kawasan Parlimen Jeli di Kelantan, yang
dikemukakan oleh seorang peniaga kerana tidak
mematuhi peruntukan undang-undang.
Hakim Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff ketika
membaca keputusan penghakimannya berkata
pembuat petisyen, Mustafa Musa tidak mematuhi
Kaedah 3(2) Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya
1954 (Jadual 2) ketika petisyen itu difailkan di
pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Kaedah 3(2) itu menghendaki satu petisyen asal dan
dua salinannya ditinggalkan di pejabat Pendaftar
Mahkamah Tinggi tetapi penyemakan yang dibuat
dalam fail mahkamah mendapati satu petisyen asal
dan satu salinannya ditinggalkan oleh pembuat
petisyen, katanya.
Mohd Ghazali berkata pembuat petisyen juga tidak
mematuhi Kaedah 15 Kaedah-kaedah Petisyen
Pilihan Raya 1954 (Jadual 2) iaitu berhubung
penampalan notis dan petisyen pada papan
kenyataan mahkamah.
"Undang-undang pilihan raya itu adalah mandatori
dan perlu dipatuhi secara ketat. Ketidakpatuhan
terhadap undang-undang tersebut akan mencacatkan
petisyen," katanya.
Mustafa, 50, mengemukakan petisyen berkenaan
bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa
keputusan pilihan raya umum Parlimen Jeli pada 29
Nov lepas tidak sah dan batal kerana didakwanya
berlaku kesalahan-kesalahan mengikut Akta
Kesalahan Pilihan Raya 1954 oleh responden atau
ejen-ejennya termasuk penyogokan, menggunakan
pengaruh yang tidak berpatutan dan kemungkiran
mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya.
Mustafa, diwakili peguam Tan Sri Zaki Tun Azmi,
Zahari Kechik, Mohd Adhan Kechik, Mohd Hafarizam
Harun dan Mohd Apandi Ali.
Responden Mohd Apandi Mohamad, yang juga calon
PAS yang memenangi pilihan raya itu, diwakili
peguam Sulaiman Abdullah, Zamani Ibrahim dan Aimi
Zaini Azhar.
Di mahkamah yang sama hari ini, Pegawai Pengurus
Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengemukakan bantahan awal bagi mengeluarkan
nama mereka yang dijadikan responden dalam
petisyen berhubung keputusan bagi pilihan raya
umum kawasan Parlimen Peringat di Kelantan.
Bantahan awal itu dikemukakan oleh Peguam Kanan
Persekutuan Ahmad Kamal Md Shahid yang dalam
hujahnya berkata pegawai pengurus pilihan raya dan
SPR tidak wajar dinamakan sebagai responden dalam
petisyen berkenaan kerana mengikut Artikel 113
Perlembagaan Persekutuan, SPR adalah sebuah
badan bebas yang tidak boleh didakwa atau
mendakwa.
Beliau berkata pegawai pengurus pilihan raya dan
SPR tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam
sesuatu pilihan raya melainkan bertugas
melaksanakan pilihan raya sebagaimana yang
dikehendaki undang-undang.
"Calon yang dilapor pilih (calon menang pilihan raya)
sahaja yang dihasratkan oleh undang-undang untuk
dinamakan sebagai responden kerana pertikaian yang
berlaku adalah antara calon yang kalah dan calon
yang menang," katanya.
Petisyen itu yang memohon supaya keputusan
pilihan raya bagi kawasan Peringat diisytihar tidak
sah dan batal, difailkan oleh bekas anggota tentera
Che Deris Che Mat Sin dengan menamakan pegawai
pengurus pilihan raya Parlimen Peringat sebagai
responden pertama, SPR sebagai responden kedua
dan calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang
memenangi pilihan raya itu, Muhammad bin Mustafa
sebagai responden ketiga.
Che Deris diwakili peguam Mohd Apandi Ali,
Muhammad Shafee Abdullah dan Burhanudin Abdul
Wahid. Manakala Muhammad diwakili peguam Zainur
Zakaria, Zamani Ibrahim dan Aimi Zaini Azhar.
Perbicaraan disambung esok.