Mahathir Yang Terus Terdesak


Masalah pelaburan orang Melayu di Tabung Haji tidak akan luput dengan penjelasan bertubi oleh Hamid Othman. Dulu, Hamid meletakkan jawatan kerana dia mempunyai "masalah kesihatan". Tetapi, kenapakah Mahathir melantiknya sebagai penasihat agama? Kenapakah masalah Tabung Haji tidak pernah dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Agama? Hamid berkata bahawa Tabung Haji hanya melaburkan 25% wangnya dalam pasaran saham. Ini bererti banyak lagi jenis pelaburan Tabung Haji yang menghenyak tabung dana itu. Saya telah membuat taksiran kasar bahawa daripada RM 2.5 bilion pelaburan Tabung Haji di Indonesia, nilai pelaburan itu sebenarnya adalah sekitar RM 500 juta sahaja dan tidak lebih dari itu. Kalau di Malaysia amalan anjakan tanda tukul besi dan cat pangkah sebagai sempadan hutan rimba untuk pembalakan boleh ditukar dan dialihkan oleh kumpulan yang rapat dengan Tengku Wong, apakah perkara yang serupa tidak berlaku di Indonesia? Lagipun banyak kawasan perladangan Tabung Haji yang telah dirampas oleh orang tempatan kerana mereka bertegas semua ladang itu adalah kepunyaan datuk moyang mereka yang dirampas oleh rejim Suharto dulu. Tabung Haji boleh mengambil sikap bertenang dengan kawasan perladangan di negara sendiri, tetapi tidak dengan ladang-ladang yang dibeli secara bermusim di rantau orang. Yang amat menyedihkan, pelaburan orang Melayu yang menjadi mangsa.
 
 

Menjelang 19 Februari, Mahathir telah melancarkan majlis Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru. Apakah sebenarnya projek ini selain daripada kerja menggembar-gemburkan satu usaha Majlis Belia Malaysia atas tajaan Kementerian Belia (lagi?) dan kerajaan Selangor. Semua itu adalah alat memutarbelitkan minda golongan belia agar mereka mewarisi UMNO yang sudah tenat dan tidak berpedoman perjalanannya. Berapakah kos penajaan hari patrotisme itu? Apakah kejayaannya kalau dibandingkan dengan majoriti anak peneroka yang ke sekolah tanpa duit belanja?

Satu ketika dulu semangat patriotisme dipasak saban hari kepada para anggota tentera. Itulah amalannya setiap kali mereka bersiap sedia menjalankan operasi di hutan belantara. Inilah kumpulan yang kini merana hidup mereka kerana sebahagian mereka kini menjadi 'pegawai keselamatan' satu nama baru kepada nama kerja yang sama yang dulu disebut 'jaga' sahaja. Inilah patriot sebenarnya yang mempertahankan negara dan yang kini menjadi pemandu teksi, drebar lori panjang dan peneroka rancangan tanah. Bagaimanakah nasib mereka sebenarnya? Sedarkah semua anak-anak muda akan sejarah bangsa dalam percaturan sejarah patriotisme itu? Apakah Mahathir dan Hishamuddin Hussein ataupun Khir Toyo pernah terfikirkan sejarah sebenar semangat patriotisme itu? Kalau Mahathir seorang patriot, sanggupkah dia menyiarkan senarai hartanya sejak dia menjadi Perdana Menteri? Bolehkah rakyat marhaen mengetahui apa jenis hartanya semua, termasuk yang dipunyai oleh Mak Andehnya?
 
 

Kini, warisan pejuang negara yang layak digelar patriot itu sedang hidup laksana rumput di tepi jalan; hidup segan mati tak mahu kerana punca pendapatan mereka yang semakin menurun. Harga getah dan sawit sedang menjerut diri mereka bukan disebabkan harga itu turun mendadak hanya semalam, atau pun sebulan yang lalu ataupun tahun yang lalu. Harga komoditi sudah merudum sejak akhir 1998 lagi. Apakah perkara ini tidak menjadi perhatian pihak kerajaan pimpinan Mahathir? Tidak, kerana lebih baik dialihkan perhatian rakyat marhaen daripada memikirkan masalah itu dengan mencetuskan pelbagai drama seperti Isu Al-Maunah, Pulau Layang-layang, Sipadan dan Komander Robotnya, Suqui dan Aziz Sikh memanjat pagar orang dan sebagainya. Keangkohan UMNO, menjangkakan harga komoditi akan naik semula seperti yang berlaku kepada kejatuhan harga minyak petroleum. Ataupun sebahagian besar pemimpin UMNO itu memang tidak arif mengenai apa yang disebut 'ekonomi negara' ? Apakah yang dibuat oleh Rafidah selama empat tahun dulu ketika cuba menarik pelabur asing? Kenapakah kini Pakistan dan India lebih memberi ruang membeli minyak sawit Indonesia daripada keluaran kita?
 
 
 
 

Semua hasil Petronas dibalun untuk menolong para kroni yang muflis. MAS diselamatkan untuk membolehkan Tajuddin terlepas daripada bebanan hutang. Begitu juga denagn kompeni LRT. Kini, Tajuddin dikatakan sedang berusaha membeli perkhidmatan udara di negara orang. Orang kampung terus sesak jua hidupnya dan orang Melayu akan terus tertanya-tanya apakah akan jadi akhirnya?
 

Semua ini adalah isu yang menghantui Mahathir dan para juak yang sedang memegang kuasa secara menipu. Hampir semua mereka sedar betapa mereka menang undi dulu dengan menipu juga laksana yang terdedah di Lunas baru-baru ini. Inilah semuanya pemimpin UMNO yang sedang bergaya menjadi wakil rakyat sedangkan mereka sedar kuasa itu adalah bukan dengan mandat rakyat yang sah. Mereka merampas kuasa secara lembut dan berhemah. Sedangkan mereka merupakan kumpulan penyangak yang menyusahkan rakyat jelata.
 

Orang Melayu secara keseluruhannya harus besyukur kepada Allah swt. kerana perundingan antara Mahathir dengan PAS itu terbantut juga. Manusia merancang Allah menentukannya. Inilah sebaik mungkin iktibar yang ada masa kini kerana yang mahu diajak berunding itu bukannya kepalang besar penyangaknya. Mahathir adalah sebesar-besar raja penyangak dalam tamadun Melayu setakat ini. Mahathir dan UMNO sengaja tidak mahu perundingan itu dilangsungkan. Kerana itu UMNO sengaja menyakitkan hati orang Melayu apabila mengagihkan peket wang ihsan di Terengganu kepada kaum Cina, sedangkan di perladangan orang Melayu hidup kelaparan. Usah ditangisi dan disesali kalau perundingan PAS-UMNO itu tidak akan menjadi. Kalau PAS betul-betul mewakili segolongan besar orang Melayu, prasyarat perundingan harus diluaskan lagi. Mahathir mesti merombak kabinetnya dulu dan mengeluarkan semua 'senator' yang dilantik sebagai menteri kabinetnya itu.
 

-Marhaintua-
21.2.2001.