|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
NIK AZIZ MINTA AHLI PAS GUNA
KEKERASAN KELUAR PARTI
KOTA BAHARU, 16 Julai -- Mursyidul Am
PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta ahli parti
itu yang ingin berjuang menggunakan saluran
kekerasan supaya keluar daripada parti.
"Saya nak ulangi nasihat lama, mana-mana orang
PAS yang nak guna kekerasan biar dia keluar
daripada PAS, buat pertubuhan suku (lain) yang guna
kekerasan," katanya kepada pemberita selepas
melancarkan ulang tahun ke 10 penubuhan Tabung
Serambi Mekah di sini hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata
hasil pendekatan PAS selama ini yang menggunakan
saluran demokrasi seperti yang diamalkan di negara
ini, telah memperlihatkan kejayaan dan kini ia
menjadi parti kepercayaan masyarakat berbilang
kaum di Malaysia.
Beliau tidak menolak kemungkinan adanya anggota
PAS yang menyertai gerakan bercorak kekerasan
tetapi menganggap pembabitan mereka itu sebagai
soal individu yang tidak diketahui oleh pucuk
pimpinan parti.
Pada majlis tersebut Nik Abdul Aziz menerima
sumbangan derma berjumlah RM986,455 daripada
jabatan dan agensi kerajaan negeri serta sektor
korporat untuk membiayai aktiviti Tabung Serambi
Mekah, bertujuan membantu masyarakat khususnya
golongan miskin.
-- BERNAMA