Media tutup berita persefahaman DAP-PAS
: Pengerusi DAP, Lim Kit Siang
mengecam media arus rasmi kerana tidak
melaporkan persefahaman antara parti itu dengan
sekutunya dalam Barisan Alternatif, PAS,
berhubung isu kharaj minggu lepas, tetapi
sebaliknya media terus menimbulkan berita-berita
negatif mengenai cukai tanah ke atas orang bukan
Islam.
"Media massa sengaja tidak melaporkan berita
mengenai persefahaman bermakna yang dicapai
antara DAP dengan PAS bahawa kharaj tidak akan
diperkenalkan tanpa mengambil kira pandangan
kaum bukan Islam," jelasnya.
Beliau secara khusus merujuk The Star dalam
kritikannya. Menurut Lim, akhbar harian berbahasa
Inggeris yang paling tinggi edarannya itu
melaporkan "Non-Muslim body objects to kharaj
proposal" (pertubuhan bukan Islam membantah
kharaj) pada 16 Disember dan "Kharaj will scare
investors" (kharaj akan menakutkan pelabur) pada
18 Disember, hanya beberapa hari selepas
pertemuan PAS-DAP yang dianggap bermakna itu.
Minggu lepas, DAP menghantar satu rombongan
sembilan anggota ke Terengganu dan Kelantan
untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS
negeri. Kit Siang pada Jumaat lalu melaporkan,
hasil pertemuan tersebut, beberapa kejayaan
telah dicapai dalam beberapa isu utama.
Sambil memetik pandangan Menteri Besar
Terengganu, Abdul Hadi Awang, Kit Siang berkata,
"Hadi memberi jaminan bahawa kerajaan negeri
pimpinan PAS akan menghormati sepenuhnya
hak-hak dan perasaan kaum bukan Islam dan juga
mengutamakan prinsip ‘syura rakyat’ dalam semua
dasar yang bakal diperkenalkan, bukan hanya isu
kharaj, jika sekiranya ia melibatkan kepentingan
kaum dan agama lain."
"Pemimpin-pemimpin DAP mendapati perbincangan
dengan Hadi dan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul
Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain sungguh
berjaya dan produktif," tambahnya.
Mengenai usaha PAS meminda perlembagaan
negeri agar kerajaan dapat melantik wakil
kaum-kaum minoriti di dua buah negeri itu, Kit
Siang berkata partinya mengalu-alukan sikap
terbuka Hadi dan Nik Aziz dalam hal itu.
"Kerajaan Terengganu turut memberi jaminan
bahawa ia akan melantik wakil kaum Cina dalam
majlis perbandaran dan juga majlis daerah, dan
dua kekosongan diperuntukkan untuk kaum Cina di
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu sebaik
sahaja perlantikan baru dibuat," jelas Kit Siang
lagi.
Kit Siang juga berkata Hadi dan Nik Aziz akan
mempertimbangkan bantuan untuk
sekolah-sekolah rendah Cina dan Tamil sebagai
tanda penghargaan ke atas sumbangan
kaum-kaum ini kepada pembangunan nasional.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan persekutuan
tidaklah begitu serius menyediakan bantuan
seumpama ini.
"Hadi turut memberikan jaminan bahawa kerajaan
negeri akan mengutamakan prinsip-prinsip keadilan
dalam membahagikan projek pembangunan, rumah
kos rendah dan lesen-lesen penjaja serta gerai,
berdasarkan keperluan," kata Kit Siang, sambil
menambah tidak akan ada diskriminasi berdasarkan
kaum atau amalan kronisme sebagai mana yang
diamalkan oleh kerajaan negeri dahulu di bawah
Barisan Nasional.
Kit Siang juga berkata partinya mengalu-alukan
keputusan kerajaan negeri menarik larangan
menternak khinzir yang diperkenalkan oleh
kerajaan BN selama hampir 10 tahun. "Saya tidak
faham bagaimana MCA boleh bersetuju mengenai
langkah ini sedangkan seorang anggota exco parti
itu berada dalam majlis mesyuarat kerajaan,"
jelasnya lagi.
Menurut Kit Siang, kerajaan Terengganu pimpinan
PAS telah memulakan langkah-langkah terbaik
yang tidak pernah dibuat oleh sebarang kerajaan
negeri sebelum ini sepanjang 42 tahun
kemerdekaan negara.
Kit Siang turut berkata langkah-langkah
menghapuskan tol, peruntukan cuti bersalin
selama 90 hari kepada kakitangan awam, contoh
kepimpinan Hadi yang tidak mahu tinggal di
kediaman rasmi, anggota-anggota exco diwajibkan
mengisytiharkan harta kepada umum,
pembentukan jawatankuasa hisbah bagi menerima
aduan orang ramai mengenai salahlaku kerajaan
negeri merupakan panduan yang boleh dipelajari
kerajaan persekutuan dari negeri itu.
Bagaimanapun, Kit Siang dikritik hebat oleh
Pengarang Kanan Berita The Star Wong Chun Wai
dalam kolumnya setiap Ahad, "On the Beat,"
dengan menyatakan Kit Siang dan DAP hanya
dilihat di mata kaum Cina sebagai "apologis"
kepada PAS.
"Tidak ada sebab kaum bukan Islam harus
berterima kasih kepaad Hadi atas jaminannya
bahawa penganut agama Buddha dan Kristian
dibenarkan membina tempat-tempat ibadat
masing-masing. Hak itu sudah diperuntukkan
dalam Perlembagaan Persekutuan," tulis Wong.
"Begitu dalam soal melantik wakil-wakil kaum
dalam majlis perbandaran dan majlis daerah,
masyarakat bukan Islam tidak sepatutnya
mengucapkan terima kasih. Ini semua langkah kecil
PAS untuk mengambil hati dan sokongan bukan
Islam bagi mencapai hasrat besar mereka ke arah
penubuhan negara Islam, seperti mana yang telah
disuarakan secara terbuka oleh
pemimpin-pemimpin PAS," tambahnya.
Kit Siang dalam satu hujah balas menjawab
bahawa beliau mengalami penderitaan ditahan dua
kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA), bukannya apologis bagi pihak PAS,
semata-mata kerana mempertahankan keadilan,
kebebasan dan demokrasi untuk semua rakyat
Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.