Oleh Tengku Sri Paduka Raja (Tengku Ibrahim Ismail)
BANYAK angkara dan sebab telah diperkatakan berkait dengan kekalahan
Umno/BN di
Terengganu dalam pilihan raya umum yang lepas. Tidak kurang juga
anggapan negatif yang
dilemparkan oleh akhbar-akhbar tempatan pro Umno/BN terhadap
Barisan Alternatif (BA) yang
telah berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu. Rakyat Terengganu
sudah membuat pilihan.
Sama ada kita suka atau tidak, semua pihak mestilah menghormati
keputusan rakyat.
Kerajaan BA Terengganu berkuasa tidak sampai pun sebulan. Marilah
kita memberi peluang
kepada kerajaan baru ini untuk menyesuaikan diri mentadbir negeri
bertuah ini.
Janganlah ada mana-mana pihak yang mengkritik secara melulu dan
memandang rendah akan
kebolehan kerajaan baru ini.
Saya yakin dan percaya kerajaan BA Terengganu dapat menjalankan
tanggungjawab mereka
dengan baik memandangkan barisan ahli-ahli EXCO terdiri daripada
mereka yang berpengalaman
dan berkelulusan tinggi.
Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) telah selesai bersidang
pada 24 Disember 1999. YB
Saiful Bahri (PAS-Paka) telah membuat gesaan supaya kerajaan
membentuk sebuah Suruhanjaya
Bebas bagi menyiasat penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin
Umno/BN yang memerintah
sebelum ini.
Saya menyokong saranan tersebut oleh kerana banyak perkara telah
ditimbulkan terdahulu yang
melibatkan kepincangan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh
kerajaan lalu.
Kerugian yang dikatakan menimpa Perbadanan Menteri Besar (PMB)
berjumlah melebihi RM 110
juta ringgit adalah satu tragedi yang amat malang. Enakmen PMB
telah memberi kuasa mutlak
kepada DWM selaku Menteri Besar membelanjakan 5% daripada hasil
pendapatan petroleum
untuk dilaburkan ke dalam projek-projek di mana keuntungan yang
diperolehi, kononnya mengikut
DWM bagi kegunaan dan faedah generasi akan datang.
Dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara yang dibentang di DUN
Terengganu, beliau telah
beberapa kali mendedahkan "kesukaran" kedudukan PMB dari segi
pentadbiran dan perancangan
pelaburannya yang tidak mengikut atur-cara perniagaan.
Pihak pembangkang pada waktu itu berkali-kali menuntut penjelasan,
tetapi malang tidak dijawab
bukan sahaja oleh DWM tetapi juga oleh ahli-ahli EXCO yang lain.
Agaknya kes ini dianggap
remeh-temeh dan satu episod yang tidak mustahak diberi layanan.
Kehilangan RM110 juta itu amat besar kerugiannya. Hari ini PMB
sudah "dikuburkan" dan tidak
lagi beroperasi. Rakyat Terengganu perlu tahu secara terperinci
ke mana dan di mana wang rakyat
itu telah dibelanjakan.
Jika ada salah guna kuasa dan penyelewengan maka mereka yang bersalah,
khususnya DWM
sendiri, hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Tidak adil dan
berdosa jika mereka yang
memusnahkan khazanah rakyat dibiarkan begitu sahaja, seperti
yang berlaku dalam skandal
Perwaja Terengganu. Atau seperti kes-kes yang dilaporkan oleh
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang
melibatkan Menteri-Menteri Kabinet.
Pihak polis dan BPR mesti dibenarkan membuat siasatan tanpa gangguan
daripada mana-mana
pihak. Sama ada mereka bersalah atau tidak bersalah, hanya mahkamah
yang berhak
menentukannya.
Tiada siapa yang mempunyai kekebalan atau kuasa untuk melindung
mana-mana pihak, khususnya
mereka yang memegang kuasa daripada penyiasatan. Rakyat mahukan
ketelusan dan keadilan.
Saranan YBM Tengku Putera (BN-Telemong), kononnya penubuhan Suruhanjaya
Bebas ini
merupakan prasangka dan tuduhan melulu yang amat ketara terhadap
Kerajaan negeri sebelum ini
tidak boleh diterima akal sama sekali.
Kerugian yang tersebut di atas itu telah didedahkan oleh Ketua
Audit Negara sendiri dan ia telah
dibentangkan di DUN Terengganu. Ia tidak ada kena mengena dengan
kenyataan YAB Tuan Guru
Menteri Besar untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat.
Salah guna kuasa dan penyelewengan jika berlaku tetap merupakan
suatru kesalahan dan tindakan
sewajarnya mesti diambil. Pihak BPR juga harus diberi peranan
untuk membuat siasatan dan jika
sabit kesalahan maka BPR bertanggungjawab mengambil tindakan
sewajarnya.
Satu lagi kes yang harus diberi penumpuan untuk disiasat ialah
kes kerugian yang menimpa
Gunawan Iron & Steel Sdn. Bhd. (Gunawan). Syarikat ini juga
telah "berkubur" kerana kerugian
yang besar.
Syarikat Gunawan dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM750 juta
dan mempunyai pinjaman
Bank berjumlah RM500 juta.
