Ahli Parlimen Kemaman,
Haji Abdul Rahman Yusuf menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan memberhentikan
pembayaran wajib royalti kepada Terengganu tidak wajar.
Katanya, pelbagai perancangan
kerajaan negeri bagi kebaikan rakyat tergugat akibat tindakan kerajaan
pusat menafikan hak royalti.
"Bila royalti disekat banyak
perancangan kerajaan untuk rakyat terjejas," ujarnya ketika merasmikan
majlis Pelancaran Tabung Surau Desa Permai, di Bukit Kuang, Chukai, baru-baru
ini.
Menurutnya, kerajaan menghadapi
masalah kewangan yang agak ketara serta menyebabkan perbelanjaan pembangunan
negeri terjejas.
Namun begitu katanya, rakyat
mula sedar masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri akibat sekatan
terhadap royalti.
Sebagai contoh katanya,
penduduk di Taman Perumahan Desa Permai ini bertindak menubuhkan tabung
sendiri bagi pembinaan sebuah surau tanpa bantuan kerajaan.
"Saya amat terharu dan berbangga
dengan sikap penduduk yang boleh berdikari tanpa mengharapkan bantuan kerajaan
negeri," ujarnya.
Katanya, akibat tindakan
dendam politik pemimpin Umno yang kecewa dalam pilihan raya umum lalu rakyat
Terengganu menghadapi masalah.
Menurutnya, penderaan terhadap
rakyat tidak wajar berlaku terutama dalam negara yang mengamalkan sistem
demokrasi berparlimen.
Turut serta di majlis tersebut,
Adun Kijal, Haji Muhamad Sulong dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Terengganu (JHAIT) daerah Kemaman, Haji Awang Busu.
sumber harakahdaily