MEMBANGUN MENURUT ISLAM BERSAMA MENGISI KEMENAGAN |
KEAMANAN DAN KESELAMATAN NEGARA
TANGGUNGJAWAB SEMUA, KATA FADZIL
KOTA BAHARU, 31 Julai -- Soal keamanan dan
keselamatan negara tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab
parti pemerintah sahaja, sebaliknya ia harus dipikul semua rakyat
dan parti politik di negara ini, kata Presiden PAS Datuk Fadzil Noor.
Katanya sebagai parti politik yang bertanggungjawab, PAS juga
turut bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan
negara.
"Kita kalah berkali-kali dalam pilihan raya, (tapi) tak pernah hendak
buat huru-hara atau mengubah pendekatan," katanya ketika
berceramah di sini, malam tadi.
Fadzil yang juga ketua pembangkang di Parlimen mengemukakan
tiga permintaan kepada kerajaan berhubung kes rompakan senjata
api di Gerik, Perak baru-baru ini dalam soal keamanan dan
keselamatan.
Katanya sebuah Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi
membuat siasatan secara bebas berhubung insiden itu.
Beliau juga meminta polis dan tentera memberikan taklimat kepada
semua anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang mengenai
insiden itu.
Menurut Fadzil apabila kes Memali berlaku di Baling, beliau yang
ketika itu menjadi anggota dewan undangan negeri Kedah, turut
diundang mendengar taklimat yang disampaikan polis Kedah
bersama penyokong kerajaan.
Selain daripada itu beliau juga mahu perbincangan diadakan di
kalangan semua pemimpin parti politik termasuk Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara itu.
Ketiga-tiga permintaan itu diharap akan dapat menegakkan
keadilan dan tiada usaha mengaitkan PAS dengan insiden itu,
katanya. --