|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
Ucapan Penangguhan YB Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kemaman Pada 17 Julai 2000
Penyiasatan Terhadap Pengedaran Pita Video
Penyiasatan Polis - Kes Dato' Seri Anwar Ibrahim
Pada persidangan Dewan Rakyat ke-10 penggal lepas,
satu soalan jawapan lisan telah dikemukakan oleh saya
pada 16 Februari 2000. Soalan tersebut berbunyi:-
"Tuan Abd Rahman b Yusof (Kemaman) minta Menteri Dalam
Negeri menyatakan bagaimana soalsiasat oleh seorang
pegawai polis (ASP Rodwan) dalam penyiasatannya
terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim dirakamkan ke dalam pita video dan
diedarkan secara meluas semasa pilihanraya ke-10
baru-baru ini bertajuk 'Skandal Seks Anwar'. Apakah
tindakan yang boleh diambil terhadap pasukan penyiasat
polis dan penerbitnya."
Jawapan yang diberi oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri
(Dato' Chor Chee Heung) adalah seperti berikut:-
"Tuan Yang di Pertua, di dalam penyiasatan kes
terhadap kes Dato' Seri Anwar Ibrahim memang terdapat
rakaman pita video dibuat. Walau bagaimanapun, adalah
ditegaskan segala rakaman pita video yang dibuat
tersebut disimpan selamat oleh pihak polis. Maka oleh
yang demikian tidak timbul sama sekali isu bahawa pita
video berkaitan siasatan tersebut diedarkan kepada
umum semasa pilihanraya ke-10 baru-baru ini."
Perlu ditegaskan di Dewan yang mulia ini bahawa saya
dan beberapa Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Keadilan
Nasional Bahagian Kemaman ada menerima pita video
tersebut yang diedarkan melalui pos semasa pilihanraya
ke-10 baru-baru ini bersama dengan pita video
bertajuk "Skandal Seks Mat Sabu." Wakil dari Kuala
Kedah agaknya.
Baru-baru ini saya didatangi oleh beberapa orang imam
masjid dan surau di kawasan Kemaman memberitahu bahawa
mereka menerima pita yang sama dalam bentuk cakera
padat yang diposkan ke masjid-masjid dan surau-surau
mereka. Ini membuktikan bahawa pihak berkuasa
menggunakan masjid untuk menyebar fitnah.
Hari ini saya bawa bersama video yang diedarkan semasa
pilihanraya ke-10 baru-baru ini dan cakera padat
bersama dengan sampul suratnya sekali yang di poskan
kepada Imam Masjid Pasir Minal di daerah Kemaman
sebagai bukti bahawa apa yang saya nyatakan di Dewan
yang mulia ini adalah benar. Kalau nak nafikan lagi
tak tahu lah.
Dakwaan Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa segala
rakaman pita video yang dibuat tersebut disimpan
selamat oleh pihak polis adalah satu percanggahan atau
pembohongan di dalam Dewan yang mulia ini.
Pengedaran pita video dan cakera padat ini merupakan
tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkuasa
termasuk polis untuk memalukan dan mengaibkan bekas
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim
apabila segala tuduhan dan tindakan Perdana Menteri
Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad terhadap Dato' Seri
Anwar Ibrahim tidak dipercayai oleh rakyat dan
masyarakat antarabangsa.
Sekiranya apa yang dinyatakan oleh saksi-saksi atau
mangsa-mangsa didalam pita video dan cakera padat yang
diedarkan ini adalah benar, mengapa ianya tidak dibawa
ke mahkamah sebagai bahan bukti didalam perbicaraan
terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim? Ini jelas
membuktikan bahawa apa yang dinyatakan oleh saksi atau
mangsa tersebut adalah fitnah dan rekaan semata-mata.
Pengakuan-pengakuan oleh saksi atau mangsa ini
dilakukan samaada secara paksa atau kenyataan yang
dibuat seperti mana yang dikehendaki oleh polis atau
pihak-pihak tertentu sebagai bahan untuk mengfitnah
dan mengaibkan Dato' Seri Anwar Ibrahim setelah gagal
membuktikan segala pertuduhan yang dilemparkan
terhadap beliau.
Satu Badan Penyiasat Bebas perlu ditubuhkan untuk
menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana
pihak yang bertanggungjawab merekacipta fitnah,
mengeluarkan rakaman pita video siasatan tersebut dari
simpanan polis dan mengedarkannya kepada masyarakat
umum. Tindakan juga perlu diambil terhadap penerbit
dan pembiaya pengeluaran pita tersebut. Ini adalah
kerana perbuatan fitnah dan merekacipta bukti adalah
satu perbuatan yang lebih zalim dan kejam daripada
membunuh yang hanya dilakukan oleh mereka-mereka yang
tidak bermoral dan tidak bermaruah. Apatah lagi
apabila mereka menggunakan institusi-institusi
kerajaan seperti polis, pendakwaraya, kehakiman, media
dan sebagainya untuk membenarkan tindakan hina mereka
ini.
Perbuatan merekacipta bukti, melakunkan drama-drama
dan sandiwara untuk dijadikan bahan untuk mengfitnah
mana-mana individu atau parti pembangkang adalah satu
perbuatan keji, jijik dan mesti dikutuk oleh seluruh
rakyat. Ia hanya dilakukan oleh mereka-mereka yang
sudah bankrap dan tidak ada modal atau isu lagi untuk
meraih sokongan kepada mereka. Walaubagaimanapun
rakyat tidak sebodoh sepertimana yang dikehendaki oleh
UMNO dan Barisan Nasional untuk mempercayai segala
drama-drama dan sandiwara yang diperlakunkan mereka.
Hanya orang UMNO dan Barisan Nasional yang oleh kerana
pemikiran mereka terpenjara mempercayai atau mengiakan
segala apa yang diperkatakan atau diperlakunkan oleh
ketua mereka. Mereka takut mempersoalkan segala
tindak-tanduk ketua mereka walaupun mereka sedar apa
yang diperlakukan oleh ketua mereka adalah salah,
kejam dan zalim.
Jangan persalahkan rakyat sekiranya mereka mempercayai
bahawa kisah Al-Ma'unah ini pun adalah satu lagi drama
'suspense' dengan izin UMNO dan Barisan Nasional
kerana mereka rasa pelik kenapa UMNO dan Barisan
Nasional beria-ia benar menggunakan kes ini untuk
mengfitnah PAS dan Barisan Alternatif secara melampau
dan melulu tanpa membenarkan Ahli Parlimen mereka
membahaskan isu ini di Dewan yang mulia ini. Rakyat
yakin kebenaran akan menang akhirnya dan segala fitnah
yang diperlakukan terhadap Barisan Alternatif akan
terbongkar juga.
Sekiranya tindakan tidak diambil, imej polis tidak
akan pulih kerana rakyat akan menuduh polis
bersekongkol dengan pihak berkuasa yang tidak
bertanggungjawab melakukan fitnah dan merekacipta
bukti palsu terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri,
Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Barisan Alternatif.
Harapan polis untuk membawa imej "Mesra Rakyat" tidak
akan tercapai. Saya percaya bukan semua polis bersikap
sedemikian, ia melibatkan hanya segelintir sahaja
dikalangan polis ini dan kebanyakan daripada mereka
menjalankan tanggongjawab mereka dengan penuh dedikasi
dan bertanggongjawab terutamanya polis-polis dikawasan
Parlimen saya Kemaman.
Sekian. Terima kasih.
Y.B. Sdr. Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kemaman