Kadar jenayah terendah
di Terengganu, Kelantan
Oleh Kamarudin Mat Akib
KUALA TERENGGANU,-Terengganu dan Kelantan antara negeri yang mempunyai kadar jenayah yang terendah berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.
Kadar jenayah di Terengganu dan Kelantan masih terkawal serta amat rendah berbanding dengan negeri-negeri lain di sebelah pantai barat.
Pegawai Hal Ehwal Awam Polis Terengganu, Inspektor Abdul Rahman Abdullah berkata demikian di satu majlis Motivasi Pelajar 2001, di Tadika Yayasan Islam, di Taman Permint Jaya, Chendering, baru-baru ini.
"Saya bersyukur kerana Terengganu dan Kelantan masih mempunyai kadar jenayah yang amat rendah sekali," ujarnya.
Katanya, berbanding di negeri-negeri lain di pantai barat semenanjung didapati kadar jenayah negeri Terengganu dan Kelantan masih rendah.
Menurutnya, kesalahan jenayah yang biasa dilakukan seperti mencuri dan meragut yang melibatkan golongan remaja.
Selain itu katanya, beberapa punca telah dikenal pasti yang mendorong berlaku kesalahan jenayah terutama di kalangan remaja di negeri ini.
Menurutnya, di kalangan remaja banyak menghabiskan masa dengan kegiatan melepak, merokok, lumba haram serta aktiviti yang tidak berfaedah.
Katanya, sikap ibubapa juga yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing serta keadaan persekitaran seperti rumah flat yang tidak mempunyai kawasan permainan.
"Ibubapa yang bekerja tidak mempunyai masa bersama anak-anak serta kurang memberi perhatian di rumah," ujarnya.
Menurutnya, disiplin hidup serta perlakuan seseorang itu bermula dari didikan rumah di bawah tanggungjawab ibubapa masing-masing.
Manakala katanya, di luar rumah setiap orang akan terikat pula dengan undang-undang pihak berkuasa.
Tambahnya lagi, pihak polis cuma menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan tidak berkuasa untuk menghukum seseorang pesalah.
Katanya, pihak yang mempunyai kuasa menghukum seseorang pesalah adalah mahkamah.
Seramai 120 pelajar menyertai
majlis tersebut yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Mutalib Embong.
Sumber : Harakahdaily