SEMUA pihak perlu memberikan peluang kepada
kerajaan PAS yang baru mengambil alih teraju
kerajaan Terengganu selepas pilihan raya umum
ke-10 lalu untuk melaksanakan manifesto pilihan
raya bagi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Demikian antara pandangan yang diberikan oleh
bekas Pengerusi Parti Melayu Semangat 46 (S46)
negeri, Tengku Seri Paduka Raja. Berikut ialah
wawancara beliau oleh wartawan Harakah, AZMI
YUSOF di pejabatnya, baru-baru ini.
SOALAN (S) Kejayaan besar PAS dan Barisan
Alternatif di Terengganu dalam pilihan raya umum
ke 10 lalu adalah di luar jangkaan banyak pihak.
Pada pandangan YM Tengku, apakah faktor yang
menyumbang kepada kejayaan itu?
JAWAPAN (J) Semasa sebelum pilihan raya, saya
dah jangka PAS dan Barisan Alternatif boleh
menang pilihan raya umum ini dan waktu itu
dijangka antara 20 dan 22 kerusi Dewan Undangan
Negeri, pihak PAS memberitahu saya menang 18
kerusi sahaja. Tapi keputusan sebenar sampai 28
kerusi.
Faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini
ialah kerana kerajaan Barisan Nasional memegang
teraju pemerintahan terlampau lama, dia dah jadi
macam 'way of life', dia jangka boleh terus
perintah selagi ada matahari dan bulan.
Dan saya cukup suka kerajaan Barisan Alternatif
menang kerana kita mahu tengok perubahan.
Sebab style/cara pemerintahan BN tidak secocok
dengan rakyat Terengganu, sebab itu dia ditolak.
Faktor yang pertama sekali rakyat tolak BN/Umno
di Terengganu ini ialah kerana penindasan yang
dilakukan terhadap Anwar Ibrahim. Tidak boleh lari
dari faktor itu.
Macam Dr Mahathir sendiri, dia panggil 'press
conference', melalui televisyen dan sebagainya
yang mendedahkan perkara-perkara yang tidak
ada kesahihan lagi, tuduh dulu di atas
perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Kezaliman
dan penganiayaan yang dilakukan kepada Anwar
Ibrahim atau tuduhan yang kurang jelas dan
memalukan dengan menggunakan media massa
kepunyaan Umno menuduh beliau dan keluarga
beliau dengan berbagai-bagai fitnah yang belum
tentu kesahihannya.
Dia 'charge' dulu sebelum dibawa ke mahkamah.
Rakyat tidak gemar cara tindakan itu, itu bukan
budaya Melayu. Satu lagi ialah penerangan melalui
ceramah-ceramah yang dilakukan oleh para
pemimpin PAS dan Barisan Alternatif yang
berpanjangan juga dapat memikat hati para
pengundi di negeri Terengganu ini untuk mereka
memahami lebih dekat lagi perkara-perkara yang
berlaku di negara Malaysia ini, khususnya yang
berlaku di negeri Terengganu ini.
Dan seperti apa yang kita tahu yang berlaku
kepada Setiausaha Kerajaan yang ada sekarang
ini, Dato' Senara Muda Mazlan Hashim. Ini juga
naik kebencian pegawai-pegawai kerajaan
terhadap kepimpinan dan pentadbiran kerajaan
Umno/BN ketika itu.
Dan mereka telah menggunakan pilihan raya umum
itu untuk menyuarakan bangkangan mereka dan
tidak puas hati mereka terhadap cara pentadbiran
kerajaan Umno/BN.
S: Setakat 100 hari pemerintahan PAS di
Terengganu, beberapa perubahan telah dilakukan
seperti penghapusan bayaran tol di Jambatan
Sultan Mahmud dan cukai pintu, premis judi mulai
dihapuskan. Apa pandangan YM Tengku mengenai
perubahan itu dan kesannya kepada pentadbiran
kerajaan negeri dan kebajikan rakyat?
