KUALA TERENGGANU, Ahad -
Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Terengganu menggesa
        ahlinya supaya tidak meletakkan
jawatan sebelum kerajaan Pas Terengganu mengambil tindakan memecat
        mereka.
        Pengerusi persatuan itu,
Nawang Ismail, berkata jika tindakan meletakkan jawatan itu diambil, mereka
        mungkin dianggap bersalah
kerana tidak mahu menjalankan tugas yang diamanahkan.
        Sebaliknya, katanya, mereka
perlu menunggu kerajaan negeri mengambil tindakan memecat mereka dengan
        memberikan alasan tertentu.
        "Saya tidak mahu kerajaan
negeri memecat ketua kampung yang dilantik sebelum ini kerana tidak
        menyokong Pas tanpa alasan
tertentu," katanya mengulas tindakan kira-kira 59 ketua kampung di daerah
        Marang yang menolak tawaran
untuk berkhidmat di bawah kerajaan Pas.
        Sebaik Pas memerintah Terengganu
selepas pilihan raya umum lalu, semua jawatan Pengerusi
        Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) digantung, menyebabkan kedudukan mereka
        terumbang-ambing.
        Nawang berkata, kerajaan
negeri juga perlu menyatakan sebab pemecatan itu secara bertulis bagi
        membuktikan mereka bersikap
adil, termasuk ke atas penyokong Barisan Nasional (BN).
        "Jika mengambil tindakan
berhenti, bermakna kerajaan negeri mempunyai alasan untuk tidak membayar
        pampasan. Sebaliknya jika
dipecat, mereka berpeluang menerima imbuhan setimpal," katanya.
        Sebelum ini, persatuan menuntut
kerajaan Negeri membayar pampasan antara RM1,800 dan RM2,400
        seorang kepada 606 ketua
kampung yang dilantik sebelum ini.
        Menurutnya, jika ketua kampung
mengambil tindakan terburu-buru enggan meneruskan perkhidmatan di
        bawah kerajaan Pas, mereka
akan dianggap mementingkan politik sedangkan jawatan berkenaan untuk
        berkhidmat kepada masyarakat
kampung tanpa mengira fahaman politik.
        Kerajaan Pas pula dikatakan
membubarkan JKKK dan membentuk Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR)
        dalam usaha memilih ketua
kampung, sekali gus bertindak sebagai pengerusi JSR.
        Nawang juga menganggap pemilihan
ahli JSR sebagai tidak adil dan bertentangan dengan amalan demokrasi
        kerana hanya enam yang dipilih
manakala 10 lagi dilantik.