Raja Kelentong Berlakon Lagi
Persidangan khas UMNO sudah pun selesai, pada 18 November 2000. Seramai 2,016 perwakilan "daripada 165 bahagian telah hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk meminda 11 daripada 12 perkara-fasal dalam perlembagaan parti yang kini terkenal sebagai UMNO Baru(a). Persidangan khas satu hari itu telah dimulakan dengan ucapan yang tidak berapa panjang oleh Presiden parti di mana dia telah menangis lagi. Kali ini, tidak ramai di kalangan perwakilan menyapu airmata mereka malahan suara laungan berbunyi "Hidup Mahathir" tidak kuat bergema lagi. Suara itu seakan-akan sumbang sahaja mengiringi mimik dan cemekan muka seorang tua yang sedang berdiri memerangi perasaan hatinya.
Saya tidak mahu merakamkan segala pindaan yang telah dilakukan itu kerana ia tidak akan membawa sebarang makna. Apakah ertinya melakukan pindaan kepada perlembagaan sebuah parti politik yang sudah pun diibaratkan (oleh badut terulung parti, Badruddin Amiruldin) "laksana rumah buruk dengan lantai yang reput, manakala bumbung pula bocor"?
Apa gunanya kita memberi penekanan kepada fasal dan pindaan yang dilaksanakan
itu sedangkan perlembagaan negara yang diolah begitu rapi satu ketika dulu
telah dirobek-robek, dan hukum undang-undang negara telah mudah sekali
dilenyek-lenyek? Saya fikir, UMNO boleh bersidang khas setiap bulan selepas
ini dan si Raja Kelentong sebagai presiden parti boleh menangis lagi setiap
kali persidangan itu dimulakan, UMNO akan berada di tahap itu juga - semakin
reput lantainya dan semakin bocor pula bumbungnya. UMNO sudah tidak berdaya
untuk menjadi sebuah parti politik Melayu yang pragmatik lagi, kerana semangat
juang Melayu yang satu ketika dulu menjadi teras penubuhan parti telah
dinodai oleh para pemimpinnya sendiri. Itulah yang berlaku ketika UMNO
asal pecah hingga mencetuskan penubuhan Parti Semangat 46. Itulah juga
yang berlaku kepada parti UMNO (Baru) yang ditubuhkan dengan berlakunya
kemelut yang sungguh bersejarah itu.
Lakonan Yang Dirancang
Semangat perjuangan Melayu dalam UMNO memang sudah lama pergi. Ia kini
beralih tempat dalam parti politik lain yang kini di kenal sebagai komponen
Barisan Alternatif. Presiden parti yang juga merangkap Perdana Menteri
Malaysia dan juga Raja Kelentong memang sedar akan perkara ini. Kerana
itu, dia pun tidak berapa peduli lagi apakah yang mahu dipinda oleh parti.
Yang penting kepadanya dia mampu berkuasa dan terus bertakhta selagi dia
masih lagi bernyawa. Sayangnya, para perwakilan tidak menyedari segala
taktik jijik yang direcananya selama ini sehingga satu tahap yang sudah
terlambat.
Hanya kini, barulah ada bibit kesedaran di kalangan perwakilan betapa
kuasa presiden parti itu telah menjerumuskan parti mereka dan juga maruah
bangsa ke dalam sungai Gombak yang mengalir di tepi PWTC itu. Dengan demikian,
segala pindaaan yang mereka luluskan itu tidak akan membawa banyak makna
kerana esok ataupun lusa dan mungkin juga satu ketika di tahun mendatang
ada saja peraturan baru yang akan diperkenalkan untuk meminda apa yang
baru sahaja dipinda itu. Bukankah itu yang terjadi selama ini sehinggakan
jawatan presiden parti dan timbalannya dibolehkan dipegang oleh orang yang
sama tanpa dipertandingkan?
Mahathir sendiri pun tidak berapa kisah lagi dengan segala pindaan yang
dilakukan itu kerana dia tahu apa yang dia mahu akan dapat diperlakukannya.
