ROYALTI KAMI BERSAMA TOK GURU

[Siri YTDT kali ini merupakan satu lagi khazanah ilmu berharga yang MESTI diBACA dan diSEBAR keseluruh negara, khususnya Lunas kerana di sana pun ada ladang juga. Penyerahan tergesa-gesa Putra Jaya menampakkan sesuatu yang tidak kena, tambah lagi DUN bersidang selepas tandatangan istana. Rupa-rupanya itu semua hadiah termega diktator tua untuk anak-anak kesayangannya. - Editor]
 

YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

OTAK DI LUTUT BERALIH KE MANA?

Pada hari Khamis 16 November, 2000; Kerajaan Selangor telah meluluskan Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan Putrajaya 2000 bagi membolehkan Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, selama-lamanya. Daripada 42 penyokong kerajaan hanya seorang tidak hadir, iaitu Dato Seri Abu Hassan Omar yang bercuti. Semua wakil BN yang hadir telah menyokong, sedangkan enam ahli pembangkang yang diketuai oleh Datuk Dr. Mohd. Hassan Ali telah bertindak keluar dewan jam 4.42 petang kerana membantah penyerahan berkenaan.

Kita sengaja merakamkan perkara ini sebagai satu catatan bersejarah kerana sebelum ini saya sudah mencadangkan agar perkara ini dibuka semula satu hari nanti sebagai satu perkara yang tidak sah kerana tidak direstui oleh rakyat Selangor.

Inilah kali kedua kerajaan Selangor menyerahkan wilayahnya kepada Kerajaan Persekutuan selepas melepaskan Kuala Lumpur sebagai ibu negara pada 1974. Sebagai pampasan menyerahkan tanah seluas 4,390 hektar itu kerajaan Selangor menerima sebanyak RM200 juta, selain bayaran tahunan berjumlah 7.5 juta selama-lamanya. Pampasan ini telah disetujui oleh Sultan Selangor dan anaknya yang menjadi Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah.

Bayaran pampasan ini sudah mengambil kira jumlah cukai pintu yang tidak lagi dikutip Majlis Daerah Sepang (MDS) yang dianggarkan sebanyak RM7 juta setahun. Berdasarkan perjanjian itu, Selangor menerima peruntukan sebanyak RM800 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan kampung di pinggir Putrajaya dan Cyberjaya. Peruntukan itu digunakan bagi menjayakan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), bakinya digunakan dalam RMK-9 untuk membangunkan kawasan sekitar pinggir Putrajaya, yang diselenggarakan Jawatankuasa Perundingan Pembangunan yang bakal ditubuhkan. Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Pengarah Ekonomi, JPM dan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai timbalan serta dianggotai empat wakil Kerajaan Selangor dan empat wakil Kerajaan Persekutuan.

Selain itu Kerajaan Persekutuan menyerahkan 26 keping tanah seluas 10.163 hektar di Morib untuk dibangunkan sebagai projek Kerajaan Selangor yang dijangka dijadikan pusat peranginan. Dalam hal ini kita tentu mahu bertanya berapakah agaknya kos yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan ketika mengambil alih tanah kepunyaan Selangor itu dulu?

Mengikut perjanjian, bilangan wakil Kerajaan Selangor dalam Perbadanan Putrajaya akan ditambah daripada seorang kepada dua wakil, berdasarkan peruntukan Seksyen 5(1) Akta Perbadanan Putrajaya 1995.

Daripada 4,390 hektar itu, 3680 hektar adalah tanah ladang, tanah hak milik individu (312.61 hektar) yang membabitkan pampasan berjumlah RM753.3 juta manakala bayaran premium bagi tanah kerajaan seluas 396.82 hektar adalah 62.3 juta. Bagi tujuan penyelarasan dan pengemasan sempadan, beberapa kawasan tambahan juga diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan membabitkan 540 hektar, mengikut Pengambilan Tanah 1960 menggunakan sempadan semula jadi. Penyerahan itu bermakna semua hak dan kuasa mentadbir akan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan, malah sebahagian daripadanya sudah diserahkan melalui Perbadanan Putrajaya.

