KUALA TERENGGANU, 8 Mac : Kerajaan Kelantan
dan Terengganu
bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi
memajukan kedua-dua negeri tersebut yang kini di bawah pemerintahan
PAS.
Persetujuan itu telah dicapai dalam pertemuan pemimpin tertinggi
kedua-dua negeri itu yang diadakan di Wisma Darul Iman, Selasa lalu.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang
mengetuai rombongan Kerajaan PAS Kelantan, berkata pihaknya telah
membuat tawaran kepada Kerajaan Terengganu untuk mengusahakan
tanaman jagung secara besar-besaran bagi diproses sebagai makanan
ternakan.
"Kelantan sudah mengusahakan tanaman tersebut sejak beberapa tahun
lalu dan kami mempunyai kilang untuk memproses jagung menjadi makanan
ternakan," katanya ketika ditemui selepas perbincangan dengan Menteri
Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pemimpin negeri.
Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya mahu memperluaskan tanaman jagung
yang akan dijadikan tanaman alternatif kepada tembakau.
"Selain tidak baik untuk kesihatan, tanaman tembakau juga menghadapi
risiko yang tinggi, termasuk mudah mati jika ditenggelami air," tambahnya.
Abdul Hadi pula berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan negeri, Ustaz Abu Bakar
Chik, untuk membuat kajian lebih mendalam mengenai tawaran itu.
Beliau berkata, pada dasarnya Kerajaan Terengganu bersetuju untuk
memajukan tanaman itu kerana ia sangat sesuai dalam usaha kerajaan
mengurangkan import negara.
Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya juga meminta kerjasama
Kerajaan Terengganu untuk mengatasi masalah kekurangan air, khususnya
di kawasan daerah yang bersempadan dengan negeri ini.
"Saya difahamkan bekalan air di daerah Besut berlebihan dan ia boleh
dibekalkan ke daerah Pasir Puteh," katanya.
Menteri Besar Terengganu berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah
untuk membekalkan air ke Kelantan dan rundingan lanjut mengenai perkara
itu akan dilakukan selepas ini.
"Kita juga akan bekerjasama dalam hal-hal lain yang boleh memberi
kepentingan kepada rakyat di kedua-dua negeri," tambahnya.