[Diharap sdr Cucu Datuk Bahaman menghubungi PW kerana password untuk
nama ini sudah tertelan. Saya memang mengkagumi tulisan sdr yang ramai
tidak kenal tuannya itu. Kalau tidak salah saya, beberapa penulisan di
Laman Mahazalim Asal adalah antara sentuhan berbisa pena sdr :) Malah kita
mungkin pernah bersama....? - Editor]
TERENGGANU TIDAK MEMERLUKAN ROYALTI MINYAK UNTUK TERUS BERNAFAS
Sungguhpun Kerajaan Pusat di bawah pemimpin autoritarian Mahathir Mohamad
telah memutuskan untuk tidak lagi menyalurkan wang royalti minyak kepada
Terengganu baru-baru ini, namun perkiraan cetek politik Mahathir itu tidak
banyak yang boleh membantu mengembalikan sokongan dan dokongan rakyat,
khasnya orang-orang Melayu terhadap UMNo dan Barisan Nasional. Perkiraan
Mahathir dalam soal royalti minyak dengan membatalkan perjanjian yang dibuat
oleh Petronas dan kerajaan Terengganu itu tidak ubah seperti tindakan pesakit
mental yang mengamuk kerana hajatnya nak kahwin tidak dipenuhi. Politik
dendam kesumat dengan menjadikan rakyat yang tidak berdosa sebagai mangsa
itu sebenarnya akan mempercepatkan proses ?hapus-nisasi? (istilah saya
sendiri yang mudah difahami) saki baki UMNo yang sedang nazak menunggu
ajalnya yang sudah di kerongkong itu.
Menghadapi tindakan zalim dan tidak bertamaddun politik Diktator Mahathir
itu, saya berharap kerajaan Terengganu akan mengambil beberapa alternatif
lain untuk mendapatkan sumber hasil kerajaan. Dengan ketiadaan wang royalti
tidak dinafikan bahawa agak sulit untuk mengurus sebuah negeri seperti
Terengganu itu. Keadaannya seperti negeri yang dilanda perang, terpaksa
mengikat perut kerana mahu berjimat cermat. Tetapi jika Kelantan mampu
bertahan sehingga tiga penggal pilihanraya dalam keadaan tiadapun sumber
royalti seperti Terengganu dulu, masakan Terengganu sekarang selepas ditarikbalik
wang tersebut tidak dapat bertahan ?
Malah saya cukup yakin dengan rahmat dan berkat yang diberikan Allah,
kerajaan pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi mampu meneruskan projek-projek untuk
kepentingan rakyat jelata. Saya yakin bahawa Allah pasti akan memberikan
rezekiNYa kepada Terengganu dari ?arah yang tidak disangka-sangka?. Namun
sebagai manusia, kita kenalah berusaha dan berikhtiar untuk memperolehinya.
Saya tahu negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang masih kaya
dengan sumber alamnya sendiri. Di zaman Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar
dahulu, sumber kekayaan tersebut tidak dieksploitasi dengan sepenuhnya
kerana beliau hanya mengharapkan sumber kekayaan daripada royalti minyak
semata-mata. Pendapatan negeri daripada sumber pembalakan dan galian kurang
ditekankan, malah kedapatan sumber galian tertentu yang tidak dieksploitasi
dengan sebaik mungkin kerana ?kebodohan? Wan Mokhtar dalam mengurus negeri.
Yang dia tahu cuma menambak tebing Sungai Telemong untuk menghalang hakisan
kepada tanah milik isterinya itu.
BEBERAPA ALTERNATIF PENDAPATAN KEKAL UNTUK TERENGGANU
1. Premium Tanah Industri
Dalam tulisan saya yang boleh dibaca di http://tranung.com/berita9/cucu10.htm
pada 10 September lepas, saya telah mencadangkan kepada kerajaan pimpinan
?Ayah Chik? itu supaya mengkaji akan kemungkinan menaikkan cukai premium
tanah di kawasan perindustrian Petronas di Kertih . Oleh kerana bidang
kuasa ke atas tanah merupakan hak kerajaan negeri, maka Petronas wajar
dituntut supaya membayar sejumlah wang yang menyamai 5 % daripada nilai
jualan minyak dan gas aslinya, atas kadar penggunaan setiap kaki ruang
tanah yang menempatkan segala kemudahkan infrastruktur dan logistik minyak
di Kemaman tersebut. Jika dirasakan kadar 5 % tersebut agak tinggi, ianya
bolehlah dirundingkan antara kedua belah pihak dengan saksama.
