|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan
Terengganu hari ini diminta segera menubuhkan
majlis pelancongan dan kebudayaan negeri bagi
menyelaraskan aktiviti pelancongan di negeri itu
dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
Datuk Kadir Sheikh Fadzir berkata Terengganu
berpotensi untuk menjadi negeri utama dalam
pelancongan dan ketiadaan penyelarasan untuk
memajukan industri itu akan merugikan Terengganu.
Beliau berkata dengan adanya majlis itu, Kerajaan
Negeri boleh mengenal pasti dan menyelesaikan
dengan segera masalah yang dihadapi oleh
Terengganu dalam industri itu.
Beberapa pengusaha hotel dan agen pelancongan
juga boleh dilantik menganggotai majlis itu bagi
memberi pandangan terutama dalam menyelaraskan
pakej percutian, katanya.
"Terengganu tidak sepatutnya gagal dalam
pelancongan dan menjadikannya sebagai sektor
utama negeri...Terengganu mesti berbuat apa sahaja
dalam pelancongan," katanya semasa dialog dengan
pengusaha-pengusaha hotel, pelancongan dan
restoran, di sini, hari ini.
Beliau berkata masalah utama sektor pelancongan di
Terengganu kini ialah kekurangan agensi
pelancongan yang aktif di negeri itu, menyebabkan
usaha membawa masuk pelancong agak sukar.
"Agensi pelancongan domestik cukup lemah dan
sesetengah tempat tak ada langsung...ini kita kena
perbaiki," katanya.
Terengganu hanya mempunyai tujuh agensi
pelancongan di seluruh negeri menyebabkan
kebanyakan hotel membuat promosi secara
sendirian.
Beliau berkata bagaimanapun, keadaan di
pulau-pulau di Terengganu tidak menghadapi
sebarang masalah daripada segi kedatangan
pelancong termasuk di hotel-hotel yang didirikan
tanpa kelulusan.
Kadir berkata, Kementerian juga kini mengkaji
mengenai syarikat-syarikat pelancongan yang tidak
lagi aktif untuk membatalkan lesen mereka dan
diberi kepada syarikat lain yang berminat.
Bagaimanapun buat masa ini, pengeluaran lesen
kepada syarikat pelancongan masih dibekukan,
katanya.
Sementara itu, Kadir turut meminta
pengusaha-pengusaha hotel supaya lebih kreatif
daripada segi pakaian pekerja mereka bagi
menimbulkan kelainan dan menarik lebih ramai
pelancong.
"Kerajaan telah bersetuju untuk memberi RM50,000
kepada badan kesenian di semua negeri untuk
membuat rekaan dan menjahit pakaian yang sesuai
di pakai oleh kakitangan hotel-hotel serta RM200,000
untuk semua negeri mempertingkatkan badan
kesenian mereka," katanya.