Sebelum persidangan itu dilangsungkan, sudah ada beberapa persidangan kecil
lagi yang telah diatur dan dikendalikan oleh pucuk pimpinan parti. Di antara
pindaan yang telah dirancang dulu ada satu cadangan agar tempoh pemilihan
kepimpinan dilanjutkan daripada tiga tahun kepada lima tahun dan mengikut
tempoh penggal Dewan Rakyat. Cadangan ini telah diluluskan oleh Majlis
Tertinggi UMNO pada 30 Oktober untuk dibentangkan pada persidangan khas
itu. Inilah cadangan yang ditentang dengan hebatnya oleh akar umbi parti
sehinggakan Majlis Tertinggi (MT) Umno terpaksa bersidang pada November
16 untuk menarik balik cadangan itu. Disebabkan kelulusan MT itu ditarik
balik dan tidak dikemukakan pada persidangan khas, barulah segala pindaan
yang kecil-kecil itu dapat diterima oleh para perwakilan. Ini bererti sudah
ada satu pergerakan 'bawah tanah' di kalangan akar umbi yang berjaya menyanggah
cadangan pindaan yang telah diluluskan terlebih dulu oleh MT. Ini juga
membawa erti bahawa perwakilan telah datang ke persidangan khas itu untuk
melihatkan keadaan sebenar apakah yang akan berlaku seterusnya dengan penolakan
utama itu.
Kita dapat menjangkakan, kalaulah tempoh jawatan mereka yang di atas
itu dilanjutkan sehingga lima tahun dan mengikut tempoh penggal Dewan Rakyat
ini membawa erti si Raja Kelentong mampu berkuasa sehingga 2005. Kalaulah
pindaan itu dibenarkan oleh perwakilan berapakah agaknya bilangan timbalan
perdana menteri yang akan muncul nanti, silih berganti? Rakyat Malaysia
tentu masih ingat lagi betapa Mahathir telah memberitahu seorang pemberita
di Hong Kong sebab utama dia terus 'bekerja keras untuk UMNO' ialah kerana
Paklah masih belum cekap lagi. Apakah kalau Paklah terus majal, dia akan
dijatuhkan melalui satu konspirasi lagi? Betulkah proses merencana konspirasi
ini sudah pun lama bermula?
Ramai veteran UMNO telah memberitahu betapa kecewanya Raja Kelentong
apabila cadangan lanjut tempoh itu telah ditolak oleh akar umbi. Sebenarnya
satu rencana untuk memutar minda orang Melayu sudah dirancang dengan teliti
oleh hampir semua akhbar perdana yang menjilat parti itu. Contohnya ketika
Mahathir menghadiri persidangan OIC di Doha, Qatar, ada satu lapuran daripada
Utusan Meloya yang memberitahu bahawa Mahathir telah berjumpa dengan Sheikh
Yusuf Qardawi, seorang ulama terkenal di sana. Apakah tujuan sebenar lapuran
itu, kalau bukan untuk mengabui pemikiran orang Melayu? Mujur, Azmin Ali
"telah menghubungi Sheikh itu secara utusan dan kemudian menerima jawapan
darinya yang mengejutkan. Rupa-rupanya, Raja Kelentong tidak pun pernah
mengadakan pertemuan itu. Sheikh Qardawi telah membalas utusan Azmin Ali
dengan menyatakan kesanggupannya untuk datang ke Malaysia memberikan penjelasannya
secara terus."
Kemudian, kita telah membaca laporan betapa Hamid Albar telah menganjurkan penjualan buku dalam Bahasa Arab yang merupakan buku terjemahan "A New Deal for Asia' yang ditulis oleh Raja Kelentong. Tentu kita masih ingat betapa beliau telah menulis akan peranannya sebagai pengasas penubuhan UMNO satu ketika dulu. Pembohongannya ini boleh dibaca dalam buku itu di muka surat 18 yang menyebut perkara berikut:
Quote:
"I organised the first Kedah Malay Youth Union, and later the Kedah
Malay Union, a political party which evolved into what is today the ruling
party of Malaysia, the United Malays National Organisation (UMNO)."
