Mursyidul Am jamin PAS tidak sertai BN

KOTA BHARU, 29 Jan (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan merelai PAS menyertai semula Barisan Nasional (BN), sebagaimana dihasrat oleh Umno.

Bahkan, tambahnya beliau sendiri akan melarang mana-mana ahli PAS daripada menyertai BN atau cuba membawa masuk parti ini bersama-sama mereka.

"Saya akan larang orang PAS masuk semula BN dan kami tidak akan masuk semula pakatan dalam BN, cukuplah dengan pengalaman perit yang telah kami alami sebelum ini," ujarnya.

Menurutnya, pengalaman pahit sewaktu PAS bekerjasama dengan Umno hendaklah dijadikan iktibar, kerana ada ahli parti yang merajuk sehingga menubuhkan parti lain ekoran menentang pakatan tersebut.

"Untuk itu, pakatan lalu hendaklah dijadikan iktibar dan kami tidak akan menyertai BN lagi," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) yang menelan belanja kira-kira RM5 juta, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan PAS sedia menerima jemputan Umno untuk duduk semeja dalam membincangkan soal perpaduan nasional. Ini tidak semestinya PAS turut bersetuju untuk menyertai parti BN.

Lagipun, tambahnya persoalan yang akan dibincangkan nanti bukan sekadar perpaduan Melayu saja, sebaliknya isu berkaitan Islam lebih diutamakan.

Katanya, apabila Islam dilaksanakan dengan sempurna, maka masalah lain dapat diselesaikan dengan mudah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kedua-dua parti ini boleh bersatu, apabila Umno boleh menerima dasar Islam yang berlandaskan al-Quran dan hadis.

Jelasnya, ketika itu tiada lagi PAS dan Umno kerana ia telah menjadi satu perjuangan yang berlandaskan Islam. Turut hadir dalam majlis itu ialah, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdyul Rahman, anggota exco, wakil-wakil rakyat, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Jamilah Ibrahim dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Hajjah Kalthom Othman.