Dalam artikel berjodol "Bila Otak Ada Di Lutut" saya ada menyarankan agar rakyat Selangor tidak menerima persetujuan yang dicapai oleh dua kerajaan ini kerana rakyat tidak pernah mempersetujui sebarang rencana menjual tanah Selangor kepada apa yang dikatakan Kerajaan Persekutuan. Malahan, terlalu banyak cerita misteri di sebalik siapakah sebenarnya yang menerima nikmat penjualan ini. Adakah Kerajaan Selangor ataupun segelintir manusia rakus yang menyorok di belakang perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Selangor yang kini merangkap Yang Di Pertuan Agong dan anaknya yang menjadi Pemangku Raja Selangor. Ironisnya, dua insan yang merencana penjualan tanah dengan harga yang terlalu mengaibkan kebijaksanaan rakyat Selangor hanya duduk diam sebagai saksi sahaja. Eloklah dirakamkan di sini, Dato Seri Abu Hassan Omar dan juga Dato Dr. Mohd. Hassan Ali mempunyai latar-belakang kelulusan dalam perancangan bandar. Raja Kelentong adalah berkelulusan bidang perubatan sedangkan Mohamad Khir dalam bidang pergigian.

Semua rakyat Selangor seharusnya jangan merelakan penjualan tanah ini kerana terlalu banyak muslihat di sebaliknya yang satu hari nanti akan terserlah juga segala kejijikannya. Kita boleh ambil iktibar bahawa disebabkan kerakusan juga makanya segala cerita jijik itu masih tidak diketahui oleh rakyat Selangor, secara menyeluruhnya sehingga kini.
 

Satu Hektar Tanah Di Putrajaya Boleh Cecah RM200 Juta.

Pada hari Rang Undang-Undang Penyerahan Tanah Putrajaya itu diluluskan, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Pandikar Amin Mulia ada membuat pengemuman betapa harga setiap hektar tanah di pusat pentadbiran negara di Putrajaya dijangka mencecah sehingga RM200 juta pada tahun 2020. Ini bererti dalam masa 19 tahun lagi harga tanah seluas 4390 yang dijual murah oleh ahli politik hingusan terbaru Selangor di atas nasihat memanda Raja Kelentong boleh mencapai harga yang bersamaan dengan 4390 x 200 juta. Saya tidak mahu memberikan jawapannya kerana dalam penulisan saya yang lalu saya hanya menyebut beratus ribu juta ataupun beribu bilion. Yang nyata, pembayaran RM200 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada 7 November dulu adalah bersamaan dengan harga satu hektar tanah pada tahun 2020 nanti.

Bayangkan pula berapakah harga tanah yang dipunyai oleh orang individu yang seluas 312.61 hektar itu. Siapakah gerangannya mereka yang disebutkan indvidu itu?

Soalnya sekarang siapakah yang menipu siapa dalam hal ini. Malahan, apakah rakyat Selangor masih lagi mahu memberikan kepercayaan mereka kepada semua wakil parti Barisan Nasional yang telah bersetuju sebulat suara dalam meluluskan Rang Undang-Undang yang dibentangkan? Kalau harga yang dijangka naik dalam tempoh sembilan belas tahun boleh menjadikan Selangor sebuah negara yang terkaya, walaupun tidak mempunyai industri petroleum dan gas, kenapakah wakil rakyat yang dilantik itu sanggup meluluskan Rang Undang-Undang itu? Bukankah ini bererti mereka sudah mengkhianati rakyat yang melantik mereka di pemilu ke-10 dulu?

Kalau kita ambil kira bayaran tahunan sebanyak 7.5 juta selama-lamanya yang didasarkan taksiran cukai cukai pintu yang tidak lagi dikutip oleh Majlis Daerah Sepang, ia sudah tentu mampu mencuit minda seorang rakyat marhaen untuk memahami betapa mudahnya putarbelit politik yang direncana oleh dua doktor yang terbabit dalam kelentongan ini. Apakah kadar tanah tidak naik selepas ini? Bagaimanakah pula mereka mampu menipu ataupun memujuk semua 41 orang wakil rakyat BN untuk meluluskan Rang Undang-Undang itu?

