Pemerintahan bercorak islam
Terengganu,Kelantan jadi contoh
KUALA TERENGGANU: Kemenangan PAS di
Terengganu pada pilihan raya umum lalu telah
mengukuhkan kedudukan Barisan Alternatif di
negara ini, kata Tuan Guru, Haji Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, kemenangan itu memberi ruang
kepada dua buah negeri yang berjiran itu
mewujudkan kerjasama dua hala dan
menjadikannya sebagai "role model" pemerintahan
Islam.
"Sebagai abang, Kelantan terlebih dahulu
mengorak langkah dalam melaksanakan pelbagai
program berunsur Islam dan Terengganu yang
dianggap sebagai "adik" akan mengikut jejak
langkah itu dalam menegakkan syiar Islam di
negara ini," ujarnya.
Menurut beliau, sebagai 'adik', Terengganu akan
meminta kerjasama, nasihat serta teknikal dari
Kelantan yang sudah menempuh pahit maung
dalam melaksanakan pemerintahan Islam di negeri
berkenaan.
Sementara itu Dato' Nik Abdul Aziz dalam ucapan
balas memberi jaminan pihaknya akan menghulur
apa jua pertolongan yang diperlukan oleh
Terengganu demi mencapai impian pemimpin PAS
dan BA mewujudkan pemerintahan adil dan
saksama selaras dengan kehendak al-Quran dan
Hadis.
Beliau mahu negeri yang baru diterajui PAS itu
dimajukan secara seimbang antara keperluan
rohani dan jasmani bagi memenuhi kehendak dan
inspirasi rakyatnya.
"Rakyat Terengganu sangat beruntung kerana di
bawah pemerintahan PAS kegemilangan negeri ini
sesuai dengan namanya "Darul Iman" akan dapat
dikembalikan dan program pembangunan akan
dilakukan dengan sebaik mungkin," jelas Tuan Guru
Nik Aziz.
Selain itu, beliau turut membuat tawaran kepada
kerajaan Terengganu untuk mengadakan
kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memajukan
kedua-dua negeri tersebut.
"Banyak bidang ekonomi dapat dimajukan di negeri
ini, dan ia dapat dilakukan dengan lebih mudah
memandangkan sudah tersedia banyak kemudahan
dan keperluan asas di negeri ini.
"Buat permulaan, Kelantan menawarkan kepada
Terengganu untuk mengusahakan tanaman jagung
secara besar-besaran untuk diproses sebagai
makanan ternakan.
"Kelantan sudah mengusahakan tanaman tersebut
secara komersil sejak beberapa tahun lalu dan
kami mempunyai kilang untuk memproses jagung
menjadi makanan ternakan," kata Menteri Besar
Kelantan.
Menurut beliau, kerajaan Kelantan mahu
memperluaskan tanaman jagung bagi
menggantikan tanaman tembakau yang masih
ditanam secara meluas di negeri itu.
Tuan Guru Abdul Hadi bersetuju pada dasarnya
untuk memajukan tanaman itu dan menyerahkan
kepada pihak pentadbiran untuk membuat kajian
lebih mendalam mengenai tawaran tersebut.