Jika diterjemahkan ia bermakna begini:
"Saya merupakan orang yang pertama mengusahakan penubuhan Persatuan
Pemuda Kedah yang kemudiannya dikenali sebagai Persatuan Melayu Kedah.
Inilah satu parti politik yang akhirnya bertukar wajah menjadi satu parti
yang memerintah Malaysia yang bernama UMNO."
Di Doha, memang ramai anak muda Melayu dan rakyat Malaysia yang bertugas
di beberapa bidang industri dan mereka sentiasa berhubungan rapat dengan
masyarakat Melayu yang bertugas di Kuwait, Iraq, Bahrain, dan negara Arab
yang lain. Apabila mereka tahu akan cerita penjualan buku dalam Bahasa
Arab itu mereka telah sama-sama menerangkan perkara sebenarnya kepada rakan
Arab mereka bahawa kenyataan Mahathir itu sememangnya satu kerja kelentong
juga.
Kita juga telah melihat betapa Persidangan OIC kali itu telah dipergunakan
secukupnya untuk menonjolkan ketokohan Raja Kelentong. Laksana masuk bakul
untuk mengangkatnya sendiri, begitulah gelagat yang dilakukannya. Malaysia
telah sanggup menyumbang Satu Juta Dollar untuk membantu OIC yang sentiasa
tidak berduit itu. Soalnya, dari manakah wang itu diambil kalau bukan daripada
khazanah negara. Adakah sesiapa di kalangan parti pembangkang yang mengungkit
perkara ini kerana terlalu mudah Mahathir membelanjakan wang rakyat kepada
tabung pilihannya. Apakah pembayaran wang sebanyak itu menjadi satu pra-syarat
untuk OIC menyetujui Malaysia sebagai tuan rumah yang terbaru nanti?
Mungkin tidak ramai para perwakilan parti di kampung-kampung yang sedar
bahawa salah satu taktik mengabui orang bandar untuk setuju melanjutkan
tempoh kuasa Raja kelentong secara perlembagaan ialah dengan tersiarnya
cerita adik beradik Raja kelentong itu di Harian Metro. Pada 12 dan 13
November, 2000 ada cerita mengenai adik beradik Raja Kelentong yang masih
hidup lagi dan bagaimana ketika masih berusia lebih daripada 85 tahun,
mereka mampu hidup segar bugar lagi. Secara liciknya cerita itu memberi
kiasan bahawa Perdana Menteri dan Presiden parti yang masih lagi berusia
76 tahun itu tentu masih bertenaga untuk memimpin sebuah negara, walaupun
usianya akan menjangkau 80 tahun. Inilah taktik yang kerap dilakukan di
Amerika setiap kali pihak agensi pengiklanan mahu menonjolkan kewibawaan
seseorang calon politik yang bertanding di sana.
Taktik menonjolkan kewibawaan Raja Kelentong ini bukan sahaja dilakukan
oleh akhbar perdana. Akhbar picisan seperti yang dikelolakan oleh Idris
Tulis dan juga Yahaya Ismail merupakan tabloid yang sungguh kuat mengampu
Raja Kelentong. Setiap aksi dan atktibiti yang dilakukan oleh Raja Kelentong
tidak pernah ada cacat-celanya. Semuanya baik-baik belaka kerana semuanya
dikatakan untuk kebaikan orang Melayu semata-mata. Sayangnya tidak pernah
pun akhbar dan tabloid pengampu ini memikirkan dan menyoal Mahathir kenapakah
selepas UMNO berkuasa lebih 43 tahun di mana hampir setengah usia itu dipimpin
oleh Raja Kelentong sendiri, masih ramai lagi orang Melayu dan rakyat Malaysia
yang berhak, tidak pun berkeupayaan untuk memilikki rumah sendiri? Malahan
terlalu banyak soalan yang patut dikemukan kepada Raja Kelentong ini kerana
soalan itu semua ada kena mengena dengan keadaan hidup rakyat marhaen yang
semakin tertekan. Sekarang ini kita lihat Idris Tulis terlalu giat menulis
mengampu Raja Kelentong kerana tidak ramai pembaca tulisannya yang kenal
siapakah Idris Tulis itu di zaman Tengku Abdul Rahman Putra. Hanya orang-orang
lama Kuala Lumpur yang mungkin akan teringat nama Idris Tulis itu sebagai
insan yang pernah satu ketika mahu memutar minda para penjaja Melayu ibukota
terutama mereka yang berniaga di Bukit Bintang.