Penipuan Besar Yang Sudah Lama Berlaku

Sempena penyerahan tanah Selangor secara tipu-helah kepada Kerajaan Persekutuan saya merasa bertanggungjawab untuk merakamkan dan juga mendedahkan satu rahsia mengenai satu lagi projek tanah Selangor yang satu hari nanti akan pasti dijadikan satu isu hangat untuk diambil-alih oleh Kerajaan Persekutuan juga. Hanya, masanya sahaja yang belum sesuai kini, tetapi besar kemungkinannya ia akan berlaku juga. Dalam pendedahan ini, kita mungkin selitkan sedikit beberapa peristiwa yang membuatkan rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu tertipu sekian lama oleh satu program menyonglap dan memutarkan minda rakyat di negara ini. Saya fikir sudah sampailah masanya untuk melakukan pendedahan ini sebagai memenuhi satu amanah orang yang menceritakannya kepada saya sejak lama dulu lagi.
Pendedahan ini adalah bersangkutan dengan tapak tanah yang kini dijadikan lapangan terbang terbaru di negara ini. Inilah lapangan terbang yang dikenali dengan nama KLIA (Kuala Lumpur International Airport) yang diura-urakan akan ditukarkan kepada nama Mahathir Mohamad International Airport, pada satu hari nanti. Malahan cadangan ini pernah disebut oleh Shariff Jajang ketika beliau menjadi ahli parlimen kawasan Sepang satu ketika dulu. Selepas cadangan itu dibuat, suasana politik bertukar dan kita fikir cadangan itu akan tinggal satu kenangan semata-mata. Ia tidak mungkin terlaksana memandangkan potensi ekonomi KLIA yang semakin merosot.

- Pembikinan KLIA

Semua orang disogokkan dengan satu kenyataan bahawa "kita membina lapangan terbang KLIA yang baru dengan harga yang lebih murah kalau dibandingkan dengan lapangan terbang Hong Kong. Sedangkan kapasiti KLIA adalah dua kali ganda besarnya daripada Hong Kong. Kita boleh jangkakan bahawa KLIA akan menjadi satu lapangan terbang yang penting di rantau ini." Demikianlah yang kerap diucapkan oleh Raja Kelentong setiap kali dia berceramah di forum bertaraf antarabangsa dan juga setiap kali dia berkempen di dalam negara.

Tapak KLIA itu sebenarnya pada satu ketika dulu merupakan satu ladang swasta yang bernama Elmina Estate. Satu ketika dulu, ladang itu di kelilingi kawasan berpaya dan berlopak-lopak kerana ia pernah menjadi kawasan peninggalan lombong bijih timah. Apabila projek bijih selesai, kawasan yang meminggiri Ladang Elmina itu dijadikan projek pemeliharaan khinzir ataupun babi dan juga tapak pembikinan samsu haram. Suasana kawasan projek haram itu telah membuatkan pengurusan Elmina Estate menghadapi banyak masalah dalam pengurusan tenaga manusia kerana pekerja ladang yang asal sudah ramai berpindah keluar untuk bekerja di bandar.

Untuk dipendekkan cerita, tuanpunya tanah akhirnya telah menjual tanah itu kepada seorang wanita yang tidak diketahui oleh umum mempunyai wang yang banyak untuk membelinya. Wanita Melayu ini memang dikenal baik oleh Raja Kelentong, walaupun satu ketika dulu dia bersuamikan seorang rakyat Peranchis yang pernah bekerja di negara ini sehinggakan menghasilkan seorang anak perempuan daripada perkahwinan mereka yang singkat. Sehinga kini pun tidak ramai rakyat di negara ini yang mengetahui kenapa Elmina Estate itu dibeli oleh wanita itu. Hanya Raja kelentong tahu jawapannya kerana dia telah menggalakkan wanita itu membelinya dengan rencana untuk menjadikan sebahagian tapak tanah itu menjadi satu lapangan terbang yang baru.

