KUALA TERENGGANU, 20 Feb -- Kerajaan PAS
Terengganu hari ini menafikan dakwaan yang peruntukan royalti
minyak bagi tahun 2000 telah dihabiskan oleh kerajaan Barisan
Nasional (BN) yang memerintah negeri itu sehingga pilihan raya
lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum,
Perindustrian dan Sumber Manusia negeri Mustafa Ali berkata,
dakwaan itu adalah tidak benar kerana peruntukan tahun 2000
masih belum diberikan oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri.
"Itu (peruntukan) tahun 2000, dia (BN) tak boleh sentuh, cuma
peruntukan tahun `99 sepatutnya habis Disember tapi belum habis
bulan (Disember) dia (BN) tak tinggal baki...," katanya kepada
pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada
Institut Penyelidikan Mitsubishi di pejabatnya di sini, hari
ini.
Beliau berkata sepatutnya kerajaan BN perlu meninggalkan sedikit
baki peruntukan bagi bulan Disember untuk kerajaan PAS
menguruskan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama
musim bermulanya persekolahan.
"Ada khabar angin mengatakan kerajaan (BN) dahulu telah ambil
`pendahuluan' daripada peruntukan royalti tahun 2000, itu tidak
benar...(peruntukan itu) belum bagi lagi," katanya.
PAS berjaya menawan Terengganu daripada BN selepas
memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
pada pilihan raya umum yang diadakan November lepas.
Mengenai pelaburan pula, Mustafa berkata sehingga ini Kerajaan
Negeri menerima banyak cadangan daripada syarikat-syarikat yang
ingin melabur di negeri ini dan ia perlu diteliti dahulu.
Menurut Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sejak PAS ambil
alih pemerintahan Terengganu lima cadangan pelaburan telah
diterima.
Mengenai tindakan beberapa syarikat multinasional di negeri ini
berpindah ke Kuantan, Pahang, beliau berkata perpindahan itu
bukan disebabkan oleh pertukaran kerajaan sebaliknya adalah
kerana kemudahan pelabuhan yang ada di Kuantan.
"Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk meningkatkan lagi
kemudahan di Pelabuhan Kemaman dan antaranya dengan
pembinaan landasan keretapi dari Paka, Kemaman ke Kuantan yang
sedang dijalankan oleh Petronas," katanya.
Sementara itu Mustafa berkata Kerajaan Negeri tidak akan
mempertimbangkan sebarang permohonan tanah yang dilakukan
melalui penerokaan haram selepas pilihan raya umum lepas,
bagaimanapun, permohonan lama (sebelum pilihan raya) akan
dipertimbangkan.
"Kita dah nasihat dan mereka faham, kerajaan akan bagi kalau
mereka benar-benar tak ada tanah tapi bukanlah di tempat yang
mereka diami sekarang atau mungkin di situ tetapi bukan keluasan
seperti yang dipunyainya sekarang," katanya.
Ditanya mengenai rancangan pertemuan antara Menteri Besar
Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad, beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari masa
yang sesuai kerana perjumpaan itu perlu juga dihadiri oleh
beberapa Menteri lain.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan apa yang akan
dibincangkan dalam pertemuan itu nanti.
|