Kharaj - Niat Baik Yang Disalahfaham
Apabila Tn. Guru Hj. Hadi mengumumkan tentang kutipan zakat dan
kharaj bagi rakyat negeri Terengganu maka pelbagai tohmahan dan
pendapat liar dilontarkan kepada kerajaan PAS pimpinan Hj. Hadi ini.
Sedangkan hasrat beliau ialah untuk memberikan sesuatu yang berguna
kepada rakyat setelah memberikan mandat kepada PAS untuk memerintah
negeri.
Sebagai orang Islam, mereka telah lama mempraktikkan pembayaran
zakat. Kadarnya juga tetap iaitu 2.5 peratus seperti yang ada dalam ajaran
Islam. Berikut adalah antara kelebihan yang telah dimiliki oleh masyarakat
Islam dengan dana zakat ini:
1. Mereka berjaya mempraktikkan ajaran agama dan mensucikan
pendapatan serta harta benda mereka seperti yang dituntut.
2. Bayaran zakat yang dibuat dapat pula pelepasan cukai pendapatan.
Maknanya, kalau seseorang itu membayar zakat tahun tersebut RM500/-
dan taksir cukai pendapatan pula RM1500/- maka dia cuma membayar
RM1000/- sahaja cukai. Jadi tidak timbul kes dimana dia perlu bayar
lebih.
3. Kutipan zakat ini pula, umumnya, dibayar di Jabatan Agama Islam
negeri masing-masing. Bermakna dana dari kutipan zakat terkumpul di
negeri masing-masing. Oleh itu masyarakat tempatan akan menikmati dana
ini. Ini berbeza dengan cukai pendapatan yang mana dana tersebut masuk
kepada kerajaan persekutuan.
4. Duit zakat ini digunakan hanya untuk orang Islam. Malah telah banyak
program yang diatur oleh Jabatan Agama Islam untuk kebaikan umat.
Pendek kata orang Islam mempunyai dananya tersendiri untuk kemajuan
mereka termasuk untuk urusan pinjaman, membangunkan tadika Islam,
sekolah dan sebagainya.
Kini persoalannya ialah bagaimana pula dengan mereka yang bukan Islam?
Mereka membayar cukai dan dana tersebut masuk ke tabung persekutuan,
sedangkan tidak semua yang bukan Islam itu hidup senang. Dalam orang
Islam dinegeri masing-masing menikmati sebahagian dana yang diketepikan
dalam bentuk zakat tadi untuk dimanfaatkan, mereka yang bukan Islam
tiada sebarang tabungan sedemikian.
Atas kesedaran inilah maka Tn. Guru Hj. Hadi memperkenalkan apa yg
telah disarankan oleh Islam iaitu Kharaj. Memang kerajaan negeri juga
akan teruskan pembangunan dan membantu semua rakyat di negeri
Terengganu tanpa mengira bangsa dan agama. Tetapi alangkah lebih baik
sekiranya bukan Islam juga mempunyai dananya tersendiri melalui kutipan
kharaj bagi tujuan mereka sendiri?
Yang pasti dana ini tidak boleh digunakan untuk orang Islam sebab
hasilnya datang daripada pelbagai sumber yang tidak mengikut syariat.
Tetapi ia boleh digunakan oleh orang bukan Islam untuk tujuan
pembangunan yang cenderung kepada adat resam dan keagamaan mereka.
Khusus untuk membantu golongan miskin mereka. Tetapi ini bukanlah
bermaksud kerajaan negeri boleh melupakan tanggung jawab mereka.
Pelan induk untuk kebaikan dan pembangunan semua rakyat tetap
diteruskan tanpa pergantungan kepada dana-dana ini.
Kewujudan dana sebegini bukan untuk kerajaan ambil mudah tanggung
jawab yang terpikul. Ia bolehlah dianggap sebagai 'added value'
semata-mata. Kenapa 5-10%? Salah satu sebab yang saya nampak ialah
di Terengganu golongan bukan Islam adalah minoriti. Oleh itu kutipan
sebanyak itu diharapkan membawa satu dana yang lebih besar dan
bermakna kepada pembangunan bukan Islam disana. Ingat! Ini bukanlah
bermakna kerajaan negeri boleh pejamkan mata terhadap masalah
golongan bukan Islam, cuma kini mereka punya kelebihan apabila ada
dananya sendiri.
Pastinya, kharaj ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat
pelepasan cukai. Kalau tiada pelepasan cukai maka ia dilihat sebagai tidak
adil kepada yang bukan Islam. Malah tanpa pelepasan cukai seperti zakat,
agak sukar untuk mendapat sokongan dari bukan Islam. Untuk
membolehkan proses pelepasan cukai diperolehi maka perlulah ada
golongan pendesak bukan sahaja dari pihak kerajaan negeri tetapi juga
dari mereka yang bukan Islam.
Fikirkan kebaikan kharaj ini. Mustahil Tn. Guru Hj. Hadi mahu menindas
bukan Islam hanya sehari dua selepas menjadi MB. Kepada yang bukan
Islam, fikirkanlah kebaikan yang bakal masyarakat anda perolehi dari
sistem Islam ini. Pendirian Senator Datuk Abdul Hamid Othman yang
menyarankan agar kita dengar penjelasan Tn. Guru Hj Hadi dahulu adalah
sesuatu yang dipuji.
Nampaknya Tok Mid lebih berlapang dada kali ini. Syabass... sesiapa juga
boleh berubah. Yang penting untuk kemajuan dan kebaikan semua.