KUALA TERENGGANU, 1 Feb -- Petronas memberi
jaminan untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan Terengganu
yang kini di bawah kepimpinan PAS.
Pengurus Besar Wilayah Pantai Timur Petronas Abdul Jalil Hassan
berkata sebagai sebuah syarikat, Petronas ditadbir secara
profesional dan akan terus memberikan sumbangan kepada
pembangunan di negeri itu.
"Kita memerlukan antara satu sama lain untuk kepentingan negara,
malah kerajaan PAS sendiri telah memberi jaminan untuk
mewujudkan kerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan di
negeri ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan
aidilfitri anjuran syarikat itu di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Haji Abdul Hadi
Awang
dan beberapa Anggota Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua
jabatan.
Mengenai peruntukan syarikat itu terhadap program-program
anjuran kerajaan negeri pula, Abdul Jalil berkata sebagai sebuah
syarikat profesional, peruntukan dan sumbangan yang diberikan
oleh Petronas kepada kerajaan PAS sekarang tidak berubah seperti
yang diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.
"Tidak ada sebab untuk disekat (peruntukan) dan ia untuk
kebajikan tetapi mungkin cara penyaluran berbeza sedikit
memandangkan ada program-program yang diubah sedikit,"
katanya.
Ketika ditanya mengenai kebakaran kecil di kilang penapisan
Petronas pada 16 Jan lepas, Abdul Jalil berkata siasatan
berhubung kejadian itu telah selesai.
Bagaimanapun, katanya, beliau belum melihat laporan
mengenainya.
Katanya pemeriksaan terhadap semua kilang milik Petronas yang
beroperasi di negeri itu sentiasa dijalankan untuk memastikan
kadar keselamatan sentiasa berada di tahap yang baik.
"Setiap tahun kita buat pemeriksaan dan sekiranya terdapat
peralatan yang perlu ditukar, kita tukar dan keselamatan sentiasa
dipertingkatkan," katanya.
Dalam kejadian 8.10 malam itu, kebakaran dilaporkan berlaku di
kilang Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn Bhd di Kertih, yang
melibatkan unit penapisannya yang memproses bahan bakar.
Bagaimanapun kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.30 malam
oleh Unit Bomba Petronas.