|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
TARIF ELEKTRIK DIKURANGKAN SEMPENA
BULAN KEMERDEKAAN
KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) -- Kadar
bayaran elektrik di seluruh negara akan dikurangkan
sepanjang tempoh sambutan bulan kemerdekaan
bagi menggalakkan semua rumah diterangi dengan
cahaya lampu.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan,
Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata keputusan
itu dibuat berikutan permintaan Kabinet agar Tenaga
Nasional Berhad (TNB) memberikan kadar istimewa
bayaran elektrik bermula 5 Ogos hingga 16 Sept ini.
"TNB telah menyatakan persetujuan untuk
mengurangkan kadar bayaran elektrik sepanjang
tempoh itu," katanya pada persidangan media
selepas pertemuan dengan Menteri Besar, Abdul Hadi
Awang, di sini hari ini.
Beliau berkata kadar istimewa itu akan diumumkan
dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini.
Kadir berkata sepanjang tempoh itu, semua bandar
akan dihiasi dan diindahkan dengan lampu dan pintu
gerbang manakala penduduk di kampung-kampung
digalakkan memasang lampu minyak gas atau buluh
di kawasan mereka.
Orang ramai juga diminta menerangi rumah
masing-masing dengan cahaya lampu yang berwarna
warni, katanya.
Sementara itu, Kerajaan PAS Terengganu hari ini
memberi komitmen sepenuhnya untuk turut sama
menjayakan bulan kemerdekaan selama sebulan
yang akan dilancarkan serentak di seluruh negara, 17
Ogos ini.
Beliau berkata dengan komitmen oleh Abdul Hadi itu,
Terengganu yang kini dipemerintah parti
pembangkang akan turut serta dalam pelbagai
program yang akan diadakan sepanjang bulan
berkenaan.
"Menteri Besar Terengganu telah menyatakan
sokongan dan kerjasama Terengganu sepenuhnya
untuk menjayakan perayaan bulan kemerdekaan itu,"
katanya.
Beliau berkata antara program utama yang akan
diadakan ialah pelancaran bulan kemerdekaan
dengan mengibarkan jalur gemilang pada 17 Ogos,
majlis tahlil dan doa selamat di semua masjid
selepas sembahyang Jumaat pada 25 Ogos, perayaan
ambang kemerdekaan pada 30 Ogos dan perarakan
hari kemerdekaan pada 31 Ogos.
Kadir berkata selain itu kerajaan PAS Terengganu
juga bersetuju untuk turut sama menjayakan karnival
membeli belah yang akan bermula 5 Ogos ini. --