Oleh kerana Idris Tulis kerap galak mengampu Raja Kelentong, kita nampak
Yahaya Ismail pun terikut-ikut untuk melimau-sintuk ceritanya agar tidak
basi-basi dalam cara mengampu Raja Kelentong yang dianggapnya tidak akan
mati-mati. Yahaya akan menuduh sesiapa sahaja yang dia suka untuk mengaibkan
maruah politik mereka. Tetapi, sebagaimana yang disebut oleh seorang veteran
UMNO kepada saya; "orang semacam Yahaya itu memang ramai cuma mereka menggunakan
Yahaya sebagai pencacau rasmi mereka". Sekali lagi taktik yang licik untuk
memutar minda itu bolehlah dikatakan tidak berjaya. Sebenarnya memang ramai
penulis ternama lain yang hidup mewah dengan taktik yang baru dicuba oleh
Yahaya Ismail itu. Mereka adalah Kadir Jassin, Abdullah Ahmad dan Zainuddin
Maidin. Mereka bertiga ini adalah daripada kelompok tembaga yang berkilau
laksana kencana, sedangkan Yahaya Ismail masih di tahap haprak lagi.
Pujuk Sudah Rayu Pun Sudah
Ketika membuka Persidangan Khas Umno kali ini Raja Kelentong ada menyebut:
"Saya telah pujuk, saya telah rayu, saya telah menangis dan saya telah
berdoa. Sekarang kita cuba pula pinda perlembagaan." Dalam hal ini ada
beberapa perbuatannya yang tidak diserlahkan. Cuba kita lihat perkara itu:
Sebelum dia berdoa dulu dia kerap menjelirkan lidahnya,
Dia telah tunggang-balikkan hukum undang-undang negara dengan menolak
sapina mahkamah sedangkan sapina itu adalah berkaitan dengan segala tuduhannya
terhadap Anwar Ibrahim.
Dia telah robek-robekkan perlembagaan untuk memberikan keselesaan kepadanya
dan para kroni. Kerana itu dilantiknya Eusoffe Chin sebagai Hakim Mahkamah
Tinggi dan Mohtar Abdullah sebagai Ketua Peguam Negara. Inilah pasangan
manusia berkelulusan undang-undang yang telah bersekongkol dengan Raja
Kelentong untuk menjatuhkan kuasa raja-raja dan kuasa ketuanan Melayu secara
putar belit dan hidup penuh rasuah.
Sejak beliau mengambil tampuk kuasa, Mahathir telah menganjurkan konsep
pemerintah yang "Bersih, Cekap dan Amanah." Kemudian dipindanya slogan
itu kepada banyak 'lagu' lagi termasuklah "Kepimpinan Melalui Tauladan".
Lihat sendirilah, apa jadinya kini? Apakah segala slogan yang dicetuskannya
itu membawa sebarang makna? Kenapakah baru kini dia meminta tolong agar
perwakilan UMNO membantunya?
"Kita masih anggap rasuah sebagai jenayah yang kita berasa malu jika
kita lakukannya. Keadaan masih boleh dipulih, insya Allah. Tetapi, jika
sesuatu keburukan hendak ditangkis, ia mestilah dibuat sebelum ia merebak
dan menjadi sebahagian daripada budaya kita.