Bermulalah satu projek mega di tapak itu dan kerajaan pusat pun terpaksa berbelanja besar untuk membeli tanah berkenaan dengan harga yang sungguh tinggi sekali. Sedangkan, kalau projek lapangan terbang itu mahu didirikan, bukankah logik kalau tanah kosong peninggalan projek bijih timah itu diambil kembali dan dibangunkan. Harganya mungkin tidak sampai setengah daripada kos sebenar yang dibelanjakan untuk membina KLIA. Ironisnya, sehingga kini, dalam menyebut kos pembinaan KLIA itu, rakyat masih samar-samar dengan kos sebenar pembelian tanah Elmina Estate itu yang dijadikan tapak lapangan terbang. Kenapakah agaknya dan siapakah yang menipu siapa pula?

Betulkah Elmina Estate Tapak yang Paling Sesuai?

Kalau kita mahu pergi ke KLIA tentu kita terpaksa menyusuri lebuhraya yang diuruskan oleh "Elite" yang membawa kita menikmati pemandangan indah tanah lapang selepas kita keluar daripada pintu tol USJ. Kalau kita perhatikan keadaan tanah lapang di kiri dan kanan lebuh raya itu sehinggalah kita sampai ke satu simpang untuk memasukki Putraya dan Cyberjaya (di sebelah kiri) kita akan nampak satu kawasan tanah lapang yang kini diusahakan untuk projek perumahan. Tanah ini dikatakan dipunyai oleh Usahawan Muda yang kebetulan merupakan adik kepada wanita Melayu kaya yang membeli Elmina Estate dulu. Tapak tanah ini sungguh canggih kerana mempunyai satu kawasan lombong lama yang luas dan kawasan sekeliling lombong itu sudah lama mampat dan padat dan sesuai untuk dibina bangunan rumah di atasnya. Kalau dibina lapangan terbang di situ pun memang kawasan itu lebih canggih lagi daripada kawasan KLIA yang terbina kini.

Kita tahu, setiap projek perlombongan yang sudah pupus lama tidak melayakkan pengusaha perlombongan itu kepada tanah yang telah diusahakannya. Dia tidak layak memilikki tanah lombong yang sudah dihentikan operasinya. Tanah itu terpaksa dipulangkan balik kepada kerajaan yang mengeluarkan lesen perlombongan itu. Ini bererti kawasan yang diusahakan sebagai tapak perumahan yang dinamakan "Taman Perdana" itu sepatutnya telah diambil balik oleh Kerajaan Selangor. Tetapi, kenapakah di sekeliling tanah perumahan itu kini ditanam dengan tanaman jangka panjang seperti belimbing besi dan juga tanaman kontan yang lain. Siapakah yang sebenarnya mempunyai nikmat kepada tanah yang sungguh berharga itu? Khabarnya tuan punya projek ini merupakan seorang terpelajar juga kerana kerap mengikuti Perdana Menteri ke luar negara. Malahan, dia kerap juga mempengerusikan forum bertaraf antarabangsa di mana Raja Kelentong kerap menjadi tetamu khas dengan ucaptamanya.

Kita dapat menjangkakan, pemilihan Elmina Estate yang kemudiannya dijadikan sebahagian tapak KLIA dan berdekatan dengan Gelanggang Formula 1, serta pembinaan Putrajaya di kawasan yang berdekatan, sekaligus membuatkan si wanita itu wanita Melayu terkaya di dunia ini. Adik lelakinya yang mengusahakan projek perumahan di kawasan berdekataan Stesen R&R Dengkil itu menjadikan dua beradik ini satu pasang usahawan Melayu yang tidak mudah ditandingi oleh semua usahawan Melayu bertaraf Kelas F di negara ini. Alangkah bertuahnya dua beradik itu !!!!

