ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU
 

JSR diingat jauhi sifat buruk JKKK
Oleh Kamarudin Mat Akib

KUALA TERENGGANU, 16 Nov (Hrkh) - Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dinasihatkan supaya menjaga tingkah laku mereka dan menjauhi sifat buruk yang dimiliki anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri, Ustaz Abu Bakar Chik, berkata kerajaan negeri tidak mahu JSR yang dipilih berdasarkan suara rakyat mengikut jejak langkah ahli JKKK yang bersifat keji seperti sanggup memecahkan gambar pemimpin negeri yang diletakkan di tempat awam.

"Walaupun berada dalam keadaan emosional, saya harap anggota JSR tidak melakukan perbuatan yang di luar batasan seperti yang dilakukan JKKK," katanya ketika berucap di majlis penyerahan sangkar ikan kepada penternak ikan air tawar di Kampung Telok Menara di sini hari ini.

Menurut laporan Harakah minggu lalu, orang ramai menyatakan kekesalan amat sangat dengan peristiwa memecahkan gambar Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di majlis penerangan JKKK Kuala Nerus, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, beberapa orang di kalangan JKKK dikatakan bertindak membaling gambar Ustaz Hadi yang digantung di Dewan Institut Perindustrian Gong Badak, serta memecahkannya.

Ustaz Abu Bakar berkata, kerajaan negeri yakin dengan kewibawaan ahli JSR dan mereka tidak akan melakukan perbuatan biadap seumpama itu.

"Bagaimanapun, ingatan ini perlu diberikan kerana kita terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah orang ramai pada setiap hari," katanya.

Beliau juga meminta JSR supaya bertindak sebagai pengaman di kawasan mereka dan mengadakan usaha untuk memupuk perpaduan.

"Biarlah pembentukan semula JKKK akan menjadi punca perpecahan di kalangan rakyat negeri ini, kita akan berusaha memupuk semula perpaduan penduduk tempatan," ujarnya.
 

harakahdaily