MPKT bina gerai
KUALA TERENGGANU, 20 April (Hrkh)- Majlis
Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) akan
membina gerai baru di tanah persendirian dan milik
kerajaan, bagi memberi peluang peniaga mendapat
premis perniagaan yang lebih sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan
Abdul Mutalib Embong, berkata pihak pentadbiran
MPKT kini sedang mengenal pasti kawasan tanah
di sekitar bandar ini yang sesuai untuk tujuan itu.
"Pihak MPKT akan membina gerai baru di kawasan
berkenaan. Bagi tanah kerajaan, mereka yang
berniaga di gerai baru itu akan dikenakan sewa.
"Manakala bangunan di tanah persendirian,
rundingan akan dilakukan dengan pemilik tanah
tersebut sama ada mereka akan dikenakan sewa
atau membayar balik kos pembinaan," katanya
ketika berucap di majlis dialog dengan peniaga
Taman Selera Tajong, di sini.
Selain itu, Wan Abdul Mutalib turut memberi
jaminan untuk mengkaji pelbagai masalah yang
dihadapi peniaga di kawasan berkenaan, termasuk
tambahan lampu jalan, masalah perparitan kurang
sempurna dan keadaan keselamatan kurang
terkawal.
"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut
dengan pihak berkenaan dan mencari jalan
mengatasinya," tambahnya.