ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU

 
 

BA hantar memo kepada Tun Daim esok
Oleh Nur Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Nov  - Parti Islam Semalaysia (PAS) bersama Barisan Alternatif (BA) akan menyerahkan memorandum bantahan rakyat berhubung isu royalti minyak Terengganu kepada Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin esok (25 November) di Kompleks Pejabat Kerajaan di Jalan Duta, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Mengembalikan Hak Rakyat, Dr Mohd Hatta Ramli dalam satu kenyataan berkata, memorandum tersebut menuntut dikembalikan wang Negeri Terengganu kepada kerajaan dan rakyatnya.

Menurut beliau, rombongan tersebut dijangka akan dihadiri oleh sepuluh orang pemimpin BA dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Di samping itu, kata BA akan memohon kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memantau serta menyalurkan pandangan supaya perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar.

"Kita menyeru pihak berkuasa keamanan memberikan kerjasama kepada perhimpunan ini supaya ianya berjalan dengan aman dan lancar," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menyalurkan royalti minyak lima peratus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Tindakan ini dikatakan membelakangkan satu perjanjian yang telah dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri pada 22 Mac 1975, serta menafikan hak kerajaan negeri untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan pembangunan Negeri Terengganu.

Justeru, menurut Dr Hatta, alasan kerajaan Pusat bahawa bayaran lima peratus bukan hak Kerajaan Terengganu dan merupakan wang ihsan adalah bertentangan dengan semua perjanjian dan pengakuan serta ucapan pemimpin pusat dan kerajaan negeri sebelum ini.

Harakah daily