Oleh itu tolonglah. Sayanglah bangsa kita ini. Sayanglah anak cucu kita.
Tolaklah rasuah. Dedahkan mereka yang menghulur rasuah. Dapatkan bukti
yang cukup, dedahkan mereka. Tolak semua jenis tawaran rasuah termasuk
melancong dan umrah. Tolak semua yang berbau rasuah kerana bangsa, kerana
bangsa kita akan menjadi hina, akan hancur. Dan kita semua akan terus jatuh
ke lembah kehinaan, daif dan tidak bermaruah.
Tiap seorang ahli UMNO bertanggungjawab dalam usaha ini. Dedah dan tolak jenayah rasuah dan utamakan bangsa, agama dan tanah air."
Aduuuuuhhhhhhh!!!!!! Memang seronok mendengar cakapan dan nasehat seorang
tua dalam perkara begini. Ia seolah-olah menaikkan semangat juang di dada,
apatah lagi kalau yang bercakap itu mengeluarkan airmata dan mememekkan
mukanya untuk dirakamkan oleh kamera dan TV. Tetapi, inilah cakap-cakap
kosong yang tidak membawa sebarang makna lagi kepada para pendengar yang
sudah lali telinganya dengan retorik ini. Mahathir hanya perlu melihat
sekelilingnya di pentas persidangan khas itu. Dia perlu menoleh setiap
muka yang ada di situ dan tanya berapa banyak rumah mereka dan berapa banyak
bidang tanah mereka semuanya. Hampir semua mereka itu pernah menyerahkan
butir harta benda mereka sebelum dilantik menjadi wakil rakyat. Cuba bandingkan
penyata itu dulu dengan kekayaan yang ada pada mereka kini. Apakah tidak
ada unsur rasuah? Cuba Mahathir tengok dan belek barang kemas yang dipakai
oleh Rafidah, Shahrizat dan isteri-isteri para menteri yang ada. Kalau
untuk memudahkan lagi cuba tanya Habib Jewels berapakah wang yang dibelanjakan
oleh setiap insan ini ketika mereka datang memilih intan berlian? Kenapakah
mereka kerap membelek barang-barang kemas yang berharga sekitar suku juta?
Apakah Mahathir tidak pernah diberitahu bahawa salah satu cerita hangat
yang dibawa pulang ke kampung daripada PWTC ialah barang kemas terbaru
yang dipakai oleh si anu dan si anu dan berapa pula harganya. Inilah modal
yang dibawa pulang sebagai kenangan.
Rasuah Mahathir Dan Rasuah Marhaen
Kalau kita teliti saranan Mahathir untuk membenteras rasuah selama ini,
kita tentu mahu menyoalnya apakah yang dimaksudkannya sebagai rasuah? Cara
beliau merestui Rafidah Aziz mengeluarkan permit pengimpotan kereta luar
negara untuk menandingi Proton dan Produa, seolah-olah perbuatan Rafidah
itu bukannya perbuatan rasuah. Begitu juga pendedahan Umi Hafilda di mahkamah
(bukannya di sidang akhbar untuk cari glamor) betapa dia diberikan kontrak
pengiklanan berjuta harganya dan daripada sebahagian kontrak itu diberikan
pula sekitar RM35,000 setiap bulan kepada isteri seorang timbalan menteri
dalam negeri. Apakah itu bukan satu bentuk rasuah?
Bagaimana pula dengan kisah wang hasil penggalian minyak dan gas dan
penjualannya ke seluruh dunia dan dimasukkan dalam akaun Petronas? Kenapakah
wang itu dikendalikan oleh Raja Kelentong sendirian, dan bukannya oleh
Perbendaharaan negara? Kuasa yang ada padanya mampu membolehkan beliau
mengarahkian Rais Yatim untuk terus memutar-belitkan undang-undang negara
menidakkan royalti minyak kepada rakyat Terengganu. Apakah itu pun tidak
dikira rasuah?