Akibat pembayaran ini, Petronas tidak diperlukan lagi untuk menyumbangkan
apa-apa bayaran yang selain daripada bayaran premium tanah tersebut. Maka
wang royalti 5 % selama ini itu bolehlah diberikan terus kepada Mahathir
untuk membail-out syarikat-syarikat Mirzan dan Mokhzani yang kini kembali
sakit dan demam itu. Dengan kata lain, hasil petroleum kini dimiliki sepenuhnya
100 % oleh Kerajaan Pusat. Saya rasa kena perlu ada satu dimensi baru dalam
takrifan sumbangan Petronas akibat penggunaan tanah milik negeri Terengganu
tersebut dan ini hendaklah bermula pada awal Tahun Kewangan 2001.
Selain Petronas, di Kemaman dipenuhi dengan pelbagai kilang-kilang perindustrian
yang beroperasi hasil daripada pembuatan berasaskan sumber petroleum tadi.
Kilang-kilang tersebut menempatkan beribu-ribu hektar keluasan tanah untuk
bangunan-bangunannya. Pemilik-pemilik kilang wajar dimaklumkan akan peraturan
baru kenaikan premium tersebut dan mereka seharusnya memahami situasi yang
dialami oleh kerajaan negeri sekarang. Saya tidak fikir dasar baru ini
akan menjejaskan niat pelaburan para pelabur asing dan tempatan kerana
ia lebih berupa ?imbalan? akibat penggunaan tanah semata-mata dan mereka
juga perlu sedar bahawa harga tanah di Terengganu masih jauh terlebih murah
berbanding dengan tanah-tanah industri di Selangor, Johor dan sebagainya.
Berhubung dengan premium tanah industri ini, suka saya menambah bahawa
kerajaan Terengganu juga wajar menaikkan premium tanah kepada syarikat-syarikat
dan kilang yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat atau kepentingannya dimiliki
sebahagiannya oleh Kerajaan Pusat atau para kroninya. Misalnya kilang NST
di Ajil dan Utusan Melayu di Gong Badak. Mereka ini wajar dipaksa membayar
cukai premium tanah yang lebih tinggi kerana kepentingan Kerajaan Pusat
di dalamnya ataupun dimiliki oleh kroni-korni Mahathir sendiri.
Selain itu, mana-mana tapak bagi projek yang ingin dimajukan oleh Kerajaan
Pusat di bawah kelolaan JPP yang baru ditubuhkan itu wajar dikenakan ?taksiran
khas? cukai premium tanah atau bangunan sejajar dengan fungsi mereka yang
mengkhianati kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.
2. Eksploitasi Optima Sumber Galian
Terengganu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber galian bawah
tanahnya seperti emas, bijih besi, amang dan timah. Kawasan di sekitar
geografi Marang -Wakaf Tapai- Cendering merupakan segitiga ?emas? yang
menyimpan banyak kekayaan emas yang masih belum diterokai. Ketika negara
heboh dengan penemuan emas di Lubuk Mandi beberapa tahun dahulu, tumpuan
hanyalah diberikan kepada kawasan sekitar itu sahaja. Hasil pengalaman
orangtua saya sebagai ?orang lama? dalam sumber galian dan pembalakan di
Terengganu, beberapa tempat tertentu di kawasan yang saya sebutkan tadi
mengandungi logam emas dan amang yang banyak untuk diterokai. Pendapat
saya ini meskipun tidak berdasarkan fakta-fakta yang tepat disebabkan ?halangan?
semasa Wan Mokhtar dahulu, tapi saya percaya logam-logam berkenaan masih
tersimpan di situ, Insya Allah.
Di kawasan Ajil misalnya, logam amang yang digunakan dalam pembuatan
cat meskipun telah diterokai secara agak meluas, tetapi ianya dipercayai
masih ?bersambung? sehingga ke kawasan Bukit Payung Kuala Terengganu, yang
masih belum diterokai. Di beberapa buah gunung di sekitar Empangan Kenyir
dan bersempadan dengan negeri Kelantan dipercayai mengandungi logam emas
yang agak banyak selain daripada batu-batu permata yang bermutu tinggi
(selain dari di Besut). Di sekitar Bukit Keratan dan Bukit Kancil Hulu
Terengganu juga dipercayai mengandungi logam berharga yang masih belum
diketahui nilai dan potensinya. Corak bentuk mukabumi di kawasan-kawasan
tersebut memungkinkan logam-logam tersebut boleh diterokai dengan lebih
optima sebagai sumber penting hasil negeri Terengganu. Jabatan Tanah dan
Galian Terengganu hendaklah melipatkan gandakan usaha-usaha meneroka kawasan-kawasan
berpotensi tersebut secepat mungkin supaya hasilnya cepat diperolehi. Saya
percaya jika segala sumber galian tersebut dieksploitasi, pendapatan berpuluh-puluh
juta setahun mampu diperolehi oleh kerajaan Terengganu. Selain itu, di
kawasan antara Marang-Wakaf Tapai-Bukit Payung juga masih kaya dengan bukit-bukit
batu kuari yang boleh diterokai untuk industri pembinaan jalanraya.
