Y.B. Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kawasan Kemaman

Soalan-Soalan Untuk Jawapan Lisan

1. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Tenaga, Pos dan Multi Media menyatakan apakah kerajaan akan mengeluarkan  lesen  3G  "3rd. Generation Wireless Communication Service". Apakah Malaysia mempunyai pasaran yang mencukupi untuk melancarkan kemudahan ini pada masa kini.

2. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Kerja Raya menyatakan nama syarikat-syarikat yang mendapat konsesi penswastaan penyelenggaraan jalanraya JKR. Apa jaminan kerajaan pekerja-pekerja sedia ada tidak dibuang atau dipindah ke pihak lain seperti kerajaan negeri oleh pemegang-pemegang konsesi penyelenggaraan jalanraya JKR.

3. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Perdana Menteri menyatakan apa jenis kelulusan yang telah diperolehi oleh Permodalan Usahawan Nasional Berhad sehingga bersedia untuk memasarkan bon bernilai US$5.0 billion dalam pasaran kewangan antarabangsa. Apakah bentuk penyelewengan yang berlaku dalam pengeluaran bon ini.

3. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Perdana Menteri menyatakan apa justifikasi Putrajaya Holdings mengeluarkan bon sedangkan selama ini Perdana Menteri berbangga bahawa pembangunan Putrajaya tidak melibatkan pembiayaan dari luar negara. Apakah jenis jaminan yang ditawarkan dalam penerbitan bon ini untuk menarik minat pelabur.

5. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah kerajaan membuat  "Due Diligence Audit atau Report" sebelum memutuskan pembelian saham MAS dari Tan Sri Tajuddin Ramli. Sekiranya didapati ada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan MAS apakah kerajaan akan meneruskan pembelian ini dengan harga RM8.00 sesaham.

6. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa kawalan keselamatan yang begitu ketat dan luar biasa dibuat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri semasa mendapat rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Bagaimana pegawai penjara boleh menggeledah dan mencuri barangan peribadi beliau dalam keadaan kawalan yang begitu ketat.

7. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa menyatakan pandangan kenyataan Pengerusi Dewan Perniagaan American-Malaysian bahawa pelabur tidak berminat ke Malaysia kerana kegiatan rasuah, campurtangan kerajaan dalam perniagaan, ekonomi yang tidak kompetitif, kekurangan pekerja mahir dan kenyataan-kenyataan Perdana Menteri yang anti-Barat. Apa tindakan susulan kerajaan untuk memperbaiki keadaan  ini.

8. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah faktor-faktor yang menyebabkan saham TimeDot.Com tidak diminati pelabur. Apakah kerajaan bercadang membeli saham-saham ini yang tidak dilanggani.

9. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman]  minta Menteri Kewangan menyatakan berapa jumlah kos yang terlibat dalam cadangan pengambilan sistem pengangkutan massa negara termasuk sistem pengangkutan LRT dan STAR oleh kerajaan. Bagaimana kerajaan akan membiayai pengambilan sistem pengangkutan ini.

10. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan apakah kerajaan memantau penglibatan bumiputera dalam pelaksanaan projek-projek yang diswastakan. Apa kaedah pemantauan yang digunakan untuk memastikan keberkesanan penglibatan bumiputera dalam pelaksanaan projek-projek yang diswastakan.

Soalan-Soalan Untuk Jawapan Tulis

1. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa jumlah pinjaman yang dibuat oleh kerajaan dalam bentuk matawang asing tetapi pembayaran dalam bentuk ringgit. Apakah kerajaan mengkategorikan pinjaman ini sebagai pinjaman dalam atau luar negara.

2. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan syarikat-syarikat  yang memperolehi permit atau lesen perjudian yang berstatus syarikat bumiputera . Apakah syarikat Berjaya Sports Toto Berhad berstatus  bumiputera.

3. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Pendidikan menyatakan jenis peruntukkan yang digunakan untuk pembinaan kelas-kelas berkomputer di Negeri Terengganu dan nyatakan jenis peruntukkan untuk  negeri-negeri lain. Berapa kelas berkomputer akan dibina di Negeri Terengganu.

4. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman]  minta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bercadang melaksanakan Kod Etika Hakim-Hakim 1994 terhadap Hakim Persekutuan yang baru dilantik Tan Sri Mohtar Abdullah yang didapati bercuti bersama peguam V.K. Linggam dan peniaga Vincent Tan di Itali pada 1994.

5. Y.B. Abd Rahman bin Yusof [Kemaman] minta Menteri Hal-Ehwal Wanita menyatakan pendekatan kerajaan dalam pembelaan kaum wanita dalam pasaran buruh dari segi jadual kerja, penyediaan pengangkutan, tempat tinggal, taman asuhan dan sebagainya. Apakah kerajaan bercadang membina hospital khas untuk kaum wanita.