ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU

 

Pusat rampas RM700 juta hak Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Disember : Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan kepada paras harga petroleum bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2000, adalah dianggarkan tidak kurang RM700 juta hasil royalti petroleum telah dirampas oleh kerajaan Pusat.

Katanya, tindakan yang lebih melampaui batas lagi zalim yang telah diambil oleh Kerajaan Pusat bagi melemahkan pentadbiran kerajaan negeri ialah dengan menukarkan hasil royalti petroleum kerajaan negeri dengan apa yang dinamakan wang ihsan.

Tambahnya, Kerajaan Pusat yang tidak puas dengan pembatalan bayaran royalti petroleum, projek pembangunan utama yang dibiayainya telah dibatalkan termasuk pembinaan Lebuh raya Pantai Timur dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang sebelum ini telah dipersetujui dan dilancarkan.

"Pembiayaan projek infrastruktur yang dibiayai dari peruntukan pinjaman Pusat yang telah ditandatangani perjanjiannya sebelum ini juga telah dibatalkan," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2001 dalamMesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kesepuluh di sini, hari ini.

Katanya, projek-projek terlibat termasuklah 11 projek perumahan awam kos rendah di seluruh negeri, projek bekalan air luar bandar, sistem perparitan bandar Kuala Terengganu dan projek pembangunan di bawah pelaksanaan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri.

Beliau berkata, projek-projek berkenaan dirancang semata-mata untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah, yang masih memerlukan rumah sendiri bagi meningkatkan taraf kehidupan dan sosio-ekonomi.

"Oleh itu, dengan berlandaskan dasar hak dan kepentingan rakyat, maka kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan balik segala hasil negeri yang telah dirampas secara tidak waras dan buta ihsan oleh pihak yang sebenarnya sedang mengamalkan sikap dictatorship," tegasnya.

Harakahdaily