J: Saya berpendapat penghapusan tol di Jambatan
Sultan Mahmud itu adalah tepat sekali. Kita tidak
mahu perkara ini berpanjangan. Dulu mula-mula
dibuka, kita bayar hanya satu hala sahaja,
kemudian ditukar jadi bayaran dua hala, jadi RM1
sekali pergi dan balik. Bagi saya, ini adalah perkara
yang baik dengan menghapuskan tol di Jambatan
Sultan Mahmud.
Satu lagi mengenai dengan judi. Judi ini seperti
apa yang kita lihat dari segi agama Islam, haram,
tidak siapa boleh menafikan. Kalau kita kaitkan
dengan bangsa-bangsa lain, mereka tidak kata judi
itu baik untuk mereka. Judi akan membawa
berbagai-bagai masalah kepada orang yang berjudi
dan keluarga mereka.
Kita boleh lihat, hampir 90 peratus di kalangan
orang yang berjudi ini adalah di kalangan orang
kita, Melayu/Islam. Jadi kenapa kita nak kekalkan
judi ini di negeri kita. Saya sokong penuh
hapuskan judi ini. Mengenai hiburan, karaoke.
Karaoke ini pun ada gejala yang tidak sihat. Ada
karaoke, ada perempuan, ada minum arak. Dan
ada kala pada hari-hari perayaan, ada orang pergi
karaoke bertumbuk kerana mabuk.
Perkara macam ini, kita tidak boleh biarkan. Judi,
arak, karaoke ini, ia pergi sehaluan. Karaoke mesti
ada arak dan perempuan. Saya bersetuju sangat
kalau perkara ini dapat dibendung atau
dihapuskan. Ada lagi cara-cara lain yang boleh
dibuat.
Kalau orang bukan Islam, kalau dia nak karaoke,
kita kerajaan Islam mesti timbang, kita hadkan. Ini
untuk orang dia sahaja, orang bukan Islam.
Kerajaan mesti buat syarat yang ketat supaya
benda seperti ini tidak dipandang sebagai tempat
maksiat. Perkara-perkara yang membawa kepada
keburukan tidak boleh dibiarkan. Kalau sesama
mereka mabuk, mereka juga bertumbuk.
Penghapusan cukai pintu untuk rumah kediaman,
ini satu perkara yang baik. Rakyat ramai yang
miskin. Banyak mana sangat hasil bayaran cukai
pintu. Bagaimana sukanya rakyat mengenai
pemansuhan cukai pintu ini. Duit yang mereka
bayar untuk cukai pintu ini dapat digunakan untuk
tujuan persekolahan anak-anak.
Ada juga orang persoalkan, kalau dihapuskan cukai
pintu, nak dapat hasil bagaimana. Negeri kita ada
hasil daripada minyak dan gas. Banyak mana
sangat yang dapat daripada cukai pintu oleh pihak
majlis daerah. Jika berlaku kekurangan, salurkan
daripada hasil minyak itu. Ini satu perkara yang
sangat baik untuk kerajaan menolong rakyat.
Saya difahamkan untuk masa depan, kerajaan
memperolehi RM600 juta hasil daripada minyak dan
gas. Kita gunakan wang ini untuk tolong rakyat
khususnya rakyat yang miskin, ini cara yang baik.
S: Bagaimana pula mengenai kepemimpinan
kerajaan baru yang diketuai oleh Menteri Besar,
YAB Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan komposisi
Exco-Exco. Adakah ia berupaya melakukan
sesuatu yang baru terutama dalam mempertingkat
kecekapan dan keberkesanan pentadbiran
kerajaan?
J: Kerajaan baru ini berkuasa tidak sampai lagi
empat bulan. Saya harap semua pihak berilah
peluang kepada kerajaan baru ini untuk mentadbir
negeri ini. Jangan ingat senang, mentadbir ini
payah tetapi saya percaya dengan kewibawaan
Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Tuan Guru
Haji Abdul Hadi dan rakan-rakan beliau dalam Exco
yang mana semuanya berkebolehan tinggi,
bukannya sembarangan orang.
