ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU


 
 


LUNAS: Barisan Nasional Tak Faham Lagi
(MGG: LUNAS: The National Front Misses The Point Again)
-MGG Pillai-

Keputusan pilihanraya kecil Lunas, seperti yang difahami oleh Perdana Menteri adalah satu keputusan yang tidak menggambarkan kecurangan kaum Cina ataupun ketidak-syukuran kaum India. Ia adalah satu gambaran betapa berubahnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO. Selesai sahaja pilihanraya itu, Barisan Nasional tidak pun mengadakan mesyuaratnya. Tidak juga MIC. Hanya UMNO yang mengadakan mesyuarat itu dan selama empat jam Perdana Menteri telah bercakap merapu-rapu sambil mengeluarkan kata-kata yang menyerang kaum Cina lagi. Barisan Nasional sebenarnya telah tersilap dengan anggapan bahawa undi kaum Cina adalah undi penentu. Tetapi, parti kaum Cina itu, MCA dan Gerakan tidak berminat untuk berkempen. Mereka membiarkan menteri kabinet daripada UMNO untuk melakukan segala proses meyakinkan pengundi Cina mengenai Sekolah Wawasan. Sedangkan mereka sendiri pun memang curiga akan konsep sekolah itu.
 

Gerakan yang mempunyai hubungan lebih mesra dengan akar umbi jika dibandingkan dengan MCA telah dipinggirkan dan kerana itu sengaja berdiam diri. MCA pula cuba menangani masalah itu secara sambil lewa sahaja. Pihak pembangkang, PAS dan Keadilan dan di tahap akhir kempen muncul pula DAP, telah mengungkit perkara itu secara terang-terangan dengan bantuan beberapa pendidik Cina dan Suqui membantunya. Mereka telah berjya mengganyang segala saranan BN mengenai isu itu.
 
 

Pengundi India pula dianggap laksana 'simpanan tetap bank' kepada Barisan Nasional. Anggapan seperti inilah yang membuatkan kaum Cina dan India meradang dan membuatkan mereka memangkah calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail.
 

Selama tempoh berkempen, masyarakat Melayu yang memang sudah berubah kesetiaannya, menjadi semakin marah kerana mereka sengaja dipinggirkan. Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi pernah diperlekehkan oleh tuanrumah yang cuba diziarahinya. Seorang menteri yang berjaya bersalaman dengan sepuluh orang Islam selepas sembahyang Jumaat tiba-tiba ditepis tangannya oleh seorang anggota polis yang masih lagi berkhidmat dengan negara. Kisah seperti ini bukan satu kisah yang ganjil. Orang Melayu sebenarnya yang membuatkan Barisan Nasional menjadi mencelaru sekarang ini. Bukannya orang Cina ataupun India. Malahan orang Melayu yang berjaya menahan 12 buah bas luar yang sarat dengan penumpang yang dikatakan datang untuk membantu berkempen. Sedangkan pada hari itu kerja-kerja kempen-mengempen tidak lagi dibenarkan. Satu kajian rambang yang diambil menunjukkan mereka bukannya pengundi di kawasan itu.
 
 

Inilah caranya Barisan Nasional mengangkut pengundi hantu dalam pemilu yang lalu, seperti yang diperakui oleh ahli-ahli UMNO. Pihak pembangkang terutama sekali mereka daripada Keadilan memang amat arif dengan kaedah itu kerana mereka pernah menjadi pakar menguruskan hal itu satu ketika dulu. Perdana Menteri dan beberapa juaknya telah mengalirkan airmata buaya dalam perkara ini. Tetapi, bolehkah BN menafikan betapa polis telah mengiringi bas itu keluar daripada Lunas kerana mereka memang sebenarnya pengundi hantu? Pengundi hantu itu telah terpaksa kelaparan ketika itu. Tetapi itu satu perkara yang tidak relevan. Isu penting yang tidak diungkit di Lunas, walaupun BN cuba menafikannya dengan keras ialah kisah mantan timbalan perdana menteri yang terus diaibkan. Apabila Ketua Peguam Negara menyatakan yang beliau akan meneruskan lima lagi tuduhan terhadap Anwar Ibrahim, sebaik sahaja selesai kes rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada akhir bulan ini, ia telah menghangatkan suasana bukan di Lunas sahaja.
 
 

Pada 9 Disember 2000 nanti, ahli parlimen PAS, Mahfuz Omar, akan dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama satu bulan kerana keengganannya membayar denda sebanyak RM1,000. Rakyat sudah pun merancang berhimpun beramai-ramai seperti yang mereka lakukan pada 5 November di Jalan kebun dulu, di hadapan Penjara Kajang. Inilah gambaran betapa sokongan orang Melayu sudah banyak berubah. Semua ini adalah disebabkan cara Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat. Gelombang kebangkitan orang melayu menentang UMNO itu adalah disebabkan cara pengaiban Anwar itu adalah bertentangan dengan budaya Melayu. Perdana Menteri sedang diperangkap oleh jebak yang dipasangnya sendiri. Kerana itu dia tidak berani berkempen di Lunas kerana takutkan musibah. Menterinya pula mengeluarkan kenyataan dungu yang menggambarkan kebodohan mereka hingga menaikkan kemarahan rakyat. Inilah menjadikan proses berkempen itu satu usaha yang semakin merobah kesetiaan pengundi yang ada.
 