(Mungkin kerajaan Terengganu boleh menjimatkan duit untuk membina lebuhraya
nanti dengan menggunakan batu kuari sendiri? hehehheehehe ? bergurau aje).
Premium yang berpatutan hendaklah dikenakan untuk industri-industri galian
ini.
3. Sumber Pembalakan
Ketika Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar Terengganu, kedapatan beribu-ribu
hektar hutan balak KSK (kawasan sudah kerja) yang masih kaya dengan kayu-kayu
balak di kawasan KETENGAH dimana sebahagian besar daripadanya telah dikebas
oleh kroni-kroni beliau. Oleh kerana KETENGAH merupakan sebuah kawasan
yang agak luas, sumber balak masih lagi banyak di kawasan tersebut. Selain
itu, di kawasan Bukit Bauk Dungun, adalah merupakan kawasan hutan dara
yang masih tidak terusik sebahagian besar daripadanya. Sumber balak juga
masih belum diterokai sepenuhnya di beberapa buah gunung berhampiran sempadan
Kelantan dan Empangan Kenyir serta sempadan Perak. Berdasarkan jumlah balak
yang masih banyak itu, kutipan premium hendaklah dinaikkan ke suatu kadar
yang bersesuaian sebagai sumber penting pendapatan negeri.
4. Industri Sutera
Terengganu merupakan negeri pengeluar sutera terbesar di negara ini.
Kawasan penternakan sutera Ajil walaupun telah berjalan lama tetapi masih
tidak dikembangkan seoptima mungkin. Sutera yang dihasilkan oleh Terengganu
merupakan sutera asli yang bermutu tinggi. Kerajaan Terengganu dicadangkan
mengambil peluang daripada industri ini dengan membuat pengembangan operasi
dengan lebih komprehnesif. Saiz ladang ternakan dan tanaman makanan ulat
sutera hendaklah dilipatgandakan seberapa yang boleh. Kawasan-kawasan terbiar
di sekitar beberapa buah bukit di kawasan Ajil itu hendaklah dibangunkan
dengan industri ini secara lebih meluas. Lokasi tanaman dan ternakan hendaklah
diperluaskan ke lain-lain daerah dengan memberikan galakan dan insentif
tertentu seperti penggunaan tanah kerajaan secara percuma atau sewa murah
untuk rakyat mengusahakan industri ini.
Selain itu, hasil industri seperti kain sutera dan seumpamanya hendaklah
dinaikkan cukainya kerana sutera merupakan barangan mewah yang tidak diperlukan
oleh rakyat marhaen. Ianya untuk kegunaan orang-orang kaya yang mempunyai
wang yang banyak dan mampu membelinya sekalipun dengan harga yang mahal.
Hasil pembuatan daripada industri ini juga mampu menarik lebih ramai pelancong
ke negeri Terengganu dan boleh menjana pendapatan yang besar kepada hasil
negeri.
5. Industri Limau Madu
Di zaman Wan Mokhtar menjadi MB, hanya segelintir rakyat yang mengusahakan
industri tanaman limau madu bermutu tinggi di sekitar Bukit Payung dan
Ajil/Jerangau. Tanaman limau madu mendapat sambutan yang tinggi bukan sahaja
di dalam Terengganu tetapi juga di luar Terengganu kerana rasanya yang
lazat itu. Kerajaan Terengganu disarankan menjadikan industri ini sebagai
sumber pendapatan penting dengan memperluaskan kawasaan penanaman di semua
daerah di Terengganu.
Antara kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman limau madu ini ialah
antara Ajil hingga ke Dungun, selain dari kawasan Bukit Payung. Beberapa
kawasan di Besut juga mempunyai tanah jenis yang sesuai dengan pokok limau
ini. Jika dibangunkan secara komersil, saya percaya hasil limau madu ini
mampu memberikan pulangan berjuta-juta ringgit kepada negeri. Kejayaan
Thailand menguasai industri buah-buahan tempatan wajar dijadikan contoh.
