Kerajaan negeri melakukan semakan terhadap permohonan rumah kos rendah
bagi memastikan tiada pemohon yang
sudah mempunyai rumah mendapat kelulusan sedangkan mereka yang benar-benar
memerlukan tidak
memperolehinya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar
negeri Wan Abdul Mutalib Embong
berkata hasrat kerajaan negeri ialah memastikan semua rakyat mendapat
hak mereka asalkan permohonan mereka
memenuhi syarat.
Antara syarat itu ialah berpendapatan bulanan bawah RM2,000, sudah berkahwin
dan mempunyai anak, tidak
mempunyai rumah sendiri dan merupakan permohonan pertama, dan berkeupayaan
membayar balik pinjaman,
katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan
negeri hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan mengenai pemohon-pemohon rumah kos rendah
yang dibatalkan permohonan
mereka dan diminta mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan rumah
kos rendah.
Wan Mutalib berkata kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap
rakyat mengenai pengagihan rumah kos
rendah, dan tidak timbul soal penyokong Barisan Nasional (BN) atau
Pas.
Mengenai tindakan menaikkan harga rumah kos rendah daripada RM25,000
kepada RM28,000 seunit, beliau berkata
kenaikan itu adalah untuk semua projek baru dan tidak melibatkan projek
yang telah dibayar oleh pemohon atau yang
sedia ada.
"Kenaikan harga RM3,000 itu adalah kerana kita meningkatkan kemudahan
infrastruktur di projek perumahan kos
rendah berkenaan seperti meningkatkan sistem perparitan, kemudahan
persekitaran dan rumah lebih berkualiti,"
katanya.
Beliau berkata kenaikan itu dalam lingkungan pelarasan yang dibuat oleh
kerajaan persekutuan yang menetapkan
harga siling rumah kos rendah antara RM25,000 dengan RM35,000, dan
sehingga RM40,000 bagi kawasan bandar.
Antara projek baru yang terlibat dengan kenaikan harga itu ialah di
Taman Permint Perdana di Seberang Takir yang
melibatkan sebanyak 480 unit rumah.
Wan Abdul Mutalib berkata bagi projek perumahan yang dilaksanakan oleh
swasta, kerajaan negeri akan memastikan
pemaju menyediakan kuota rumah kos rendah di kawasan perumahan itu
dan ia mesti menepati harga yang
ditentukan.
Mengenai penduduk yang terlibat dengan hakisan pantai di Kuala Ibai,
beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari
kawasan untuk menempatkan penduduk yang terlibat dengan masalah itu
di sekitar kawasan berhampiran.
"Antara 200 dan 250 buah keluarga terlibat dengan hakisan itu terutanma
di kawasan lagun Kuala Ibai dan kita sedang
mengatur rancangan untuk menempatkan mereka semula ke kawasan-kawasan
yang lebih selamat," katanya.