 
 

Barisan Nasional telah menggunakan gambar Perdana Mentgeri sebagai bahan kempen, merata tempat. Inilah yang membuatkan munculnya gambar Dato Seri Anwar dengan mata lebamnya. Ketika itulah Barisan Nasional menerima kekalahannya, walaupun MIC sudah menang. Reaksi Mahathir terhadap penggunaan gambarnya itu memang membuat orang meluat. Memang gambar semua perdana menteri, termasuk Tengku Abdul Rahman Putra telah digunakan untuk kempen pilihanraya. Tentu sekali gambar dia pun boleh digunakan. Jawapan semacam itu menunjukkan keangkuhannya, kesombongannya dan betapa tidak relevannya beliau dalam percaturan kempen Barisan Nasional. Kini UMNO mahu meminda hukum-hakam pilihanraya kerana pihak pembangkang mampu bermain mengikut rentak dan ragamnya dan mampu mengalahkannya pula. Nampaknya mereka mahu bermain api lagi. Pada masa dulu, Barisan Nasional memandang pihak pembangkang seperti pihak pembangkang menganggap mereka sekarang ini. Syaratnya ialah sokongan Melayu itu berada di pihaknya. Barisan nasional boleh meraih sokongan orang Melayu dan Cina, tetapi haknya untuk terus mengekalkan kuasa tidak lagi berupa sesuatu yang muktamad.
 
 
 
 
 
 

Secara tidak ikhlas Mahathir telah mengaku bahawa dia adalah penyebab kekalahan di Lunas. Di waktu yang sama dia menuduh orang lain juga kerana kekalahan itu. Sebenarnya dia dan juga rakan kolisi beliau yang telah mula-mula sekali menimbulkan kisah perkauman dan keagamaan sebagai isu pilihanraya. Mereka tidak senang melihatkan proses pilihanraya itu berakhir dalam satu suasana yang selesa. Kemampuan pihak pembangkang menangani masalah kehangatan berkempen tidak memberi mereka peluang untuk menggunakan kekerasan kerana yang memberi ruang kepada isu yang sensitif itu adalah Barisan Nasional dan bukannya Barisan Alternatif. Yang menuduh kaum Cina dan India sebagai kumpulan ekstrem dan banyak yang buruk-buruk lagi ialah Barisan Nasional. Apabila Barisan Nasional dicabar mengenai Sekolah Wawasan, MCA dan Gerakan mengambil sikap membisu. Tetapi BN tidak pula mahu memberikan penerangan yang jelas untuk melegakan hati para pendidik Cina. Sebaliknya, kumpulan itu dituduh sebagai kumpulan ekstrem (pelampau). Di waktu yang sama Ling Liong Shik sebagai presiden MCA telah membuat pengumuman mengenai pelancaran dua buah sekolah seperti itu. Dia pun masih enggan memberikan penjelasan kepada kumpulan pendidik Cina apa maknanya Sekolah Wawasan itu.
 
 

Perbuatan memburukkan masyarakat Cina itu adalah bertujuan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu. Usaha ini gagal segagalnya. Orang Melayu memang sudah tidak percaya lagi dengan Perdana Menteri dan pemerintahannya. Kini, orang Cina pula mula meragam. Barisan Nasional suka sangat memberikan gambaran yang hanya ia yang mempunyai jawapan kepada setiap masalah yang muncul. Apa yang dihajatinya ia mesti dapat walaupun ia merupakan sepotong kueh yang berada di angkasa. Inilah yang membuatkan saya tertanya-tanya kenapakah UMNO dan bukannya Barisan Nasional yang bersidang untuk membincangkan kekalahan di Lunas. Inilah bukti betapa presidan MCA dan juga MIC cuba sedaya upaya menafikan bahawa UMNO dan bukannya Barisan Nasional yang membuat segala penentuan. Ini juga membuktikan bahawa UMNO dan bukannya MCA ataupun MIC yang menggeletar apabila pengundi Cina di Lunas menarik sokongan mereka dan berpaling tadah untuk memenangkan calon Melayu di pihak pembangkang.
 

Usaha untuk merobah hukum-hakam pilihanraya kerana Perdana Menteri dipaksa mengaku bertanggungjawab dengan keputusan pilihanraya itu, dan menuduh pihak pembangkang menggunakan isu perkauman dan keagamaan tidak akan berjaya merobah arus peralihan sokongan yang sudah pun berlaku. UMNO dan BN harus meneliti kenapa sokongan orang Melayu berubah. Janganlah menuduh orang Cina sembarangan sehingga membuatkan mereka marah lagi. Beranikah Perdana Menteri turun ke Lunas dan berucap dalam satu majlis politik? Ataupun di kawasan parlimennya di Kubang Pasu? Beranikah dia berucap menjelaskan kepada orang Melayu kenapa Dato Seri Anwaar mesti dihapuskan? Kalau dia berani melakukannya dia akan dapat jawapan sebenar kenapa BN kalah di Lunas. Dengan lain perkataan, BN telah tersilap anggapan. Kerana itu tidak ada sebab kenapa Dr. Ling Liong Sik dan Dato Seri Samy Vellu mesti terus menyalak tak tentu pasal.
 

-MGG Pillai-