Pahang tidak menafikan kemungkinan mencontohi dasar kerajaan
PAS Terengganu yang merombak sistem pengagihan balak berdasarkan
rundingan konsesi kepada dasar tender terbuka. Satu sumber yang rapat
dengan industri balak dan pemimpin negeri itu memberitahu malaysiakini
bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang minggu lalu pernah
membincangkan isu tersebut.
Perbincangan itu dipercayai ekoran perubahan dasar kerajaan Terengganu
yang mahukan sistem rundingan dihapuskan kerana menggalakkan kronisme
dan mengurangkan pendapatan negeri. Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Ekonomi, Perindustrian dan Petroleum negeri itu, Mustafa Ali,
minggu lalu dilaporkan percaya Terengganu akan berjaya memperolehi
pendapatan lapan kali ganda melalui sistem baru tersebut. Tahun lalu,
kerajaan negeri memperolehi RM16 juta daripada hasil balak melalui sistem
rundingan.
Bagaimanapun Setiausaha MMK Pahang, Harun Abdul Kadir apabila dihubungi
malaysiakini hari ini tidak bersedia mengulas lanjut.
Pembalakan menyumbang pendapatan terbesar negeri Pahang. Menurut
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan belanjawan
negeri bagi tahun 2000, sektor perhutanan menyumbang sebanyak RM99.81
juta daripada jumlah pendapatan negeri sebanyak RM334.78 juta bagi tahun
lalu.
Belanjawan Pahang bagi tahun ini dijangka mencatatkan defisit RM55.47 juta
berbanding hanya RM2.48 juta pada tahun sebelumnya. Perolehan hasil
kerajaan dijangka berjumlah RM344.78 juta, berkurangan RM7.24 juta
berbanding hasil sebenar pada 1998 sebanyak RM352.02 juta.
Dasar tender terbuka untuk pembalakan dipercayai akan berjaya
meningkatkan pendapatan kerajaan negeri yang semakin berkurangan.
Sementara itu, menurut seorang jurucakap Jabatan Perhutanan Negeri
Pahang, hasil keseluruhan pembalakan untuk semua jenis hutan pada 1999
berjumlah RM103.14 juta daripada keluasan 37,416.56 hektar yang
dilesenkan, manakala bagi 1998 pula, negeri itu mencatatkan pendapatan
berjumlah RM93.70 juta daripada keluasan 21,554.28 hektar yang ditebang.
Keluasan maksima yang dibenarkan ialah 12,240 hektar setahun.
Melalui dasar tender terbuka untuk pembalakan, Kelantan yang ditadbir PAS
sejak selepas pilihanraya 1990 berjaya memperolehi pendapatan RM56.45 juta
daripada keluasan 5,679 hektar pada 1997 dan bagi tahun berikutnya, negeri
itu mencatatkan hasil RM42.96 juta daripada keluasan tanah 6,108 hektar.
Had kawasan penebangan yang dibenarkan seluas 6890 hektar setahun.
Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, Kelantan merekodkan jumlah
pendapatan RM167.6 juta daripada 158,200 hektar kawasan balak sepanjang
1985-1989. Namun, sepanjang 1994 hingga 1998, di bawah pentadbiran PAS,
Kelantan berjaya mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM361.77 juta daripada
30,451 hektar yang ditebang.
|