Begitu juga halnya dengan penggalian gas di Kelantan sedangkan hasil
galian itu disalurkan ke Kedah dengan menggunakan kawasan kepunyaan kerajaan
Thailand. Apakah itu bukannya rasuah? Dalam hal ini saya ada diberitahu
oleh beberapa jurutera yang menggali minyak di perairan Terengganu: besar
kemungkinannya minyak akan digerudi di Kelantan. Cuma pada waktu ini hanya
gas yang disebut-sebut. Tetapi, di dasar laut, minyak sudah mula dapat
dikesan dengan banyaknya di bumi Kelantan. Ini bererti, saluran paip gas
yang terpasang siap masuk ke Kedah, akan satu hari nanti dijodohkan pula
dengan saluran minyak daripada bumi Kelantan. Oleh kerana orang Kelantan
tidak pun merasa nikmat royalti itu, siapakah yang akhirnya menikmatai
segalanya kalau bukan orang Kedah dan juga para kroni si Raja Kelentong
itu? Apakah ini bukan satu bentuk rasuah?
Oleh kerana cara Mahathir merayu agar rasuah dibenteraskan itu merupakan
satu rayauan laksana menepuk air di dulang, rakyat marhaen hanya mampu
tergelak yang bertukar sedikit demi sedikit kepada perasaan jijik dan marah
yang meluap-luap. Gelagat Mahathir menjelir lidahnya, menangis, merayu
dan berdoa untuk menghapuskan rasuah di negara ini adalah satu lakonan
yang memang hanya Mahathir yang pintar melakonkannya. Hampir semua ahli
MT di persidangan UMNO itu faham dan sedar bahawa rasuah di negara ini
adalah satu kejijikan yang sudah pun menjadi budaya orang Melayu gara-gara
kerakusan yang dipelopori oleh Mahathir dalam UMNO. Oleh kerana tahap rasuah
dalam UMNO sudah melonjak begitu tinggi sehingga ia tidak dapat dijatuhkan
lagi selagi tonggak yang digunakan untuk melonjakkan rasuah itu tidak dapat
dijatuhkan.
Rasuah sudah lama menjadi budaya orang Melayu yang diimpot daripada
budaya asing. Ia telah dibiakkan oleh Raja Kelentong dan suku-sakatnya.
Laksana secebis dedalu yang tertempel di batang kayu satu ketika dulu,
dedalu rasuah itu sudah lama menjalar dan mencambah daripada satu pokok
hingga satu pokok yang lainnya sehinggakan pokok yang ditanam begitu rapi
dulu sudah pun menjadi hutan rimba. Tuanpunya kebun yang menanam pokok
buah-buahan dulu mengharapkan buah-buah yang ranum pada musimnya. Tetapi,
apabila dedalu yang hidup laksana raja di pokok yang ditumpanginya pada
satu ketika dulu, telah menjadikan segala pokok tanaman menjadi hutan rimba.
Pokok yang paling besar dan utama itulah yang bernama UMNO yang penuh sarat
dengan segala jenis dedalu sehinggakan rupa bentuk pokok yang asal sudah
lama hilang dari pandangan. Sesekali terjurailah beberapa kuntum orked
liar yang menumpang sama di pokok itu. Sesekali akan reputlah ranting dan
dahan di pokok itu dan jatuhlah ke bumi tanpa sesiapa yang menangisinya.
Begitulah jadinya dengan cawangan dan bahagian UMNO yang dikatakan berjumlah
165 bahagian itu.
