ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU


Memorandum kepada Kementerian Kewangan

Kepada

YB Tun Daim Zainuddin Menteri Kewangan Malaysia, Kementerian Kewangan Blok 9, Khazanah Malaysia, Jalan Duta, 50592 KUALA LUMPUR. 25 NOVEMBER 2000

YB Tun,

MEMORANDUM RAKYAT MEMBANTAH PENARIKAN BALIK ROYALTI PETROLEUM KEPADA KERAJAAN NEGERI TERENGGANU

Rakyat Malaysia merasa amat dukacita dan marah dengan tindakan tidak bermaruah dan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan yang telah secara jelas 'merompak' harta rakyat Terengganu iaitu bayaran royalti yang sepatutnya dibayar oleh Petronas seperti yang diperuntukkan di dalam Perjanjian bertulis di antara kerajaan negeri Terengganu dengan Petronas bertarikh 22 Mac 1975.

Langkah Kerajaan Pusat yang mengarahkan Petronas untuk menamatkan pembayaran royalti kepada kerajaan Terengganu yang diterajui oleh PAS dan Barisan Alternatif (BA) jelas bertentangan dengan amalan dan prinsip demokrasi. Ia juga bertentangan dengan semangat federelisme yang diamalkan di Malaysia. Demokrasi menuntut agar hak dan kepentingan rakyat tidak diganggu gugat apabila mereka memilih mana-mana parti yang bertanding dalam pilihanraya untuk menjadi parti yang menerajui mereka.

Memandangkan rakyat Terengganu telah secara sah di sisi undang-undang memilih PAS sebagai parti yang memerintah mereka, maka Kerajaan Pusat sepatutnya menghormati pendirian dan pilihan rakyat Terengganu tersebut. Jika pada zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu rakyat dapat menikmati wang royalti, mengapa hak itu disekat sekarang? Walau apa pun alasan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat bagi menarik balik pembayaran royalti itu, rakyat sudah pasti menafsirkan tindakan itu sebagai tindakan politik balas dendam dan kebudak-budakan kerana isu penarikan royalti ini hanya dibangkitkan setelah PAS memegang kerajaan negeri tersebut. Secara mudah kita boleh bertanya adakah isu ini akan timbul sekiranya Terengganu masih dikuasai oleh BN sehingga kini. Kami sangat berharap "common sense still prevails" di dalam isu royalti ini.

Peralihan kuasa adalah suatu perkara yang lumrah dalam amalan demokrasi. Di dalam sistem federalisme yang diamalkan di negara ini adalah suatu yang diterima oleh umum sekiranya Kerajaan PAS dan BA di Terengganu dipaksa mewarisi hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan negeri di zaman Barisan Nasional sejumlah lebih RM 700 juta. Jika Kerajaan PAS dan BA di Terengganu dipaksa mewarisi hutang tersebut kenapakah kerajaan PAS dan BA sekarang tidak dibenarkan mewarisi 'aset' royalti petrolium tersebut. Ibarat seorang bapa yang kaya yang mati meninggalkan harta dan hutang, adakah adil bagi seorang bapa untuk mengarahkan anak-anaknya membayar hutangnya sekiranya dia mati tetapi melarang anak-anaknya mewarisi hartanya. Hanya orang yang tidak ada akal sahaja yang akan mengatakan tindakan si bapa tadi bukan satu kezaliman.

Sebagai sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat, Terengganu seharusnya diperlakukan sebagai kerajaan yang berdaulat dan bermaruah. Tindakan Kerajaan Pusat yang sehingga kini tidak langsung membuka pintu rundingan atau menulis sepucuk surat kepada kerajaan Terengganu di dalam isu royalti ini menampakkan bahawa Kerajaan Pusat langsung tidak faham dan menghormati prinsip federalisme .

Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh jurucakap-jurucakap Barisan Nasional di dalam media massa mengenai isu royalti minyak ini seperti kenyataan bahawa "ia bukannya royalti tetapi wang ehsan", "tiada perjanjian tetapi yang ada adalah MOU", "perjanjian telah dibatalkan secara unilateral" dan " wang ehsan akan disalurkan kepada JPP" menunjukkan secara jelas bahawa Kerajaan Pusat tidak langsung mempedulikan "legal obligation" Petronas ke atas Kerajaan Negeri Terengganu yang jelas tersirat dalam perjanjian tersebut.

Tindakan Kerajaan Pusat yang menafsirkan bahawa wang royalti adalah sebenarnya wang ehsan adalah penafsiran yang terlalu daif dan penafsiran tersebut bertentangan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat termasuk kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sendiri sepertimana yang dilaporkan sendiri di dalam Laporan Ekonomi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sendiri yang menunjukkan istilah royalti telah digunakan secara sedar. Malahan Ketua Audit Negara pada tahun 1999 secara jelas menggunakan istilah royalti petroleum dan gas di dalam laporannya .

Kerajaan Pusat juga mencabar Kerajaan Terengganu untuk pergi ke mahkamah bagi menyelesaikan isu ini; jawaban rakyat terhadap cabaran ini adalah adakah kerajaan sendiri secara pasti dapat menjamin bahawa imej dan integriti badan kehakiman telah benar-benar dapat dipulihkan. Jika bekas Ketua Hakim yang begitu dihormati di dalam dan luar negara, Allahyarham Tun Suffian Hashim dengan secara berani mengisytiharkan pendiriannya tentang institusi kehakiman negara ini dengan kalimah keramatnya " I don't want to be tried by the Malaysian judges espicially if I am innocent" bagaimanakah kami rakyat bawahan dapat diyakinkan bahawa keadilan akan terlaksana jika isu ini di bawa ke mahkamah. Persepsi dan keyakinan rakyat tentang badan kehakiman tidak wajar ditolak begitu sahaja.

Akhirnya kami, rakyat Malaysia yang masih berharap "common sense still prevails" memohon agar hak rakyat Terengganu untuk menikmati wang royalti sepertimana yang diperuntukkan di dalam perjanjian yang disebut di atas tidak disalurkan kepada "ejen asing" yang bergelar "JPP", sebaliknya kembalikanlah hak royalti tersebut kepada sipemunya hak tersebut - rakyat Terengganu melalui kerajaan PAS dan BA yang mereka telah pilih secara sah di dalam pilihanraya umum yang lalu.

Sekian Terima Kasih.

Yang Menjalankan Amanah

DR. MOHD HATTA RAMLI
Pengerusi Jawatankuasa Mengembalikan Hak Rakyat