Soalnya sekarang kenapakah cerita kejayaan dua usahawan unggul Melayu ini tidak pernah ditonjolkan dalam certia-cerita dongeng kejayaan usahawan Melayu di TV dan radio kerajaan? Kenapakah nama mereka berdua ini boleh dilupakan oleh semua akhbar media perdana yang menyokong kerajaan. Mereka berdua ini telah mampu menjadi usahawan Melayu bertaraf global tanpa bantuan dan panduan daripada MARA, NPC dan institusi kerajaan yang lainnya. Alangkah elok kalau mereka ini diajak bercakap di program Selamat Pagi Malaysia agar semua rakyat tahu apakah formula yang mereka gunakan untuk menjadi usahawan Melayu yang paling berjaya di negara ini. Saya pernah berbual mengenai hal ini dengan beberapa teman-teman lama. Ada seorang kawan yang ketawa dalam hal ini. Dia kata, kerajaan lebih berminat membesarkan cerita francais berniaga nasi lemak yang menelan belanja lebih satu juta daripada projek usahawan yang beratus juta yang dilakukan oleh wanita Melayu Ladang Elmina itu. Memang, satu ketika dulu sebelum SUKOM dilancarkan ada berita hangat mengenai francais nasi lemak yang dibuka secara rasmi oleh Tok Pa penasihat kementerian kewangan negara. Apakah agaknya kemajuan francais itu, kini?

Kadangkala kita merasa pelik juga kenapakah MARA tidak mampu memimpin orang Melayu mencapai kejayaan seperti yang dicapai oleh dua orang adik beradik ini. Yang si kakak mampu membeli Elmina Estate yang kemudiannya menarik minat seorang perdana menteri untuk menjadikannya tapak KLIA. Adiknya yang si lelaki itu pula berjaya menguruskan banyak industri berat-berat yang tidak mudah dikendalikan oleh orang Melayu. Oleh kerana usahawan berdua itu adalah orang Melayu yang berjaya, tentu kita mahu menyarankan agar ibu dan bapa mereka menerima pingat anuegerah ibubapa mithali untuk abad ini. Tentu sekali Perdana Menteri dan isterinya boleh ditentukan sebagai pemberi hadiah istimewa itu.

Dalam hal ini rakyat marhaen masih tertunggu-tunggu akan cerita kejayaan beberapa syarikat yang mengendalikan projek perubatan di negara ini. Ada satu syarikat yang menguruskan perkhidmatan doktor perubatan untuk institusi besar-besar seperti TNB, KWSP dan Telekom, dan banyak lagi. Kalau saya tidak silap nama syarikat itu ada terselit perkataan Medicare. Pengerusinya seorang berpangkat doktor juga, tetapi kedoktorannya adalah dibidang pendidikan, sedangkan perniagaan itu merangkumi kes perubatan. Tuanpunya besar syarikat itu ialah salah seorang adik kepada wanita Melayu yang terkaya ini.

Satu ketika dulu, semua institusi besar mempunyai panel doktor mereka sendiri. Tetapi panel itu kini sudah bertukar kerana adanya Syarikat Medicare ini. Ramai orang lebih selesa menyebutnya dengan perkataan "Mediocre" sahaja kerana sebaik sahaja mereka dipilih memberikan khidmat perubatan itu, mereka menerima wang pendahuluan di antara satu juta hingga dua juta daripada setiap institusi besar-besar itu. Sebaik sahaja menerima wang pendahuluan, para pengarah telah membeli kereta mercedes baru sedangkan kakitangan di pejabat hanya merupakan seorang kerani merangkap penyambut tetamu yang terpaksa bekerja terkonteng-konteng untuk satu tempoh yang lama.

Tujuan utama menggalakkan syarikat Mediocre ini ialah untuk "mempercepatkan dan menyelaraskan pembayaran kepada panel doktor kerana satu ketika dulu proses membayar mereka dikatakan satu kerja yang lembab." Impaknya kini, pembayaran masih lembab malah lebih lembab dari dulu. Kos perubatan yang dikenakan oleh doktor semakin naik kerana mereka terpaksa menanggung risiko bayaran yang semakin lembab tanpa peluang untuk membantah ataupun mengungkit hal itu kerana takut disenarai-hitamkan. Sekali lagi kita bertanya kenapakah masalah yang dihadapi oleh semua panel doktor yang berurusan dengan Mediocre ini tidak pernah dibangkitkan?

