Guna Royalti Minyak Langgan Perempuan
Ahmad Lotfi Othman
MENTERI BESAR, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan
kerajaan pusat pimpinan Umno supaya
cermin diri terlebih dahulu sebelum mempersoalkan
bagaimana kerajaan PAS Terengganu membelanjakan
wang royalti minyak, walaupun baru sembilan
bulan memerintah.
"Kami mempunyai bukti bertulis bil-bil tuntutan
perbelanjaan di bawah anak-anak syarikat kerajaan negeri
semasa Umno berkuasa dahulu, yang digunakan
bukan untuk membela kepentingan rakyat, tetapi untuk
melakukan maksiat," tegasnya dalam satu majlis
ceramah di Kelantan baru-baru ini.
"Kerja mereka cukup memalukan. Wang hasil royalti
minyak itu digunakan untuk perempuan, minum arak
dan melakukan maksiat. Kita ada bukti nyata
tentang hal ini," katanya lagi, sambil mengingatkan bahawa
ada 'bukti berlori-lori' tentang penyelewengan
pemimpin terdahulu.Walaupun penyelewengan wang rakyat
ini cukup memalukan, tapi, kata Haji Hadi,
bukan dasar kerajaan PAS untuk mengaibkan mereka yang
terbabit. "Kita bukan seperti pemimpin Umno
yang sanggup memalukan sesama mereka, walaupun tanpa
sandaran bukti, sepertimana berlaku kepada
Dato' Seri Anwar Ibrahim."
Desas-desus bertiup kencang di sekitar Kuala
Terengganu bilamana diberitakan ada pegawai tinggi anak
syarikat kerajaan negeri mengakui mereka pernah
diminta menjelaskan tuntutan bil pemimpin atasan
kerajaan negeri di bawah BN "yang melanggan
perempuan".
Selain itu, banyak pihak mempersoalkan bagaimana
anak syarikat kerajaan boleh rugi dengan begitu teruk,
sedangkan lembaga pengarahnya senang-lenang.
"Duit minyak digunakan untuk memperkayakan individu
dalam Umno dengan menguasai syarikat tertentu
sedangkan rakyat termiskin terus terabai," kata seorang
pemerhati politik.
"Bayangkan, syarikat yang menguruskan lombong
emas di Lubuk Mandi pun boleh rugi," tambahnya.Haji
Hadi turut mendedahkan, selain melakukan pembaziran
yang berleluasa, ada pemimpin Umno Terengganu
yang melantik kroni mereka untuk menjadi orang
tengah mengutip untung secara mudah. Misalnya, premis
anak syarikat di Kuala Lumpur yang sepatutnya
boleh disewa RM6,000 sebulan tetapi terpaksa membayar
RM 14,000 sebulan kepada pihak ketiga itu.
"Hampir 20 tahun kerajaan Terengganu menerima
royalti minyak, tetapi negeri ini tetap miskin dan rakyat
tidak terbela, ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan?
Bagaimana kerajaan negeri boleh dibebankan
dengan hutang RM700 juta?" tanya Haji Hadi,
yang juga Timbalan Presiden PAS. Jelasnya, semasa menang
mereka dapat menyelamatkan fail-fail tentang
penyelewengan pemimpin terdahulu.
"Kita berharap pihak BPR dapat menyiasat kes
ini secara jujur, ikhlas dan telus. Pihak Hisbah Terengganu
sedia bekerjasama dengan BPR untuk membuat
penilaian siapa sebenarnya yang menyeleweng wang
royalti minyak." Mengenai langkah kerajaan
BN menyekat royalti, di samping mencemarkan semangat
federalisme, ia umpama pemimpin Umno menggali
lubang sendiri.
"Kekuatan sesebuah kerajaan bukan dengan menyalahgunakan
kuasa atau peraturan tetapi bergantung
sejauhmana ia adil dan menunaikan perintah
Allah," tambahnya. Dalam satu wawancara khas, bila ditanya
apakah tekanan pusat itu boleh menggugat kerajaan
PAS Terengganu, Haji Hadi berkata:
"Kerajaan Kelantan boleh bertahan sehingga
tiga kali pilihan raya walaupun menghadapi pelbagai tekanan,
insyaAllah kami juga boleh bertahan." Beliau
juga memberi jaminan, sekiranya timbul masalah kewangan
ekoran tindakan kerajaan pusat melambat-lambatkan
peruntukan yang sewajibnya diberikan kepada
negeri, kepentingan umum tetap terbela.
"Kita sedia memotong elaun Menteri Besar dan
anggota Exco tetapi tidak akan memotong peruntukan
untuk golongan miskin. Manakala elaun yang
baru kita naikkan untuk para imam dan bilal tidak akan
diturunkan," ujar Haji Hadi.