Demikianlah perjalanan UMNO yang kini dimestikan membenteras rasuah
mengikut acuan yang dikemukakan oleh Raja Kelentong. Rasuah jenis apakah
yang dimaksudkannya? Kalau dia betul-betul serius membenteras rasuah dia
perlu memulakannya dengan penubuhan satu suruhanjaya penyiasat kenapakah
Projek SUKOM dulu mengalami kerugian sedangkan projek sukan yang dikendalikan
negaraluar mendapat keuntungan? Cuba lihat Sukan Olimpik di Sydney 2000,
mereka mendapat keuntungan yang tinggi. Tetapi, kenapakah kerajaan terpaksa
menabur wang lagi dalam projek SUKOM, sedangkan banyak insfrastruktur yang
terbina itu sudah pun memerlukan pembaikan dan selenggaraan yang memakan
berjuta ringgit lagi? Kita tahu Raja Kelentong tidak akur dengan permintaan
itu kerana dia tahu hampir semua projek besar dalam pembikinan perasarana
dulu telah dibalun oleh anak-anak, para kroni dan para penjilatnya. Daripada
projek angkut sampah sehingga pembikinan bendera dan tiangnya pun dibalun
anak-anak dan kroninya sahaja.
Dengan hal demikian, rasuah jenis apakah yang mahu didedahkan kepada
Raja Kelentong? Kalau ada pun yang berminat mendedahkan segala bentuk rasuah
itu, di manakah mahu didedahkannya? Di akhbar perdana yang sentiasa diisi
dengan rencana mendewakan seorang diktator tua dan para pemimpin partinya?
Kalau perbuatan rasuah itu dianggap jijik, perbuatan menyekat usaha membenteras
rasuah harus dianggap lebih jijik lagi. Kerana itu Raja Kelentong perlu
disedarkan bahawa tindakan menyekat penyebaran maklumat seperti yang dilakukan
oleh parti alternatif dan usaha membekukan permit dan lesen penerbitan
yang disenangi rakyat, adalah merupakan perbuatan yang sama jijiknya dengan
perbuatan rasuah itu. Begitulah juga dengan usaha menyekat hasrat rakyat
marhaen berkumpul secara aman. Apatah lagi kalau himpunan rakyat secara
aman itu dihambat oleh polis yang bersenjatakan belantan, air asid dan
gas pemedih mata. Dosa melakukan semua kerja jijik ini adalah sama dengan
dosa melakukan rasuah. Mahathir harus sedar masanya untuk undur sudah lama
berlalu. Dia sudah melepasi tarikh pupusnya dan tidak akan mampu melambatkan
masa itu dengan mengerahkan ratusan polis FRU menyekat himpunan rakyat.
Ribuan tenaga ganas polis tidak akan mampu menyekat gelombang reformasi
rakyat yang mahukan Mahathir undur dan kebebasan untuk mereka bersuara.
Mahathir harus mengambil iktibar dari apa yang sedang dialami oleh sahabatnya
seperti Fujimori, Mogabe dan juga Soharto.
Rasuah apakah yang perlu didedahkan kepada Mahathir kalau dia sendiri
galak mengamalkannya? Bukankah perlantikan orang yang tidak disenangi rakyat
seperti Aziz Shamsuddin dan Hamid Othman satu bentuk rasuah? Bagaimana
pula dengan seorang menteri pendidikan yang dilantik tanpa beliau terlebih
dulu menjadi ahli parti? Bukankah itu pun boleh dianggap sebagai rasuah?
Bagaimana pula dengan kisah penggunaan syarikat khas untuk mengangkut para
pengampu di setiap majlis pertemuan Mahathir dengan rakyatnya? Apakah itu
bukan rasuah?
Rasuah yang cuba dibenteras dengan retorik akan terus menjadi-jadi dari
segi amalannya. Laksana dedalu yang sudah lama subur di atas pokok yang
satu ketika dulu kuat dan tinggi kedudukannya, dedalu itu akan terus berkembang
biak sehingglah pokok tegap dan tinggi itu akan jatuh menyembah bumi. Sedikit
demi sedikit; ranting, dahan dan cabang-cabang pokok itu sudah pun kering-kontang
dan berada di pangkal pokok itu. Dahan-dahan yang ada dan kelihatan tegap
itu pun sudah semakin kering juga, hanya menantikan hari dan waktu untuk
patah riuk menyembah bumi dan berlonggok di pangkal kayu itu.