Kisah balun membalun harta rakyat dan pemberian projek secara program khas tanpa perlu ditender dulu, merupakan kemuncak "kegemilangan pemerintahan Raja Kelentong yang direstui oleh para pemimpin UMNO." Pemimpin parti komponen BN hanya angguk sahaja sebagai bersetuju, kerana mereka pun mempunyai peluang lain yang memberikan kenikmatan yang hampir sama. Inilah yang membuatkan UMNO semakin reput dan semakin dibenci oleh orang Melayu. Inilah juga yang menyebabkan mereka yang sedang berkuasa di atas itu mahukan kekuasaan itu terus berkekalan, kalau boleh sehingga nyawa bercerai daripada badan.

Raja Kelentong sudah memegang kuasa selama lebih dua puluh tahun. Dia tidak akan melepaskan kuasa itu kerana alasan yang sebenarnya hanya dia sahaja yang tau. Tetapi, rakyat marhaen di bawah sudah tidak sabar lagi dengan kerakusannya dan kerakusan yang ditonjolkan oleh anak-anak, para kroni dan juga para pemimpin parti yang dipimpinnya. Rakyat sudah merasakan, bahawa kerana kerakusannya itu dia sudah tidak lagi mampu hidup di alam nyata. Apatah lagi untuk menyedari segala kerja jijik yang dilakukan oleh segelintir pemimpin Barisan Nasional. UMNO yang dikatakan pejuang ketuanan Melayu dan penegak syiar Islam di rantau ini sudah kecundang dalam tugasnya sehinggakan proses memurtadkan orang Islam yang dilakukan oleh orang lain, seolah-olah dibiarkan begitu sahaja. Apakah kerana semua kerja-kerja jijik yang dilakukan selama ini menyebabkan UMNO terpaksa bersidang khas untuk meluluskan beberapa pindaan terhadap perlembagaan mereka?

Banyak lagi cerita pelik-pelik yang ada sangkut paut dengan wanita Melayu terkaya di dunia ini. Tetapi, semua cerita itu tidak menjadi berita hangat dan tidak menjadi isu besar sedangkan kerakusannya dan juga adik-adiknya saling tak tumpah dengan kerakusan Raja Kelentong. Namun, manusia boleh merancang dan Allah pun merancang juga. Cuma kuasa veto perancangan manusia itu ada di tangan Allah SWT sahaja.

Kerakusan wanita Melayu terkaya itu dan adik-beradiknya dijangka akan mula terserlah sedikit demi sedikit secara bersiri dan secara tidak dirancang oleh mana-mana manusia. Semua itu mungkin ada kena mengena dengan penyerahan tanah rakyat Selangor yang kini disebut Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan. Sekaligus, semua kerakusan wakil-wakil rakyat dan segelintir pegawai kerajaan yang berkuasa membantu mereka akan terserlah juga. Secara tidak langsung kisah bagaimana seorang menteri besar mampu melarikan beberapa kilo wang besar-besar ke luar negara akan menjadi babak ulang-tayang kepada rakyat Selangor juga. Sekaligus kita akan faham, kalau otak yang pada asalnya dikurniakan oleh Allah kepada manusia dan diletakkan di kepala itu dibiarkan untuk turun ke kepala lutut, kerakusan dan kegilaan untuk membalun harta rakyat mampu membolehkan otak yang berada di di situ beralih ke tempat lain juga. Ada orang yang berkata ia boleh beralih ke bontot, tetapi saya lebih selesa berkata ia mudah beralih ke kaki, kerana apabila kerja membalun harta rakyat dilakukan secara terang-terangan orang yang berotak begitu tentu sudah bersedia untuk angkat kaki untuk lari. Jika tidak, apa gunanya membeli tanah di negara asing dengan berjuta ringgit harganya sedangkan harga tanah dalam kawasan negeri Selangor boleh dibeli dengan kadar 0.93 sen sekaki persegi?
 
 

-Marhaintua-
18.11. 2000.