KUALA TERENGGANU, 20 Feb -- Lembaga Kemajuan
Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Cabaran
Kenyir, pertandingan mendaki gunung Gagau, Taman Negara di
Tasik Kenyir pada 24 hingga 26 Mac ini.
Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir dan Pelancongan Hamzah
Ngah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata acara dua
tahun
sekali yang bagi kali ke-empat itu terbahagi kepada tiga kategori
iaitu individu lelaki, wanita dan berpasukan seramai empat orang.
Beliau berkata pertandingan itu terhad kepada 200 orang dan
menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM11,200 kepada
pemenang-pemenang kategori yang dipertandingkan itu.
Menurutnya gunung Gagau yang terletak di sempadan
Terengganu, Pahang dan Kelantan itu mempunyai ketinggian 1,375
meter daripada aras laut dan acara terbabit merupakan satu lagi
cabaran rekreasi kepada para peminat sukan mendaki di negara
ini.
Katanya konsep pertandingan pelancongan berasaskan alam
sekitar itu menitikberatkan pemuliharaan alam semulajadi dan
ia
terbuka kepada semua peringkat umur.
Hamzah berkata peserta dikehendaki membawa peralatan
perkhemahan sendiri manakala penganjur menyediakan
pengangkutan dari Pangkalan Gawi ke Sungai Cicir di Taman
Negara.
Beliau berkata tarikh tutup penyertaan pada 10 Mac ini.
Menurutnya johan bagi acara berpasukan menerima wang tunai
RM2,000 manakala individu lelaki dan wanita, masing-masing
menerima RM1,000. Naib johan, RM1,500 untuk berpasukan dan
individu lelaki dan wanita pula menerima RM700.
Manakala tempat ketiga acara berpasukan menerima RM1,000,
individu lelaki dan wanita masing-masing menerima RM400.
Sementara RM700 bagi tempat ke-empat acara berpasukan dan
masing-masing RM300 bagi kategori individu lelaki dan wanita.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Urusetia, Cabaran
Kenyir, Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir dan Pelancongan,
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Beg Berkunci No.3, 23409
Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu atau telefon
09-8221101 hingga 105, 8221131 hingga 135, 8221204 hingga
209.
Selain itu mereka boleh menghubungi Pusat Penerangan
Pelancong, Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir atau talian 010-9340101;
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tingkat 6, Wisma
Persekutuan, 20200 Kuala Terengganu atau talian
09-6222344/6223696 atau faksimili 09-6236596.
|