SEJENAK BERSAMA YB KETUA DEWAN ULAMAK

ROSLAN SMS

Pada hari Sabtu yang lepas sejurus selepas solat tarawih saya berkesempatan untuk
bersama-sama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga anggota EXCO Kerajaan
Negeri Trengganu yang baru iaitu YB Ustaz Harun Taib atas undangan Ketua Dewan
Ulamak PAS Selangor. Ustaz Harun diiringi oleh YB Ustaz Ismail Mamat ADUN PAS
Teluk Pasu dan mereka baru saja selesai menghadiri satu perjumpaan bersama para
pelajar di UKM. Kami bertemu di R&R Awan Besar di KESAS Highway sambil menjamu
satey kajang disana (Ustaz Ismail belanja - terima kasih). Dari situ kami terus ke tempat
penginapan Ustaz Harun iaitu disalah sebuah hotel di Subang Jaya.

Disana Ustaz Harun memaklumkan kepada kami darihal keadaan di Trengganu kini. Dan
kami pun mengambil kesempatan mengemukakan berbagai soalan. Alhamdulillah menurut
Ustaz Harun segalanya terkawal dan para pegawai kanan kerajaan negeri yang sungguhpun
ramai  diketahui condong kepada UMNO satu ketika dahulu kini berkhidmat dengan baik
dan penuh taat setia dibawah kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang.
Mereka dinasihatkan bahwa mereka bertugas sebagai pelaksana dasar dan rancangan
kerajaan negeri, dulu kerajaan UMNO, kini PAS namun tugas dan tanggungjawab mereka
adalah sama dan mereka semua akur.

Ustaz Harun yakin kiranya mereka ini memberikan tumpuan pada tugas mereka satu hari
nanti mereka akan dapat menyaksikan sendiri keadilan Islam itu dan tidak mustahil akan
bersama-sama kita pula.

Memang ada beberapa tindakan kerajaan UMNO yang dahulu disemak semula oleh
kerajaan PAS yang baru. Antaranya adalah berhubung imam-imam yang dipecat
semata-mata kerana menjadi ahli PAS. Menurut Ustaz Harun pegawai yang
bertanggungjawab dipanggil dan diminta mengambil semula semua imam-imam ini
sekiranya tujuan mereka dipecat bukan kerana salah-laku atau jenayah tetapi semata-mata
kerana menjadi aktivis PAS. Begitu juga dengan guru-guru agama negeri yang dipecat atas
arahan tokoh UMNO tertentu umpamanya Yusof Nor, oleh kerana pemecatan mereka
semata-mata kerana tindakan politik tokoh berkenaan maka guru-gururtadi diarahkan
diambil semula.

Alhamdulillah kezaliman UMNO dahulu telah dapat diatasi dengan keadilan Islam yang
cuba dibawa oleh PAS. Malah sehingga kini belum ada mana-mana aktivis UMNO yang
memegang jawatan dalam kerajaan negeri samada sebagai pegawai kanan, pegawai biasa,
kakitangan biasa, guru ataupun imam-imam yang telah dipecat atau diambil tindakan oleh
kerajaan PAS atas sentimen politik. Kes SUK bukannya dipecat tapi meletakkan jawatan!

Ustaz Harun menegaskan bahwa beliau sendiri selaku EXCO Pendidikan, Dakwah dan
Perlaksanaan Syariah amat berhati-hati dalam melaksanakan kerjanya terutama sekali
dalam mengelakkan amalan kronisma dan nepotisma sebagaimana yang diamalkan oleh
UMNO dahulu. Sebarang sokongan atau bantuan yang dikeluar atau disalurkan akan
dipastikan berdasarkan merit seseorang dan tidak kerana pilih kasih. Nyatalah tugas yang
didepannya dan begitu juga barisan EXCO yang lain begitu berat dan mencabar.

Kami berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Ustaz Harun yang berlarutan
sehingga jam 1.30 pagi itu. Sebelum balik kami sempat bertanya kenapa Ustaz Harun dan
Ustaz Ismail tinggal sebilik dan tidak berasingan, jawab Ustaz Harun, tak boleh kena
berhati-hati, kami semua tersenyum faham (peristiwa fitnah yang tekena pada YB Mat
Sabu satu ketika dulu perlu menjadi iktibar kepada pimpinan PAS) Sesungguhnya
puak-puak musuh bersengkang mata untuk mencari peluang mengaib dan menjatuhkan PAS
yang telah menampar kuat mereka pada pilihanraya lalu.

Selamat berjaya Kerajaan Trengganu yang baru!

Roslan_s@yahoo.com