Kerajaan Negeri yang lalu, di bawah Permodalan Terengganu Bhd
(PTB), mempunyai saham
berjumlah RM73 juta dalam syarikat ini, atau 22% daripada saham
berbayar Gunawan.
Apa yang mengejutkan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Gunawan ini terdiri
daripada mereka yang
cetek pengalaman dalam bidang perusahaan besi waja.
Saya difahamkan ada pegawai tertentu diberi gaji sebanyak RM38,000
sebulan, walhal Gunawan
mengalami kerugian berjumlah beratus-ratus juta ringgit.
Suruhanjaya Bebas yang wajar ditubuhkan ini bertanggungjawab menyiasat
secara terperinci
kepincangan pentadbiran syarikat ini. Gunawan 'parah' kerana
darahnya dihisap oleh mereka yang
tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan peribadi.
Kerajaan Negeri yang lalu telah juga disaman oleh Syarikat Yee
Seng Plantation Sdn. Bhd.
sebanyak RM5,000,000,000.00 (5 billion ringgit) berhubung dengan
pengambilan-balik tanah
mereka luas 8,232 hektar (20,333 ekar) di Kerteh, Terengganu.
Yee Seng telah memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu
pada 23 Ogos
1997, dengan mendakwa pihak Menteri Besar dan Kerajaan Negeri
sebagai defendan, telah
membuat janji palsu dan cuai mematuhi perjanjian yang telah dimeterai
di antara kedua-dua pihak
di hadapan Yang Arif Dato' Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Jika Yee Seng berjaya dalam dakwaan kes ini, maka kerajaan BA
terpaksa membayar saman
ganti rugi itu angkara kesalahan yang dibuat oleh kerajaan lalu.
Wang 5 bilion ringgit yang dituntut itu adalah bersamaan dengan
10 tahun jumlah hasil royalti
minyak yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada Petronas.
Satu lagi kes yang perlu dan mustahak disiasat berkait dengan
pemberian kawasan balak kepada
kilang-kilang papan yang tidak mengikut undang-undang.
Beberapa minggu sebelum dewan dibubarkan, Pejabat Hutan Negeri
dikatakan telah
mengeluarkan lebih kurang 10 surat kelulusan balak bagi kilang-kilang
papan di Terengganu tanpa
kelulusan EXCO dan tanpa disertakan pelan kawasan-kawasan yang
diluluskan itu.
Saya dimaklumkan bahawa sejumlah wang telah didermakan kepada
parti politik tertentu untuk
mendapatkan surat-surat kelulusan ini. Kelulusan ini diberi tidak
mengikut sistem tender dan diberi
atas dasar "derma" kepada parti politik tertentu sebagai perbelanjaan
pilihan raya umum lalu.
Saya juga difahamkan bahawa wang berjumlah antara setengah ke
satu juta telah diberikan oleh
kilang-kilang papan ini.
Pihak BPR hendaklah membuat siasatan kerana dakwaan ini, jika
benar, amat merugikan khazanah
negeri yang sepatutnya mendapat premium yang tinggi jika kawasan-kawasan
hutan tersebut
ditender secara terbuka.
Perkara yang amat saya bimbang ialah pendedahan ketua pembangkang
YB Dato' Fadzil Noor
yang mendakwa para pelabur asing yang berminat melabur di Kelantan
dihalang membuat
demikian, mungkin disengajakan oleh kepentingan politik di Kementerian
Perdagangan
Antarabangsa dan Perindustrian.
Jika perkara ini betul berlaku ianya adalah satu tragedi yang
amat malang bagi rakyat Kelantan dan
Terengganu, kerana Terengganu juga mempunyai Kerajaan PAS/BA
seperti Kelantan.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di negara yang mempraktikkan
demokrasi. Jika ia
benar-benar berlaku, maka ia adalah satu bentuk penindasan dan
kezaliman yang amat kejam yang
ditujukan kepada rakyat Kelantan yang mempunyai penduduk berjumlah
1.4 juta dan rakyat
Terengganu yang mempunyai penduduk hampir 1 juta orang.
Kedua-dua negeri ini mempunyai penduduk Melayu hampir 98%. Terengganu
dan Kelantan
mahukan pelaburan untuk negeri masing-masing.
Dengan adanya pelaburan tersebut rakyat Terengganu khususnya orang-orang
Melayu dapat
mencari dan diberi kerja di kilang-kilang syarikat yang berminat
bertapak di kedua-dua negeri ini.
Saya mohon dan berseru agar pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa
berlaku adil
terhadap kedua-dua negeri pantai timur ini. Janganlah rakyat
didenda kerana mereka memilih
kerajaan BA dalam pilihan raya umum yang lampau.
YB Menteri Kementerian berkenaan hendaklah memberi penjelasan
ekoran dakwaan yang dibuat
oleh ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.
Dalam pada itu, rakyat Terengganu harus bersatu dan melupakan
perselisihan pendapat yang
berlaku sebelum pilihan raya umum yang lalu. Sempena Syawal yang
bertuah ini, kita perlu
mengambil kesempatan untuk berbaik-baik, bermaaf-maafan di antara
penyokong Umno/BN dan
penyokong Barisan Alternatif. Ingatlah sebagai umat Islam, kita
hendaklah bersatu untuk
menempuhi abad ke-21 ini.