Mereka mempunyai pengalaman, kelulusan dan
kemahiran yang tinggi. Ini gabungan yang bagus,
mereka perlu diberi peluang. Dulu PAS sebagai
pembangkang, lain. Tapi kini bila menjadi kerajaan
mesti mengkaji dahulu sesuatu perkara, tidak
boleh buat sewenang-wenang dari segi
undang-undang negeri dan undang-undang
Persekutuan.
Sebab undang-undang, jika bercanggah antara
negeri dengan Persekutuan, kena pakai yang
Persekutuan. Jadi para pemimpin PAS kena jaga
semuanya ini kerana telah menjadi pemerintah.
Saya sendiri sehingga ini, personal feeling amat
berpuas hati dengan kerajaan PAS dan saya
percaya mereka boleh menjalankan suatu
pentadbiran yang baik dalam landasan Islam.
Kerajaan boleh buat insya Allah, tapi janganlah
sesetengah pihak mencari perkara-perkara yang
remeh temeh untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Berilah mereka peluang. Benda ini tidak boleh buat
dengan sewenang-wenang atau secepat mungkin.
Beri peluang kepada mereka untuk mengkaji dan
sebagainya.
Semua pihak perlu memberi kerjasama, jangan cari
perkara yang buruk. Perkara yang baik mesti kita
kata baik. Kepada para pegawai kerajaan, saya
harap berilah kerjasama kepada kerajaan PAS ini
kerana PAS melihat senario yang lebih besar yang
akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat. S:
YAB Tuan Guru Menteri Besar nampaknya telah
berjaya memperlihatkan hubungan yang baik
dengan pihak istana.
S: Apa pendapat YM Tengku dalam perkara ini dan
adakah ianya mampu mewujudkan suasana
pentadbiran yang lebih positif kepada kerajaan
negeri?
J: Saya berpendapat hubungan antara kerajaan
PAS dan Barisan Alternatif ini dengan pihak istana
memang bagus, tidak ada apa masalah. Saya
harap kedua-dua pihak ini dapatlah hormat
menghormati di antara satu sama lain, bidang
kuasa istana apa, bidang kuasa kerajaan apa.
Saya harap jika ada apa masalah, jangan kita
bincang dengan orang surat khabar. Itu kalau ada
masalah. Pihak kerajaan perlulah mengadap
Tuanku dan berbincang dan minta nasihat dan
pandangan Tuanku, pasal itu adalah kehendak
perlembagaan, kuasa raja berperlembagaan.
Kalau kita hormat menghormati, insya-Allah, tidak
akan timbul perkara-perkara yang merumitkan
hubungan antara istana dengan kerajaan.
S: Mengenai golongan bukan Islam, apakah YM
Tengku merasakan pendekatan dan perubahan
yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri bagi
mempertahankan keharmonian hubungan kaum
khususnya yang melibatkan masyarakat Cina?
J: Apa yang saya tahu, masyarakat Cina di negeri
Terengganu ini berpuas hati dengan kerajaan yang
ada sekarang. Saya tidak dengar lagi yang kata
mereka tidak puas hati. Apa yang saya
difahamkan, kerajaan ini lebih tulus, lebih terbuka
dan menerima pendapat dan pandangan daripada
masyarakat Cina.
Itu saya dengar sendiri. Mereka tidak merasa
takut. Pada mula-mula mereka rasa takut,
maklumlah hak baru, tukar kerajaan. Tapi sekarang
ini sudah berlainan bagi pendapat mereka. Dan
saya harap kerajaan dapat menubuhkan satu
jawatankuasa supaya dapat merapatkan hubungan
antara kaum Cina dengan kerajaan dan masalah
mereka boleh disalurkan kepada kerajaan supaya
kerajaan dapat mengatasi apa jua masalah yang
timbul.
S: Sebelum pilihan raya umum lalu, Harakah telah
menyiarkan suatu artikel YM Tengku mengenai
penyelewengan dan salah laku kerajaan sebelum
ini. Bagaimanakah YM Tengku melihat
Jawatankuasa Hisbah yang dipengerusikan oleh YB
Tun Mohd Salleh Abas boleh menyelesaikan dalam
hal ini?
