SAYA NAMPAK AKTIVITI PUNGGAH-MEMUNGGAH SENJATA, KATA SAKSI
 
 
 
 

KUALA LUMPUR, 25 Sept  -- Seorang anggota tentera hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau nampak sekumpulan orang berpakaian celoreng tentera mengisi pelbagai jenis senjata ke dalam sebuah kenderaan jenis Pajero.

Lans Kpl Syed Hizaidhail Syed Fadhail, 26, yang bertugas sebagai penolong pengawal di kem Batalion 304, Kem Gerik, Perak, berkata dia turut membantu kerja memunggah senjata dari stor senjata kem itu pada 2 Julai lepas.

"Saya ada menolong aktiviti punggah-memunggah senjata itu. Saya bawa senjata itu ke tepi jalan berhampiran sebuah kenderaan Pajero yang terletak dekat pejabat pengangkutan tentera.

"Saya nampak anggota-anggota berpakaian celoreng yang tidak dikenali mengisi pelbagai senjata melalui pintu nombor dua sebelah kiri Pajero itu," katanya.

Syed Hizaidhail berkata dia cuba membantu memasukkan senjata ke dalam kenderaan itu tetapi dihalang oleh seorang anggota berpakaian celoreng yang tidak dikenali.

Katanya tidak semua senjata diletakkan dalam Pajero itu kerana keadaan dalam kenderaan itu kelihatan sarat dengan senjata.

Syed Hizaidhail yang merupakan saksi pendakwa ke-28, menyambung keterangannya dari Khamis lepas pada perbicaraan hari kesembilan membabitkan 29 anggota Pertubuhan Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma'unah yang dituduh melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu dari Jun lepas hingga 6 Julai di beberapa tempat di Perak iaitu di Pos 2, Km 19, Kuala Rui, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Hulu Perak, di Batalion 304 Infantri (AW) Kem Gerik, Hulu Perak dan di Bukit Jenalek, Kemajuan Tanah Ngor, Sauk, Mukim Cegar Galah, Daerah Kuala Kangsar.

Syed Hizaidhail kemudiannya mengecam seorang daripada anggota Al-Ma'unah, Jamaludin Darus sebagai "commanding officer" (pegawai memerintah) berpangkat Leftenan Kolonel yang berada di stor senjata Kem Gerik, pada 2 Julai lepas ketika aktiviti punggah-memunggah senjata masih berjalan.

Katanya beliau dapat melihat rupa Leftenan Kolonel itu dengan jelas kerana pada ketika itu bangunan yang menempatkan tiga stor senjata diterangi dengan lampu.

"Anggota itu bertubuh besar, agak rendah dan berkulit cerah," katanya.

Syed Hizaidhail berkata selepas itu, anggota yang berpangkat Leftenan Kolonel itu memberi arahan kepada beliau dan rakan-rakan setugasnya untuk menyusun di padang kawad sebahagian senjata yang terdapat di tepi jalan itu.

"Leftenan Kolonel itu juga ada berkata bahawa beliau akan kembali semula pada 6.30 pagi (hari yang sama). Beliau kemudiannya meninggalkan kem itu," katanya.

Pada Khamis lepas, Syed Hizaidhail telah mengecam ketua Al-Ma'unah Mohamad Amin Mohamad Razali sebagai seorang daripada dua anggota berpakaian celoreng berpangkat Mejar turun dari sebuah daripada tiga Pajero dan memberitahunya bahawa beliau (Mohd Amin) mahu membuat pemeriksaan senjata secara mengejut.

Syed Hizaidhail juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa sebanyak 15 hingga 20 anggota berpakaian celoreng telah datang ke kem itu dengan tiga kenderaan Pajero dan berada dalam Kem 304 lebih kurang 25 hingga 30 minit.

"Selepas mereka (anggota berpakaian celoreng) meninggalkan kem, saya terus mengejutkan Sarjan Yahya Kormin di Wisma Bentara dan menceritakan tentang kejadian yang telah berlaku," katanya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd Yusof Zainal Abiden, saksi itu berkata dia tidak tahu apa tindakan Sarjan Yahya selepas beliau memberitahunya apa yang telah berlaku.

Syed Hizaidhail juga berkata beliau ada memberitahu kejadian itu kepada dua hingga tiga pegawai lain termasuk pegawai bertugas Lt Mohd Nizam Husain yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Gerik.

Menjawab soalan lain, Syed Hizaidhail berkata beliau mendapati semua senjata yang berada di rak senjata di balai pengawal termasuk senjata M16 beliau sudah tidak ada lagi.

Syed Hizaidhail kemudiannya mengecam selaras senjata M16 beliau di mahkamah hari ini sebagai senjata dibekalkan kepadanya yang didapati tidak berada di rak senjata itu.

Sebelum perbicaraan itu dimulakan, peguam P.Y. Leong yang mewakili Ibrahim Idris dan Azlan Abdul Ghani telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau dan peguam Zabidi Mohamad yang mewakili Zahit Muslim, Jamaludin Darus dan Kamarudin Mustafar bersetuju bergabung mewakili kelima tertuduh itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin disambung esok.