6. Industri Ternakan Berkelompok
Industri penternakan lembu daging, tenusu, kambing, biri-biri, rusa
dan burung unta masih teramat kecil di Terengganu. Dengan keluasan geografi
dan tanah-tanahnya yang subur itu, kerjaaan Terengganu disaran agar menjadikan
industri ternakan berkelompok ini sebagai sumber penting pendapatan negeri.
Penternakan lembu daging dan susu di Tersat yang dulunya begitu gah, hendaklah
dibangunkan semula secara agresif. Keluasan kawasan hendaklah ditingkatkan
secara lebih meluas meliputi keseluruhan daerah. Kejayaan beberapa buah
negeri di Australia memajukan industri ternakan lembu ini wajar dijadikan
contoh dimana sumber pendapatan kekal negeri diperolehi secara lebih spesifik.
Budaya Mat Salleh yang gemarkan ladang lembu hendaklah dipupuk di kalangan
rakyat Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri. Potensi ternakan lembu
sedia ada yang dibangunkan sejak sekian lama di Tersat itu hendaklah diberi
nafas baru yang mampu menjana pendapatan besar kepada kerajaan negeri.
Daging rusa yang agak mahal harganya itu sewajarnya membuka minat penduduk
Terengganu untuk memulakan industri ini secara lebih komprehensif. Setakat
ini saya lihat hanya beberapa buah negeri seperti Negeri Sembilan dan Sabah
sahaja yang menternak rusa secara komersil. Terengganu patut menceburi
industri berpotensi ini secara lebih meluas dan berani.
Berdasarkan alternatif-alternatif sumber pendapatan negeri yang dinyatakan
di atas, iaitu gabungan antara hasil industri (premium tanah), premium
hasil galian dan hasil pertanian (premium balak dll) dirasakan mampu menyumbangkan
hasil pendapatan yang besar kepada negeri Terengganu, sekalipun tidak dapat
menyamai hasil kontan wang royalti minyak selama ini. Dianggarkan sumber
-sumber tersebut mampu mendatangkan pulangan hasil antara RM200 - 250 juta
setahun kepada negeri Terengganu jika dieksploitasi sepenuhnya (mungkin
tidak termasuk hasil premium tanah industri kelak).
Ini tidak termasuk hasil sumbangan sektor perlancongan yang dijangka
turut menyumbang pendapatan yang banyak, terutama selepas PAS mengambilalih
pemerintahan negeri Terengganu tersebut. Kejayaan Iraq di bawah pimpinan
Saddam Hussein bertahan daripada sekatan ekonomi selama lebih 10 tahun
wajar menyuntik semangat rakyat Terengganu untuk sama-sama memikirkan alternatif
terbaik mencari sumber hasil yang pelbagai daripada lain-lain punca yang
berpotensi. Jika Iraq boleh bertahan sebegitu lama tanpa hasil petroleumnya,
masakan Terengganu tidak boleh melakukan perkara yang sama ?
Malah kejayaan dan ketahanan yang bakal diperlihatkan oleh kerajaan
Terengganu dalam masa 4 -5 tahun akan datang sudah pasti akan lebih meyakinkan
rakyat seluruhnya. Yang penting, ianya pasti akan menjadi ?boomerang? kepada
Barisan Nasional tentang bagaimana jika sekiranya sesebuah kerajaan itu
ditadbirkan secara telus dan amanah, dengan keterbatasan hasil pendapatan
pun masih dapat mengurus dengan berkesan. Dan ini sudah pasti akan membuka
mata rakyat untuk terus memberikan undi padu mereka kepada BA dalam pilihanraya
akan datang. Jika ?Malaysia Boleh? (slogan BN), maka PAS juga Boleh ! Jika
PAS boleh mentadbir Terengganu dengan cemerlang tanpa hasil minyak sekalipun,
saya cukup yakin bahawa selepas itu akan berduyun-duyunlah orang-orang
UMNo yang gila, separuh gila dan pening-pening lalat menyertai atau menyokong
PAS dalam pilihanraya 2004 nanti. Hanya si buta dan si pekak sahajalah
yg mungkin masih mahu ?hidup dan mati kerana UMNo?.
Jadi saya merasakan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak ?memerlukan?
duit royalti minyak Mahathir untuk terus bernafas kerana sumber kekayaan
negeri itu apabila diterokai sebaik mungkin nanti mampu membisukan lidah
Mahathir daripada terus menyangka yang Terengganu di bawah PAS tidak akan
hidup lama tanpa wang minyak !!
Cucu Datuk Bahaman
23 Oktober 2000