J: Ini satu topik yang selalu saya bawa semasa
menjadi wakil rakyat dahulu. Saya harap kerajaan
jangan biarkan perkara ini begitu saja. Jika ada
penyelewengan, kemungkaran, salah guna kuasa
yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam kerajaan
dulu, maka wajarlah kerajaan yang ada pada hari
ini mengambil tindakan.
Ini bukan kita nak membalas dendam, tidak. Jika
wang kerajaan rugi sampai beratus-ratus juta
ringgit, macam mana kita nak biar. Jika ada
perkara-perkara seperti penyelewengan dalam
syarikat, SEDC dan sebagainya, kerajaan perlu
mengambil tindakan dan mesti beritahu kepada
rakyat supaya rakyat faham dan kenapa
perkara-perkara ini berlaku.
Ini bukan wang kerajaan PAS, bukan wang
kerajaan Barisan Alternatif tapi wang rakyat, maka
rakyat berhak tahu ke mana wang itu dilaburkan
atau dibelanjakan sehingga kerugian berlaku
sehingga beratus-ratus juta ringgit. Kerajaan
jangan buat diam. Soal balas dendam tak timbul,
ini soal penyelewengan berlaku. Dan saya harap
juga apabila YB Tun Salleh Abas menyediakan
laporan-laporan tadi hantarkan perkara ini kepada
BPR dan lapor kepada pihak polis.
Sebab kita bukan bertanggungjawab kepada diri
kita sahaja dan kerajaan dan rakyat, kita juga
mesti bertanggungjawab kepada Allah SWT dan
kerajaan mesti mencegah kemungkaran, jangan lari
dan konsep itu.
Kerajaan mesti buat. Kalau pihak polis tidak mahu
mengambil tindakan, pihak BPR tidak mahu
mengambil tindakan, itu hak mereka tapi
tanggungjawab kerajaan terhadap Allah dan
terhadap rakyat kerajaan telah buat. Tapi kalau
mereka tak mahu mengambil tindakan itu, kerajaan
tak boleh buat apa.
Kerajaan nak ambil tindakan bagaimana tanpa
restu daripada pihak polis dan BPR. Saya harap
perkara ini diteruskan dan semua rakyat patut beri
sokongan kepada tindakan ini. Sebab dalam
manifesto PAS pun ada nak menegakkan
kebenaran, menentang segala kezaliman dan
kemungkaran. Ini kita mesti pegang kepada konsep
tadi.
S: Pada pandangan YM Tengku, apakah usaha
yang sewajarnya diambil oleh kerajaan negeri
untuk menarik para pelabur?
J: Yang pertama mesti jaga ialah pandangan
serong daripada pelabur-pelabur luar negeri dan
negara terhadap kerajaan PAS kerana dianggapkan
kerajaan PAS ini satu kerajaan yang tidak akan
memberi layanan yang baik kepada para pelabur.
Kerajaan PAS mesti menyuarakan keterbukaan
terhadap pelabur-pelabur asing.
Dan saya percaya perkara ini telah dibuat dan
diterima oleh pelabur-pelabur luar negeri dan
mereka puji. Dan saya harap Miti di Kuala Lumpur
dan Mida dan sebagainya mesti memberi
pertimbangan dan juga galakan yang adil terhadap
negeri Terengganu ini untuk menarik
pelabur-pelabur asing melabur di negeri ini.
Jangan ada sekatan-sekatan kerana apabila
dilakukan perkara seperti itu, bukan sahaja
menganiayai kerajaan Terengganu bahkan
menganiayai rakyat negeri Terengganu
keseluruhannya.
Jika ada pelaburan, dapat memberi peluang kerja
kepada rakyat khususnya orang miskin. Mereka
dapat kerja jika ada pelabur-pelabur ini buka kilang
di negeri ini.
Jadi itu sahaja yang saya harap, jangan ada
sekatan-sekatan bukan Terengganu sahaja
bahkan Kelantan juga patut diberi seluas-luasnya
kerana kita perlu ingat, penindasan yang dilakukan
itu bukan terhadap kerajaan PAS atau Barisan
Alternatif tetapi kepada rakyat kedua-dua negeri
itu keseluruhannya. Jangan sampai rakyat yang
menjadi mangsa.