Terengganu mahu wujud
15,000 peluang pekerjaan
KUALA TERENGGANU April 10
(Hrkh) - Kerajaan negeri akan
berusaha untuk menarik
sekurang-kurangnya 75 projek
pelaburan dalam tempoh Rancangan
Malaysia Kelapan (RM8) bagi
mewujudkan lebih 15,000 peluang
pekerjaan baru kepada penduduk
tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Ekonomi, Petroleum,
Perindustrian dan Sumber Manusia
negeri, Haji Mustafa Ali, berkata
dengan siapnya Kompleks
Petrokemikal Bersepadu Petronas di
Kertih, pihaknya akan menerokai
peringkat hiliran kegiatan petrokimia,
bagi membantu menarik lebih ramai
pelabur ke negeri ini.
"Kerajaan negeri akan meneruskan
dasar menjadikan Terengganu
sebagai negeri yang disenangi dan
menjadi rakan kepada pelabur kerana
kita mahu menjadi tuan rumah (untuk
pelaburan) paling baik di rantau ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam
ucapan alu-aluan kepada rombongan
pelabur dari Britain yang dalam
rangka lawatan tiga hari ke negeri ini
untuk meninjau peluang pelaburan,
khususnya di bidang petroleum,
baru-baru ini.
Rombongan yang mengandungi 32
orang daripada pelbagai syarikat
multinasional negara berkenaan
diketuai oleh Pengarah Perdagangan
dan Pelaburan Pesuruhjaya Tinggi
British di Malaysia, Horward
Parkinson.
Mustafa berkata, dalam usaha
menarik pelabur pihaknya akan
menyediakan pelbagai kemudahan
kepada mereka, terutamanya di segi
sokongan logistik untuk perusahaan,
bagi memastikan mereka dapat
menjalankan pelaburan dengan
lancar.
Sementara itu, Parkinson berkata,
kini syarikat-syarikat gergasi dari
negaranya mempunyai keyakinan
untuk melabur dalam pelbagai bidang
di negara ini, termasuk Terengganu
kerana kesediaan kerajaan memberi
galakan kepada mereka untuk
berbuat demikian.
Beliau berkata, hubungan baik
dengan kerajaan Malaysia dan
pelbagai insentif yang disediakan
bagi tujuan pelaburan boleh
membuka ruang kepada syarikat
berkenaan untuk membuka pelaburan
baru atau mengembangkan
perusahaan yang sedia ada.
"Bilangan pelajar dari negara ini yang
mendapat latihan dalam pelbagai
bidang pendidikan di Britain yang
agak tinggi dan kemampuan
penduduk tempatan menguasai
bahasa Inggeris juga menjadi aset
kepada Malaysia untuk menarik lebih
ramai pelabur asing, khususnya dari
Britain," tambahnya.
|