Demikianlah UMNO yang dirasuk budaya rasuah dan ampu mengampu. Mahathir
sebagai Raja Kelentong di negara ini mahukan dirinya terus berkuasa di
dalam sebuah parti yang dia sendiri sedar sudah menunggukan harinya untuk
turut pupus juga. Tetapi, dia mahukan rakyat terutama para pemimpin parti
terus menyanjunginya. Budaya ampu mengampu oleh para juak dan kroni adalah
satu budaya yang sudah lama disemai dan dinikmati oleh Mahathir. Kini,
budaya jilat menjilat itu sudah semakin berkurangan. Jeliran lidah, tangisan,
rayuan dan doa tidak menjadi mujarrab lagi.
Dia pernah berkata di hari persidangan khas itu:
"Banyak lagi tindakan yang perlu diambil untuk menguatkan UMNO dan melengkapkannya
untuk menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran di dekad-dekad akan datang.
Jika kita meneliti sejarah, kita akan dapati banyak tamadun manusia muncul,
mencapai kecermelangan buat beberapa lama tetapi akhirnya merosot dan kadang-kadang
terus luput dan hilang. Hampir semua tamadun termasuk tamadun Islam telah
melalui proses ini. Tetapi ada juga yang merosot dan kemudian dipulih semula."
Sebelum itu Mahathir ada membuat satu kenyataan yang sungguh bersejarah:
"Jika UMNO mengamalkan rasuah, kita akan dapat presiden dan perdana
menteri yang membeli jawatan secara haram. Demikianlah juga dengan pemimpin-pemimpin
lain. Apakah jenis kerajaan yang akan kita dapat di Malaysia? Apakah kita
boleh percaya dengan kerajaan yang di anggotai oleh penjenayah rasuah?"
Sekarang kita mahu tanya Mahathir apakah peranan Eusoff Chin ketika
menjadi Ketua Hakim Negara dan apakah pula peranan Mohtar Abdullah, Augustine
Paul, Ariffin Jaka dan beberapa penyiasat polis dalam mengganyang Anwar
Ibrahim dulu? Bukankah semua mereka itu telah bertungkus lumus memutar-belitkan
undang-undang semata-mata untuk mengekalkan seorang diktator tua? Apakah
mereka itu semunya tidak berumah tangga dan mempunyai anak-anak yang semakin
membesar? Bagaimanakah mereka yang bergelar 'Yang Arif' itu sanggup bersekongkol
untuk menjerumuskan seorang insan dan memisahkan anak-anaknya yang semakin
membesar untuk satu tempoh yang sungguh lama? Apakah tindakan Mahathir
memutar minda mereka itu semuanya bukan berupa satu rasuah? Sebenarnya
inilah rasuah moral namanya, yang sama beban dosanya dengan rasuah fisikal.
Inilah yang menakutkan Mahathir kerana sentiasa dihambat igauan ngeri
dalam tidurnya. Cuma kita mahu syorkan satu perkara untuk Mahathir sebagai
jaminan akan bertambahnya rakyat yang akan menjilatnya. Dalam hal ini dia
tidak perlu merasuah sesiapa lagi, tetapi akan selesa dengan adanya ratusan
ribu manusia yang akan menjilat belakangnya. Arahkanlah Pos Malaysia mengeluarkan
stem baru dalam pelbagai bentuk dengan menggunakan muka memek seorang diktator
tua sebagai penghiasnya. Kemudian, suruh 'Malaysian Book of Records' membuat
kajian berapa ramaikah manusia di Malaysia ini yang menjilat stem itu setiap
hari. Yang pasti tidak ada pemimpin dunia lain yang dapat menandingi jumlah
itu sampai bila-bila lagi, kerana kita yakin tentu ada rakyat yang meludah
mukanya di stem itu sekali.
-Marhaintua-
20.11.2000