Terengganu gigih tarik pelabur
KUALA TERENGGANU, 28 Dis- Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri, Haji
Mustafa Ali menolak tanggapan pihak pembangkang yang mengatakan
tiada usaha gigih oleh kerajaan negeri untuk menarik para pelabur.
Beliau berkata, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah
melakukan tindakan proaktif dalam melaksanakan tugas mereka untuk
menarik para pelabur ke negeri ini.
Tambahnya, walaupun kerajaan negeri masih baru tetapi telah menerima
kunjungan daripada MICCI yang memiliki 16 syarikat yang dilaksanakan
oleh pihak Upen.
Katanya lagi, pihak Upen bahagian industri juga sudah merancang aktiviti
sepanjang tahun depan dalam usaha untuk menarik para pelabur asing
dan domestik ke negeri ini.
"Kerajaan juga merancang untuk mengeluarkan buletin pada tahun 2000
untuk memaklumkan peluang pelaburan dalam negeri ini yang tak pernah
dilakukan sebelum ini, mungkin ada sebab tertentu," ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengakui usaha untuk menarik para pelabur perlu
dilaksanakan secara net working termasuk dengan kerajaan Pusat dalam
konteks federalisme.
"Terengganu tidak boleh pisah diri dengan Pusat dan Pusat pun sama
dengan kerajaan negeri," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu menggalakkan misi menarik
pelaburan ke luar negara yang dilakukan melalui Miti atau pihak kerajaan
sendiri.
Begitu, katanya jika usaha itu dilakukan bersama Miti, para pegawai
daripada negeri `tenggelam' dengan pegawai kerajaan Pusat.