KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Hrkh) - Wakil Ajil, Rosol Wahid telah diarahkan meninggalkan Dewan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Ustaz Husain Awang pada persidangan DUN hari ini.
Ustaz Husain mengarahkan demikian pada jam 12.49 tengahari apabila wakil BN itu tidak mahu menarik balik kenyataannya membohongi DUN yang menuduh kononnya ada pemimpin PAS di negeri ini mendapat kawasan balak dan hidup agak mewah.
Ekoran kenyataannya semasa membahaskan Belanjawan Negeri Tahun 2001 itu, beberapa wakil kerajaan termasuk Exco meminta supaya dibuktikan tuduhan itu.
Beliau bagaimanapun menyatakan bukan pemimpin PAS tetapi pimpinan bawahan menyebabkan sekali lagi didesak supaya dibuktikan atau menarik balik tuduhannya itu.
Dalam keadaan yang agak tegang itu, Yang Dipertua Dewan beberapa kali meminta supaya wakil itu menarik balik tuduhan itu sebelum meneruskan perbahasan tetapi enggan.
Selepas persidangan ditangguhkan kira-kira sepuluh minit, Yang Dipertua
Dewan mengarahkan wakil BN itu meninggalkan Dewan dengan merujuk kepada
perkara 51(2) Peraturan Tetap Dewan.