Kuala Terengganu 25 Dis----: Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Ekonomi, Industri Petroleum dan
Pembangunan Sumber Manusia Terengganu,
Mustafa Ali, berkata kerajaan negeri akan
menyiasat Perwaja, sebuah syarikat besi keluli
yang dilanda penyelewengan.
Syarikat milik kerajaan itu mencatatkan kerugian
berjumlah RM2.985 ribu juta dan menanggung
hutang sebanyak RM6.9 ribu juta pada 31
Disember 1995, menjadikannya penyelewengan
kewangan yang terbesar dalam sejarah negara.
"Buat masa ini, kami sedang memikirkan apakah
bentuk-bentuk tindakan yang boleh diambil oleh
kerajaan negeri," Mustafa memberitahu
malaysiakini Kerajaan negeri Terengganu
mempunyai 19 peratus kepentingan dalam
Perwaja.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan
Persekutuan mestilah bersedia membantu siasatan
itu.
"Kerajaan negeri sukar menyiasat isu itu
bersendirian," jelasnya. "Jika kerajaan Persekutuan
tidak mahu mendakwa mereka yang
bertanggungjawab terhadap penyelewengan
syarikat terbabit, ini bermakna pihak Persekutuan
tidak telus."
Beliau juga menambah penyiasatan Perwaja sudah
memakan masa terlalu panjang.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan
siasatan ke atas Perwaja pada 1996, selepas
setahun badan audit dalaman syarikat itu
mendapati beberapa bentuk keraguan dalam
pengurusan sebelumnya. Keraguan itu termasuklah
rekod-rekod akaun yang salah dan berjuta-juta
ringgit kontrak yang tidak melalui saluran yang
betul diberikan kepada syarikat-syarikat di
Malaysia dan luar negara.
Dalam siasatannya, BPR mengambil kenyataan dari
60 orang pegawai, termasuklah Pengarah Urusan
Perwaja Eric Chia, yang dilantik sendiri oleh
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk
menyelamatkan syarikat yang sedang tenat itu.
Bagaimanapun, di bawah teraju Eric Chia, kerugian
Perwaja meningkat dari RM1 ribu juta kepada
RM2.9 ribu juta.
BPR juga bertolak ke Jepun, Hongkong dan
Switzerland untuk mengumpul bukti berhubung
sejumlah bayaran RM76.4 juta yang dibuat oleh
Perwaja kepada NKK Corporation melalui sebuah
syarikat yang tidak wujud, Frilsham Enterprises di
Hongkong.
Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan
Terengganu pimpinan PAS mendedahkan
"penyelewengan kewangan yang terbesar di
sepanjang 18 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana
Menteri" dengan cara menubuhkan satu
suruhanjaya siasatan yang bebas bagi
membongkar penyelewengan hasil minyak negeri
itu, yang selama ini digunakan dalam pelaburan
syarikat tersebut.
"Setakat ini, tidak ada sesiapa pun didakwa di
mahkamah berhubung penyelewengan ini,
menjadikan Perwaja 'kes jenayah tanpa
penjenayah' yang terbesar dalam sejarah
Malaysia," jelasnya.
Siasatan BPR sebahagian besarnya sudah
disiapkan pada penghujung 1997 dan satu laporan
penuh telah pun dihantar ke Pejabat Peguam
Negara pada Mac 1998. Sejak tarikh itu, desakan
demi desakan dibuat bagi mendakwa Eric Chia.
Tetapi sehingga sekarang, tidak ada seorang
pun eksekutif Perwaja didakwa di mahkamah.
Kit Siang menjelaskan bahawa kerajaan
Terengganu boleh mendesak pihak berkenaan
mengeluarkan satu rekod akaun bagi semua
keraguan dan penyelewengan Perwaja.
Baru-baru ini, Menteri Besar negeri itu Abdul Hadi
Awang memberitahu sebuah akhbar perniagaan
Asian Wall Street Journal bahawa kerajaannya
tidak akan meneruskan suntikan wang kepada
kilang keluli yang muflis itu.
"Kami baru memulakan siasatan ke atas Perwaja
dan tindakan akan diambil kepada mereka yang
menyebabkan penyelewengan tersebut," katanya
lagi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri
Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat
laporan polis pada Julai lalu berhubung
penyelewengan yang didakwa melibatkan Dr
Mahathir dalam skandal Perwaja.
Beliau menjelaskan bahawa ketika beliau sebagai
Menteri Kewangan, beberapa percubaan sudah
dibuat untuk mendapatkan maklumat lengkap
daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat itu,
khususnya Pengarah Urusannya Eric Chia.
Bagaimanapun, Eric beberapa kali mendakwa
tindakan-tindakannya mendapat sokongan dan
arahan dari Dr Mahathir sendiri.
Anwar menambah, dalam laporan polis itu,
dakwaannya diperkukuhkan lagi dengan
surat-surat yang ditulis oleh Mahathir.
"Selain Eric Chia, Mahathir sebenarnya
bertanggungjawab secara langsung meluluskan
projek-projek dan menganugerahkan
kontrak-kontrak tanpa melalui sistem tender dan
tidak mengikut peraturan kewangan yang betul,"
jelas Anwar dalam laporannya kepada polis.
"Penglibatan langsung Mahathir dalam hal ini tidak
boleh dijadikan alasan untuk tidak menyiasat
skandal ini dengan betul," tambahnya.